Saturday, April 10, 2010

Budak sastera yang berubah haluan!

Bila diingat-ingatkan kembali ke zaman kanak-kanak dan remaja, rasanya banyak juga kenangan dan pengalaman pahit manis dilalui. Namun, kadangkala betul juga apa Tun Dr Mahathir kata, melayu mudah lupa. Lupa yang bagaimana? Lupa asal usulnya, lupa bahawa kita sebenarnya pernah melalui saat-saat sukar satu ketika dulu.

Saya dilahirkan di Kg Bikam Sungkai Perak pada 1974. Sebaik dilahirkan, ibu bapa saya berpindah ke Kg Melayu Langkap di mana saya ’membesar’ dalam suasana kampung. Agaknya dah ditakdirkan, saya mempunyai 5 orang adik beradik (saya yang ke-4) kesemuanya adalah lelaki dan sekarang ni, saya mempunyai 5 orang anak juga kesemuanya lelaki!. Pada 1985, semasa berada di darjah 5 Sekolah Kebangsaan Seri Langkap, bapa saya yang bertugas sebagai guru ketika itu telah dijemput pulang ke rahmatullah. Berbekalkan dengan duit pencen bapa yang tidak seberapa, emaklah yang menyara kami sekeluarga dan pelbagai dugaan kami hadapi selama ini. Sesungguhnya pengorbanan emak memang tak terbalas oleh kami. Kini dengan mempunyai 5 anak lelaki, sedikit sebanyak saya dapat merasai beban yang pernah ditanggung oleh emak semasa membesarkan kami berlima. Abang saya yang sulong Yob (Khairul Akmal), yang kedua Joy (Ismail), yang ketiga Lan (Allahyarham Zailan-meninggal dunia pada 2003), saya yang keempat manakala adik saya Ijat (Dr Mohd Rohaizad).

Ok sambungan cerita saya tadi, selepas menjejakkan kaki ke Sekolah Menengah di Sek Men Dato Sagor Langkap, saya mulai berjinak-jinak dengan gitar dan menubuhkan kumpulan band ’kugiran’ bersama rakan dan abang saya yang sulong (Yob). Rasanya masa tu baru di Tingkatan 2 atau pun 3.

Saya ni boleh dikatakan dari kalangan budak melayu yang bukan berotak bijak. Saya tidak seperti adik saya (Rohaizad) yang jauh lebih bijak sedari kecil atau ’gifted’, kata orang. Adik saya kini dah jadi Doktor Perubatan dan kini beliau sedang melanjutkan pengajian untuk menjadi Pakar Bius pula. Sebenarnya saya berbangga mempunyai adik seperti dia.

Selepas keluar keputusan SRP (Sijil Rendah Pelajaran), saya ditawarkan ke Sek Men Seri Perak di Teluk Intan di dalam aliran Sains. Ketika itu, mendapat tawaran sekolah sains bermakna sesuatu yang membanggakan orang kampung. Namun, tanpa berfikir panjang, saya telah menolak tawaran ke Sek Men Seri Perak hanya kerana semata-mata ’sayangkan band kugiran’ yang baru ditubuhkan. Keputusan kurang bijak yang dibuat tanpa merujuk kepada emak saya telah menyebabkan saya teruk dimarahi oleh emak. Ketika itu, yang saya fikirkan hanyalah cita-cita untuk menjadi pemuzik terkenal! Namun jauh disudut hati, konon-konon saya ingin membuktikan kepada emak bahawa diri saya boleh maju walaupun hanya bersekolah di kampung.

Di kampung, saya kembali sambung di Tingkatan 4 dalam aliran sastera. Sambil bersekolah, saya aktif dengan band kugiran yang diberi nama ’Analisa’ oleh abang saya Yob. Abang saya Yob bermain bass manakala abang saya no 3 (Arwah Lan) bermain drum manakala vokalis kami adalah orang kampung bernama Larkin. Syoknya semasa itu hanya kami yang dapat gambarkan. Kami dapat masuk beberapa pertandingan kumpulan rock (walaupun tak pernah menang..hehe), bermain kugiran di majlis-majlis kahwin, ’jamming’ di Studio setiap minggu. Emak mulai risau dengan penglibatan aktif saya mungkin beliau bimbang menjejaskan prestasi pelajaran di sekolah. Pelajaran saya overall nampak okay kecuali Matematik!.. bila naik Tingkatan 5, emak bagi amaran supaya tumpukan pada SPM.

Saya masih lagi leka dan hanya lebih kurang 5 bulan sebelum SPM, saya mulai sedar bahawa hakikatnya saya lemah dalam Matematik dan Bhs Inggeris!.. saya mulai menyusun strategi sendiri iaitu belajar matematik sendiri tanpa pergi mana-mana tuition. Lagipun, di kampung masa tu manalah ada tuition! Kumpulan band saya terpaksa hentikan sementara selepas berbincang dan mendapat mandat dengan ahli kumpulan.

Manakala untuk Bhg Inggeris, saya banyak belajar sendiri dengan membaca buku ’grammer’ dan berlatih membuat ayat. Pelajar berbangsa Cina sahaja yang agak terror dalam matematik semasa tu. Manakala masa tu, saya score dalam subjek BM. Saya cuba berkawan dengan sorang pelajar cina di kelas saya yang pandai Matematik dan buat MOU dengannya iaitu dia ajar Math kat saya, manakala saya ajar BM kat dia. Selain daripada itu, saya juga bertuah sebab ada seorang lagi pelajar melayu (Mior namanya) yang begitu baik kefahaman Matematiknya. Saya dan Mior mulai berminat dalam Matematik dan hasilnya memberangsangkan. Saya mendapat keputusan yang baik pelajaran Matematik dan Bhg Inggeris dalam SPM.

Selepas mendapat keputusan SPM, membuat keputusan untuk meninggalkan kumpulan band saya kerana mahu menumpukan kepada pengajian saya. Syukur ahli-ahli kumpulan memahami dan membawa haluan masing-masing. Walaupun agak berat rasanya hati untuk membuat keputusan tersebut, namun ’perubahan’ perlu saya buat demi masa depan yang masih kabur semasa itu. Banyak pengalaman pahit manis semasa aktif dengan kumpulan Band yang saya rasa tak dapat nak ceritakan di sini.

Sejak itu, saya memohon banyak IPTA dan mendapat tawaran daripada Politeknik Ungku Omar (Bidang Kejuruteraan Komputer), daripada ITM (sekarang UiTM) dalam Bidang Senilukis dan Senireka dan juga Universiti Islam Antarabangsa tawaran 2 Bidang Undang-Undang dan Sains Kemanusiaan.

Saya masih ingat, saya pernah disindir oleh orang semasa berjalan dengan emak di pekan Langkap. ’’alaa.. kalau setakat lulus SPM aliran sastera, tak kemana pun.. lainlah kalau sains, boleh jadi engineer ke, saintis ke..’’. Kata-kata itu membuatkan hati saya sangat tersentak dan sejak saat itu saya berazam untuk membuktikan kepada orang itu dan kepada emak bahawa saya boleh menjadi jurutera walaupun berbekalkan SPM sastera yang tiada asas kejuruteraan. Saya juga teringat semula janji di hati saya dengan emak iaitu semasa membuat keputusan untuk tidak memasuki sekolah sains ketika dahulu. Bunyinya agak mustahil tapi itulah yang berlaku.

Akhirnya selepas berbincang dengan kawan dan emak, saya membuat keputusan untuk menerima tawaran daripada Politeknik sebagai langkah pertama berubah daripada Budak Sastera kepada Budak Sains! Di Politeknik, mengikuti kursus Sijil Kejuruteraan Elektronik Komputer merupakan saat yang paling sukar kepada saya kerana di situlah sebenarnya bermula pelajaran-pelajaran baru kepada saya yang buta sains atau kejuruteraan. Kebanyakan pelajar di Poli semasa itu adalah merupakan lulusan Sekolah Teknik dan Vokasional dan bukannya Sekolah Sastera macam saya. Saat tersebut merupakan tekanan yang paling hebat kepada hidup saya kerana terpaksa berusaha 2 kali ganda berbanding pelajar lain. Pernah satu ketika, saya hampir putus asa dan mahu balik ke kampung kerana ’tak boleh pi’ dengan subjek-subjek baru itu. Namun, dikuatkan juga hati dan berusaha bagai nak gila siang dan malam saban hari untuk mengaji tatkala pelajar-pelajar lain sedang nyenyak tidur.

Alhamdulillah, saya juga bertuah ketika itu, kerana ditakdirkan berkenalan dengan seorang sahabat yang saya boleh anggap sebagai sahabat terbaik dalam hidup. Mohd Syukri namanya, perangainya mungkin pelik kerana beliau tak suka berkawan sebarangan. Syukri amat mahir dalam Matematik dan kebanyakan subjek di situ. Beliaulah tempat rujukan saya setiap hari hinggalah saat final exam. Kami berdua berjaya score di semester pertama, saya rasa puashati dan amat bersyukur kepada Ilahi. Bermula dari saat itulah saya bertambah yakin dan bersemangat malah telah dapat menamatkan pengajian Sijil di Politeknik Ungku Omar. Saya sambung setahun lagi untuk pengajian Diploma pula. Sehingga kini, saya masih berhubungan dengan Syukri yang kini bekerja di Penang.

Selepas ditawarkan bekerja dengan TNB, saya menyimpan hasrat untuk sambung pula pengajian di peringkat Ijazah. Hasilnya, saya telah dapat menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kejuruteraan Elektrik di UiTM Shah Alam selama 3 tahun dengan gred Second Class Upper. Alhamdulillah kini dengan Ijazah itulah, saya dapat melunaskan 'janji saya' iaitu menjadi seorang Jurutera. Itulah antara saat-saat perubahan yang amat kritikal dalam hidup saya dalam membuat keputusan untuk bertukar haluan daripada Sastera kepada Sains, dan dengan semangat itulah, Alhamdulillah saya kini akan terus berazam untuk meneruskan pengajian selagi masih ada hayat. Lagi pun, belajar juga kan salah satu jihad di jalan Allah.

InsyaAllah, saya tak lupa asal usul saya. Seboleh-bolehnya, saya juga harus menunjukkan contoh yang baik terhadap anak-anak saya juga bahawa kejayaan ayah mereka datangnya dari satu usaha yang agak perit demi azam untuk berubah. Terima kasih emak, syukur ke hadrat Allah S.W.T atas hidayah dan kesederhanaan yang saya kecapi sekarang ini. Allah itu Maha Bijaksana, perancanganNya adalah yang terbaik untuk kita. Kita semua mempunyai kisah hidup tersendiri dan catatan saya ini hanyalah secebis kecilnya. Wallahualam.
Salam hormat,
Bakri.

7 comments:

  1. Dear Admin,known me as jacq..i hope you don't mind that my writing in english. I really hope that the admin can help me with this question. I have a younger brother which right now study at Vocational College with 4 years programme (include diploma and no SPM). Now the syllabus of his study has no science subject such as additional mathematics, chemistry, physics, etc but he is so interested to further study in mechanical engineering. Any advice of what action that should be taken in order to qualify himself to taking engineering course? I appreciate your time, concern and your kindness to give the feedback Thank you so much.

    ReplyDelete
  2. Tolonglah reply dia punya comment. Saya budak aliran sastera math tak cemerlang english tak cemerlang macam mana nak sambung belajar aliran sains bidang kejuruteraan mekanikal

    ReplyDelete
    Replies
    1. score dlm math sains english bm dan satu subject lain buleh je ambil alirans sains/perubatan di universiti atau spa

      Delete
    2. aliran sains ? maksudnya? boleh amik mechanical engineering course la?

      Delete
  3. go for pre engineering.. firt thing you need to study the basic of math and electronic etc.. no short cut. all that need thousand sacrifices and exercises.. good luck bro.

    ReplyDelete
  4. Saya nak tanya, saya pelajar aliran sastera Dan berminat nak apply kt politeknik klau result spm saya ok, apa bidang juruteknik yang sesuai untuk perempuan?

    ReplyDelete
  5. Betul lah bila kita budak sastera masuk sains memang sangat mencabar sebb kita raasa tak mampu n subject2 baru semua susah n kita tak de basic macam budak2 sains tulen ...penat lelah beljar berkali2 putus asa tu normal ...kena kuatkan semangat selalu ..#diploma petrochemical engineering

    ReplyDelete