Tuesday, December 7, 2010

UKURAN KEJAYAAN DALAM MENDIDIK ANAK

Salam Maal Hijrah 1432Hijrah. Setiap kali tahun Hijrah menjelang, ramai di kalangan umat Islam yang menyimpan azam baru untuk ‘berhijrah’ sama ada benar berhijrah (berpindah tempat) atau pun berhijrah dari segi perbuatan, rohani, daripada tidak baik kepada yang baik atau daripada baik kepada lebih baik lagi. Awal Muharam mengingatkan kita kepada peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Madinah pada tahun 622 masihi. Kata orang, azam kita jangan diwar-warkan kepada orang lain kerana ‘takut’ tidak menjadi menjadi kenyataan dan dikhuatiri ia bertukar menjadi riak kecil. Allah Maha Mengetahui.

Catatan blog kali ini, saya ingin menyentuh mengenai prinsip mendidik anak. Anak adalah ‘amanah’ yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. Bila kita sebut sebagai amanah, maka di dalam amanah itu mengandungi nikmat dan ujian yang memerlukan kekuatan dan ketabahan hati. Semasa mengikuti khutbah Jumaat di Masjid Iskandar jalan Datuk Kumbar baru-baru ini, khatib menekankan bahawa anak merupakan ujian Allah yang mana antaranya boleh menyebabkan kita menjadi bakhil (kerana mulai berkira apabila nak memberikan sedekah, ditakuti wang yang disedekah itu menjadikan wang belanja untuk keperluan anak tidak mencukupi?), kemudian kita akan menjadi takut untuk pergi berjihad di jalan Allah atau menjadi jarang untuk keluar mengikuti Kuliah di luar (kerana takut hendak meninggalkan anak dan isteri lama-lama dikhuatiri keselamatan mereka). Perasaan takut itu sebenarnya adalah mainan perasaan sahaja dan ditambah dengan hasutan syaitan dan nafsu yang sentiasa cuba menghalang kita daripada melakukan kebaikan. Allah sentiasa akan menjaga hambaNya yang redha berjuang di jalan Allah dan anak itu adalah dugaan sahaja. Bagi saya, sifat ‘Ihsan’ amat diperlukan dalam menjalani ujian Allah ini.

Saya mempunyai pandangan yang mungkin agak berbeza dengan orang lain dalam aspek pendidikan dan kejayaan mendidik anak-anak. Saya teringat semasa saya bersekolah di kampung dulu, saya bersekolah dalam keadaan aman tanpa ada ‘stress’ atau tekanan melampau daripada emak atau daripada keluarga saya. Oleh itu, untuk memperolehi ‘A’ dalam pelajaran atau memperolehi kedudukan nombor teratas di dalam kelas di sekolah bukanlah sasaran penting saya. Semasa bersekolah, apa yang penting ialah, saya berusaha dengan apa yang termampu dan selebihnya berserah kepada Allah. Saya juga pernah berniat semasa sebelum mengambil peperiksaan SPM dulu, iaitu sekiranya saya mendapat gred 2 atau 3, saya tidak kisah.. sebab saya boleh ambil SPM kali kedua dan sebagainya. Buat apa nak ‘rushing’?. Dengan cara itu, fikiran saya akan lebih tenang dan fokus tambahan pula emak tidak terlalu menekan saya supaya mencapai gred 1 SPM dan sebagainya. Terus terang sebenarnya, atas rasa kesedaran semasa itu, saya rasa adalah menjadi tanggungjawab saya memberikan keputusan terbaik yang boleh menggembirakan emak. Syukur alhamdulillah, saya berjaya juga melepasi SPM ketika itu walaupun hanya bersekolah biasa di kampung.

Kini bagi saya, kejayaan mendidik anak tidak boleh dilihat dan diukur dari tahap pencapaian akademik atau kekayaan harta benda. Bagi saya, kejayaan mendidik anak-anak hanya boleh dilihat apabila sejauhmana mereka (anak) melayan kita di hari tua (sekiranya umur masih ada) atau sejauhmana mereka boleh memberikan manafaat dengan manusia yang lain. Tidak kisah apa kerjaya mereka asalkan halal dan diberkati Allah. Saya tidak juga menekankan anak-anak saya supaya wajib mendapat tempat pertama atau wajib mendapat A dalam setiap subjeknya atau mendapat A dalam UPSR. Apa yang saya harapkan ialah agar ilmu yang mereka perolehi itu adalah berkat dan boleh dimanafaatkan untuk kehidupan mereka di masa akan datang.

Emak dan keluarga saya selalu risau dan bertanyakan bagaimana sekolah anak-anak saya itu, dapat nombor berapa di dalam peperiksaannya. Pada saya, itu bukanlah soal yang terpenting.. apa yang penting ialah sejauhmana mereka boleh menghormati orang tua, jujur dan melengkapkan mereka dengan ilmu agama. Apalah gunanya kalau mereka berjaya dalam akademik dan kerjaya, tetapi gagal menghormati dan melayan orang tua bila dewasa nanti. Soal pelajaran atau akademik itu adalah subjektif dan tidak boleh diukur dari aspek pencapaian persijilan semata-mata (diploma atau ijazah atau PhD dsbg) kerana menuntut ilmu itu adalah wajib perlu berterusan ingat ke akhir hayat tidak kira sama ada secara formal (di IPT) atau tidak formal (belajar di pondok, surau dsbgnya). Kejayaan anak itu juga tidak boleh diukur bila mereka boleh menjadi engineer, doctor dan sebagainya. Itu bukanlah kejayaan sebenarnya. Kejayaan mendidik anak sebenarnya ialah sejauhmana mereka boleh menjaga dan menghormati ibu bapa mereka di hari tua nanti dan sejauhmana mereka boleh memberikan manafaat kepada orang lain. Tidak guna satu sen pun jika mereka menjadi pegawai tinggi atau hartawan, tetapi tidak mampu membahagiakan hati ibu bapa mereka.

Saya hanya boleh melihat kejayaan anak-anak saya itu apabila saya tua nanti iaitu mampukah mereka menjaga saya dan isteri nanti atau hanya ditinggalkan kami berdua kesunyian tanpa berita. Itu semua bergantung kepada cara kita mendidik anak-anak kita dan cara kita menjaga ibu bapa kita sekarang. Semua yang kita hajati memerlukan pengorbanan. InsyaAllah setiap pengorbanan yang dibuat dengan ikhlas akan dinilai oleh Allah. Hidup ini seperti roda, apa yang kita lakukan kepada ibu bapa kita, maka mungkin itulah yang akan dilakukan oleh anak-anak kita kepada kita kelak. Dari perlaksanaannya, tidak semudah yang dituliskan . Saya berdoa agar diberikan peluang oleh Allah untuk saya menjaga emak di kampung satu hari nanti. InsyaAllah.

Wallahualam.

Bakri.

No comments:

Post a Comment