Sunday, November 13, 2011

DRAMA MUHASABAH DIRI

Semalam saya sempat menonton drama tv3 semasa sedang berada di dalam wad hospital sambil menjaga anak-anak saya yang sakit. Rasanya dah lama juga saya tak menonton drama melayu mungkin kerana terlalu sibuk dengan kerjaya dan pelajaran. Drama tv ini bertajuk ’Panggilan 10 Zulhijjah’ lakonan Dato’ Rahim Razali. Drama ini memang menginsafkan bagi mereka yang masih boleh ’melihat’ dan bermuhasabah. Cerita tersebut menceritakan mengenai anak-anak yang sudah dewasa tetapi sesat dalam dunia kebendaan yang melebihi segala-galanya.

Takut rasanya melihat anak-anak begitu. Semasa kecil, kita sayang dan hormat orang tua kita. Namun selepas dewasa, semua sifat begitu seolah-olah hilang dan digantikan dengan sifat tamak dan mementingkan diri sendiri. Setiap anak kita mempunyai sifat yang berbeza. Adakah salah asuhan? Sedangkan kadang kala ibu bapa mereka adalah orang yang berilmu dan beriman. Yang peliknya, bila anak-anak ini mempunyai isteri atau suami, pasangan mereka jauh lebih baik sikapnya dari mereka. Apa agaknya nanti yang berlaku pada anak-anak kita dan sikap mereka kepada kita bila dah tua nanti? Isu ini pernah saya bangkitkan dalam blog saya sebelum ini yang bertajuk ’ukuran kejayaan mendidik anak’.

Drama ini mempunyai dua perspektif yang berbeza iaitu pandangan mata dari dunia di kampung dan dunia di bandar. Kedua-dua perspektif ini mempunyai prasangka masing-masing yang unik. Kadangkala kita sering melihat dunia kita sendiri lebih baik dari dunia luar sana. Begitu juga sebaliknya yang sering menyangka kita adalah yang terbaik, orang di luar sana tidak baik. Prasangka kita itulah yang menyebabkan kita terus leka dalam dunia kita sendiri.


Alangkah bagusnya jika kita tiada mempunyai prasangka atau ’buruk sangka’ ke atas orang lain. Itulah sifat ’Ehsan’. Rujuk blog saya bertajuk ’Ehsan’. Saya berdoa agar sifat itu disemai ke dalam diri saya dan keluarga saya.

Bila kita renungkan betul-betul cerita ’panggilan 10 Zulhijjah’ atau cerita-cerita lain yang sewaktu dengannya, kadang kala mungkin sedikit sebanyak ia seolah-olah berkaitan dengan kisah hidup kita. Kalau tak kena dengan kita, mungkin ada kena mengena dengan saudara mara kita atau kawan-kawan kita. Drama ini memang ada kena mengena dengan yang hidup atau pun yang telah mati. Akhir cerita ini agak tragik juga kerana kedua ibu bapa mereka meninggal dunia semasa di Mekah. (Bila meninggal di Mekah, maka tiadalah kuburnya di sini. Jenazah dikebumikan bersama-sama jenazah lain di Tanah Haram dan tiada pula kuburnya bertanda seperti di negara kita. Ini adalah kerana liang lahat di sana akan ’dibersihkan’ tulang belulang mayat setiap tahun untuk disimpan/diganti pula dengan jenazah lain.). Dalam cerita ini, anak-anak tidak sempat meminta ampun dari mereka. Bagusnya pula, mungkin atas doa ibu bapa mereka, anak-anak mereka insaf dan kembali ke pangkal jalan, Hidayah Allah itu datang dalam pelbagai cara. Saya berdoa agar perkara begitu tidak berlaku kepada diri saya atau adik beradik dan keluarga yang lain.

”Ya Allah, berilah petunjuk dan hidayah kepadaku dan ahli keluargaku agar semua prasangka yang berlaku (jika ada) dapat diperbetulkan demi kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat. Aamin, Ya Rabbal Aalamin.”

Tidak kisah bagaimana atau dari mana kita bermula, YANG PENTING IALAH BAGAIMANA KITA AKAN BERAKHIR.

Wallahualam.