Wednesday, March 16, 2011

Kebakaran kecil dalam rumah

16 Mac 2011 malam itu, kami anak beranak sedang tidur di bilik tengah. Seperti biasa aircond dipasang bermula jam 10 malam, kalau tak pasang, tak boleh tidur jawabnya disebabkan ‘kepanasan’. Kira-kira pukul 3.00pagi, tiba-tiba sahaja saya dikejutkan dengan satu kebakaran kecil dalam rumah. Soket ‘power point’ pada alat pendingin hawa tiba-tiba sahaja terbakar. Mujurlah isteri saya tersedar dan menjerit, saya bingkas bangun, cuba menutup suis air cond, alat pemadam kebakaran ada, tetapi diletakkan di dapur, jadi tak sempat nak pergi ambil.. lantas saya ambil kain selimut untuk memadam kebakaran. Api berjaya dipadamkan.

Bau hangit dan debu hitam menyelubungi bilik rumah. Pening juga memikirkan bagaimana ia boleh berlaku. ELCB tidak trip dan mungkin ada masalah pada pendawaian. Tiba-tiba saya teringat, sebelum tidur malam tu, saya ada tercium bau hangit. Namun saya tidak ambil kisah sebab hidung saya ni kadang kala berbau macam-macam sebab penyakit resdung yang saya alami. Hal ini menyedarkan saya bahawa semua deria kurniaan Allah memang ada gunanya bukan sahaja untuk sengaja menghidu bau, tetapi berguna untuk mengesan sesuatu kemungkinan.
Saya membangunkan anak-anak saya dan kami semua turun tidur di ruang tamu. Peristiwa ini amat mengejutkan saya. Mujurlah malam itu saya tidak tidur berasingan dengan anak-anak saya, jikalau tidak, tidak tahu apa nasib kami anak beranak. Apa yang pasti, saya perlu mengambil berat keselamatan anak-anak saya selepas ini. Syukur kehadrat Allah kerana kami semua selamat dan memberikan pengajaran ini. Alhamdulillah.




Ayat untuk direnungkan..



"Duit bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya perlukan duit."



"Ayat pasif = Fardu kifayah, orang lain buat, kita tak payah.."



"Ayat proaktif = Fardu kifayah, kita buat, orang lain tak payah.."