Sunday, December 26, 2010

Falsafah Hidup


Apakala kita berbicara mengenai falsafah hidup.. prinsip hidup, saya percaya ramai yang mempunyai falsafah mereka tersendiri mengenai hidup ini. Kadangkala tanpa kita sedari bahawa kita semakin menjadi bongkak dengan falsafah atau prinsip yang kita pegang itu. Disebabkan terlalu ‘obsess’ dengan prinsip hidup kita itu, kita telah mengabaikan beberapa perkara penting dalam perhubungan sesama manusia. Namun prinsip itu perlu ada dalam setiap manusia kerana atas asas kepercayaan atau ‘believe’ tersebut maka manusia menjadi lebih yakin untuk mencapai sesuatu berdasarkan hukum alam atau hukum karma.

Begitu banyak contoh prinsip hidup yang ada di dunia ini dan ianya kadangkala sangat berbeza mengikut tempat dan masa. Contohnya, seorang ahli politik di Jepun mungkin mempunyai perbezaan prinsip dengan ahli politik di Malaysia. Atau seorang jurutera di Jerman mungkin mempunyai perbezaan prinsip dengan jurutera di Alor Setar? Ataupun seorang rakyat di Indonesia mungkin berbeza prinsip dengan rakyat di Negara ini. Rakyat Indonesia terkenal dengan sifat ‘patriotik’ mereka dan sentiasa bangga dengan Negara mereka walaupun terpaksa menjadi ‘hamba kerja’ di Negara asing. Kalau tak percaya, cuba lihat mana-mana perlawanan akhir yang melibatkan Negara mereka seperti piala Thomas di Kuala Lumpur dan yang terkini ialah Piala Suzuki nanti. Mungkin ada ‘pro and con’ terhadap isu prinsip orang indon ini. Bagaimanapun, pokok pangkalnya ialah prinsip itu wujud dalam diri kita. Kata orang, selepas usia kita melangkau 40 tahun, maka adalah lebih sukar untuk kita berubah. Jadi, adalah penting bahawa falsafah atau prinsip yang kita pegang itu benar dan yang paling penting ialah prinsip tersebut akan menjamin masa depan kita di dunia dan di akhirat. Usia saya kini menjangkau 36 tahun dan saya hanya ada baki 4 tahun untuk berubah. (hmm.. sekejap rasanya umur ini meningkat naik! mungkin disebabkan oleh kesibukan kerja menyebabkan kita terlupa tentang umur?)

Adalah amat malang sekali sekiranya falsafah yang kita anggap betul itu sebenarnya adalah kesilapan dan meninggal dunia pula sebelum sempat membetulkan prinsip tersebut. Kita semestinya perlu bermuhasabah selalu mengenai perjuangan kita yang sebenarnya dalam hidup ini. Apa sahaja prinsip yang kita gunapakai, hendaklah ianya tidak terpesong daripada ajaran agama Islam kita dan dalam konteks Malaysia ini ialah ajaran ahli sunnah wal jamaah. Untuk mendapatkan falsafah atau prinsip hidup yang terbaik, seharusnya kita menuntut ilmu pengetahuan, menimba serta berkongsi pengalaman daripada manusia yang lain. Sesungguhnya ilmu Allah Maha Luas. Sebaik-baik manusia itu ialah yang paling banyak memberi manafaat kepada manusia yang lain. Semua manusia itu boleh dikatakan memberikan sumbangan dan manafaat kepada manusia yang lain selagi kerja atau ibadah yang kita lakukan itu halal dan di sisi Allah S.W.T. Dan ianya boleh dicapai dengan mempunyai falsafah yang betul dan efisyen.
Wallahualam.

No comments:

Post a Comment