Monday, July 26, 2010

3 perkara asas ketenangan & kesenangan dunia

Pada petang tadi, semasa saya sedang memandu kereta di dalam perjalanan untuk ke pejabat, saya sempat mendengar radio Kedah.FM iaitu satu slot rakaman ceramah agama yang begitu menarik perhatian saya. Ceramah agama tersebut disampaikan oleh YBhg Ustaz Mohd Kadzim Al Hafiz. Beliau memberitahu, Rasulullah S.A.W pernah menyatakan bahawa untuk mendapat kesenangan tanpa kesibukan di dalam dunia ini hanya memerlukan 3 (tiga) perkara asas, di mana jikalau kita mempunyai lebih daripada 3 perkara asas tersebut, maka nescaya hidup kita akan menjadi semakin sibuk. Tiga perkara tersebut ialah:-

1) Sebuah kediaman
2) Pakaian (yang menutup aurat)
3) Makan dan Minum

Jika memilih untuk mempunyai lebih dari 3 perkara di atas, nescaya sibuklah kita di dunia ini. Contoh yang Ustaz beri ialah, membeli kereta. (kerana pengangkutan tak dinyatakan dalam 3 perkara asas). Memiliki kereta akan membuatkan manusia lebih sibuk. Contohnya, bila dah ada kereta, kena pula menjaga ‘maintenance’ kereta. Bila dah ada kereta, sibuk pula kena berjalan ke sana ke mari dengan perjalanan dan sebagainya. Pendek kata, mempunyai kekayaan yang melebihi dari keperluan 3 perkara asas di atas, akan menyebabkan manusia itu semakin sibuk. Wallahualam.

Kata Ustaz lagi, untuk memperolehi rumah atau kediaman yang tenang dan 'luas' bergantung kepada perkara berikut:-
- Bersedekah. Contoh bersedekah yang Ustaz beri ialah seperti menjemput orang miskin berbuka puasa di rumah dan sebagainya mengikut kemampuan.
- Menjaga kebersihan dalam rumah.
- Sentiasa menjaga keharmonian sesama keluarga di dalam rumah tersebut
o Contohnya : Isteri yang sentiasa menghargai apa sahaja pemberian si suami atau sebaliknya. (saling menghargai)
- Rumah yang sentiasa dikunjungi oleh tetamu.

Kata Ustaz lagi, Rasulullah pernah berpesan, ’Ambillah kamu dunia ini dengan cara ’pegang’ dunia dengan tangan tetapi jangan simpan dunia ini di dalam hati..’ dalam ertikata lain, Rasul tidak melarang kita mengejar dunia tetapi cukuplah dengan ’memegang dunia’ dan tidak terlalu mengejar dunia ini hingga berlebihan. Sebaliknya menggunakan dunia ini untuk mencari akhirat.

Walaupun sekejap sahaja saya mendengar ceramah ini, ia membuat saya terfikir semula. Kebanyakan kita di dunia ini sememangnya sibuk sebab memiliki perkara yang lebih dari perkara tersebut iaitu dengan memiliki TV atau Astro, memiliki kereta atau motosikal, memiliki telefon, memiliki saham/bisnes, memiliki harta-harta (yang memerlukan penjagaan) dan sebagainya.

Lantas saya juga terfikir satu lagi pesanan, orang yang memiliki harta itu tetapi kurang memiliki ilmu itu keadaannya lebih penat berbanding dengan orang yang memiliki ilmu tetapi kurang memiliki harta. Ia adalah kerana, harta memerlukan penjagaan daripada pemiliknya.

Harta – Manusia itu terpaksa menjaganya. Sentiasa ada perasaan takut dirompak, selalu menjadi sasaran dengki dan sebagainya.

Ilmu – Ilmu itulah sebaliknya yang menjaga manusia.

Wallahualam.
Bakri.

Saturday, July 24, 2010

Tenpayaki... Tempoyaki..


Saya rasa setiap orang mempunyai makanan kegemaran. Ada yang suka makan budu, ada yang suka makan durian, ada yang suka makan nasi kandar dan sebagainya. Kegemaran ini mungkin didorong oleh persekitaran, budaya atau latar belakang seseorang itu. Saya mempunyai satu makanan kegemaran sejak di kampung lagi iaitu durian. Apa sahaja makanan yang berasaskan durian memang saya minati. Namun yang paling saya suka ialah pada satu jenis makanan – gulai tempoyak!.

Emak saya memang sedia maklum tentang kegemaran saya ini. Setiap kali saya balik kampung, emak pasti masakkan gulai tempoyak untuk saya. Terima kasih mak. Emak memang sayangkan anak-anaknya, dan salah satu cara membalas kasih sayangnya ialah dengan memakan masakan tersebut hehe.. Gulai tempoyak masakan mak memang unik dan sukar untuk saya bandingkan masakan-masakan gulai tempoyak di tempat-tempat lain.

Semasa bertugas di Baling dulu dan apabila hendak balik ke kampung dan di dalam perjalanan, saya pasti akan singgah di satu tempat di panggil ’Tasik Raban’ di Perak. Di situ terdapat sebuah kedai makan yang menjual makanan nasi campur termasuklah ikan patin gulai tempoyak. Manakala jika saya melalui Lebuhraya, saya akan singgah di R&R Sungai Perak untuk makan nasi bersama ikan patin gulai tempoyak. Namun ia tak boleh lawan masakan gulai tempoyak mak. Kegemaran ini turut dikongsi oleh abang-abang saya kecuali adik saya yang sorang, Ijat. Jangankan nak makan tempoyak, cium bau durian pun dia tak lalu. Tapi saya tetap ’respect’ dia sebab pandai pula memasak mengalahkan kaum wanita. Lantas saya terfikir, makanan kegemaran itu kadangkala begitu subjektif, tidak semua orang menyukai sesuatu atau tidak menyukai sesuatu.. dan Allah S.W.T Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui akan sesuatu. Memakan makanan kegemaran adalah salah satu nikmat yang Allah kurniakan kepada hambaNya. Saya bersyukur dengan nikmat yang saya terima.

Pada 23 Julai baru-baru ni, semasa dalam perjalanan balik dari bertugas ’outstation’ di Rawang, saya sempat singgah di kampung, Langkap untuk menjenguk emak. Saya hanya menelefon memberitahu emak untuk singgah di Langkap ’in short notice’ iaitu pada pagi tersebut. Sengaja saya tak memberitahu mak awal-awal, lagi pun saya tak mahu menyusahkan emak untuk memasak untuk saya. Namun apabila tiba di Langkap, emak dah pun siapkan gulai tempoyak untuk saya makan.. mak masih sempat juga memasak untuk saya.. saya amat terharu. Pehhh... then apa lagi, rezeki jangan di tolak bang.. haha.. segala pantang larang tolak tepi dulu.. bila jumpa tempoyak ni, susah nak ditolak walaupun baru kenyang makan benda lain. Nasib baiklah tak ada petai, kalau tidak satu periuk pun tak terasa.. Alhamdulillah, kini mak dah perturunkan resepi memasak gulai tempoyak ni kepada isteri saya. Masakannya not bad.. agaknya sebab itulah badan saya makin naik dan naik.. hehe..

Terima kasih mak.. Mak memang hebat. Kalau orang Jepun pandai masak ’Tenpayaki’, Emak pula memang pandai memasak ’Tempoyaki!.. hehe...

Wallahualam,
Bakri.

Saturday, July 3, 2010

Law Of Attraction

Semasa berkursus ‘leadership’ di Port Dickson sekitar tahun 2005/2006 yang lalu, salah satu syllabus program kursus tersebut ialah mengenai ‘Law Of Attraction’. Saya ingatkan ianya sesuatu yang baru, tetapi apabila diamati betul-betul, konsep Law of Attraction itu memang terdapat dalam Islam sebenarnya.

Apa ke bendanya Law of Attraction? Menurut definasi daripada Wikipedia, “The phrase Law of Attraction, used widely by New Thought writers, refers to the idea that thoughts influence chance. The Law of Attraction argues that thoughts (both conscious and unconscious) can affect things outside the head, not just through motivation, but by ther means.” . Ada yang menggelarkan konsep ini sebagai ‘sending message to the universe’ dan ada yang mengaitkannya dengan ‘the sixth sense’.

Apa yang boleh saya fahami, ‘Law of Attraction’ ialah ‘lintasan fikiran atau niat atau harapan atau ‘wish’ seseorang itu sama ada yang dibuat secara sedar (berdoa) atau tidak sedar.. yang mana ia memberikan kesan dalam bentuk realiti yang boleh dilihat”. Dari segi sainsnya, teori ini dikenali sebagai ‘metaphysic’. Ia merupakan ‘energy’ atau aura yang terdapat pada badan seseorang itu dan bagaimana ia dipancar keluar dan dimanipulasi oleh seseorang itu (biasanya untuk kebaikan). Setiap benda dan makhluk Allah itu ada medan aura tersendiri. Oleh kerana aura ini tidak nampak pada mata kasar, maka mungkin ramai yang kurang mempercayainya. Semua ini adalah kuasa Allah S.W.T, masih banyak ilmu yang masih belum diterokai oleh manusia. Saya yakin, kesemua persoalan tersebut ada terjawab di dalam Al Quran.

Pernah beberapa kejadian yang berlaku yang saya telah alami secara peribadi dan saya kaitkannya dengan teori Law of Attraction. Selepas mengetahui konsep Aura dan Law of Attraction, saya cuba mempraktikkannya, syukur alhamdulillah saya memperolehi apa yang saya hajati. Dalam dunia ini memang banyak perkara seperti kejadian ‘kebetulan’. Berikut adalah beberapa kejadian benar kejadian kebetulan yang saya perolehi daripada pengalaman rakan dan sebagainya.

Contoh 1: si pulan sedang memikirkan seseorang bernama ‘Ahmad’, tiba-tiba si pulan ini mendengar pula seseorang yang lain bercakap mengenai ‘Ahmad’. Tiba-tiba si ‘Ahmad’ ini menelefon si pulan. Lalu kita berkata, wahhh.. panjang umur si ‘Ahmad’.

Contoh 2: si pulan terlihat plet kenderaan yang lalu lintas sambil cuba meramal keputusan CGPA peperiksaannya. Kebanyakan kenderaan tersebut, didapati nombor plet 341, 3401,3410 dan sebagainya berulang-kali. Lalu beliau berharap, agar grednya adalah seperti nombor-nombor tersebut. Tidak lama selepas itu, si pulan menerima keputusan peperiksaannya dengan CGPA 3.41. Kejadian ini seolah-olah ingin memberikan ’hint’ kepada si pulan ini mengenai keputusan peperiksaannya.

Kita juga jangan terlupa, kejadian kebetulan itu sebenarnya adalah ’qada dan qadar’ atau perancangan Allah S.W.T sejak azali. Sebagai seorang yang beragama Islam, konsep ‘berdoa kepada Allah’ itu adalah konsep lebih tepat lagi kerana semua yang berlaku adalah di atas keizinanNya dan kuasaNya yang Maha Hebat. Setiap sesuatu yang kita lakukan itu pula mestilah untuk kebaikan dan manafaat kepada manusia dan tidak menyimpang dan menyalahi ajaran agama kita. Apa yang paling penting di sini ialah kita berdoa, berusaha dan bertawakal.

Wallahualam.
Bakri.