Sunday, October 31, 2010

EHSAN


Pada 3 Oktober yang lalu, saya dan warga kerja lain telah sempat menghadiri satu majlis tazkirah oleh Yang Berbahagia Dato’ Sheikh Mohd Badarudin Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Kedah yang dijemput khas sempena meraikan bakal haji anggota kerja syarikat. Saya tertarik dengan ceramah Dato’ Mufti yang menyebut tentang makam manusia yang lebih mulia dari iman iaitu manusia yang EHSAN.
Rasulullah S.A.W menyebut, Ehsan ialah “Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Namun jika engkau tidak dapat (beribadah seolah-olah) melihat-Nya, sesungguhnya Ia melihat engkau”. Orang yang ada sifat ehsan itu bersifat mulia di kalangan orang beriman. Manusia mungkin mempunyai iman, namun tidak semua yang beriman itu ada sifat ehsan.
Apa itu Ehsan?.. dari apa yang saya faham dari ceramah Dato Mufti, sifat Ehsan ialah satu sifat yang sentiasa beringat bahawa Allah senitasa melihat apa sahaja aktiviti yang dilakukan dari segi rohani dan jasmani. Oleh itu, secara tak langsung, sifat hati yang bersih, redha, taqwa, berjiwa besar, baik sangka, yang tiada langsung ingin berdendam atau tiada hasad dengki dan sebagainya wujud dalam manusia Ehsan.
Ada orang kata, biarlah orang buat tak baik pada kita, asalkan jangan kita buat tak baik kepada orang. Contohnya, Si A yang menggunakan bomoh siam cara halus untuk membinasakan si B, lalu si B mendapat tahu dan menggunakan cara yang sama untuk membalas binasakan si A. Maka dua kali lima, lima kali dua... kedua-duanya mendapat dosa dan dimurkai Allah. A atau B tiada sifat Ehsan. Jika si B tidak membalas dendam, tidak membinsakan A dan berserah kepada Allah maka si B mungkin ada sifat ehsan agaknya.
Mungkin untuk lebih pemahaman, boleh lihat cerita ni pula. Ahmad (bukan nama sebenar) adalah seorang bomoh tulang yang diberikan kelebihan oleh Allah untuk menyembuhkan orang yang patah tulang tanpa perlu ke hospital dan sebagainya. Pada satu hari, Ahmad mengalami kesempitan wang dan kemudian dengan rasa berat hati, pergi ke rumah rakannya Bakar bagi tujuan untuk memohon untuk meminjam sedikit wang daripada rakannya itu. Bakar adalah seorang yang kaya wang dan banyak harta. Bakar tidak mahu meminjamkan wangnya malah memaki hamun si Ahmad. Si Ahmad tidak pula merasa kecewa dan marah atau berdendam dengan Bakar serta redha dengan ujian Allah.Dengan takdir Allah, tidak lama selepas itu, Bakar mengalami kemalangan dan patah tulang kaki. Umum mengetahui, hanya Ahmad yang mampu memulihkan patah tulang kakinya itu. Bakar menjadi serba salah sama ada mahu mendapatkan rawatan dari Ahmad kerana sebelum ini Bakar pernah berlaku sombong dengan Ahmad dan tidak mahu meminjamkan wangnya. Tetapi Bakar tiada pilihan kerana sakitnya semakin serius dan perlu dirawat segera. Lalu si Bakar pergi berjumpa si Ahmad.Sebaik sahaja Bakar sampai ke rumah si Ahmad, lalu Ahmad menyambut Bakar dengan penuh mesra dan melayannya sebagai tetamu seolah-olah tiada apa yang berlaku sebelum ini. Ahmad dengan segera merawat kaki rakannya Bakar dan dengan izin Allah, maka sembuhlah kaki Bakar. Ahmad tidak meminta sebarang bayaran kerana menggangap Bakar adalah rakan karibnya dan memberikan layanan yang terbaik kepada Bakar. (Bakar mungkin menyesal dengan perbuatannya agaknya). Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku antara mereka sebelm ini. Ahmad seolah-olah telah melupakan langsung peristiwa Bakar memakinya semasa ingin meminjam wangnya dulu. Jadi, Ahmad ini dikatakan mempunyai sifat Ehsan tersebut.
Sama-samalah kita muhasabah diri, adakah sifat ehsan ini ada dalam diri kita? Contohnya, semasa kita memandu kenderaan, adakah sifat bertimbangrasa dan baik sangka ini ada? Contoh yang lebih serius ialah katakanlah jika ada saudara mara kita yang mati kerana dibunuh oleh si pulan yang tiada sifat perikemanusiaan. Lalu mahkamah memutuskan si pulan tersebut dihukum mati. Adakah kita menyimpan dendam dengan si pulan itu..? atau kita bersedia memaafkannya dan berserah kepada Allah sahaja..? saya rasa jika kita sanggup memaafkan si pulan, maka sifat Ehsan yang tinggi itu ada dalam diri kita.Mungkin ada banyak lagi contoh-contoh sifat Ehsan ini yang mana kita tidak perasan bahawa kita sebenarnya mengikis sifat-sifat ini kerana terlalu mementingkan keduniaan.
Di bawah adalah beberapa petikan dari internet untuk rujukan mengenai EHSAN.
Dari Umar Radhiallahu’anhu juga, beliau berkata: Pada suatu hari ketika kami duduk bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, tiba-tiba muncul seorang laki-laki yang berpakaian sangat putih dan rambutnya sangat hitam. Pada dirinya tidak tampak bekas dari perjalanan jauh dan tidak ada seorangpun diantara kami yang mengenalinya. Kemudian ia duduk di hadapan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu merapatkan kedua lututnya ke lutut Nabi, dan meletakkan kedua tangannya di atas kedua pahanya, kemudian berkata: ”Wahai Muhammad, terangkanlah kepadaku tentang Islam.” Kemudian Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam menjawab: ”Islam yaitu: hendaklah engkau bersaksi tiada sesembahan yang haq disembah kecuali Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah. Hendaklah engkau mendirikan sholat, membayar zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan mengerjakan haji ke rumah Allah jika engkau mampu mengerjakannya.” Orang itu berkata: ”Engkau benar.” Kami menjadi hairan, kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya. Orang itu bertanya lagi: ”Lalu terangkanlah kepadaku tentang iman”. (Rasulullah) menjawab: ”Hendaklah engkau beriman kepada Allah, beriman kepada para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para utusan-Nya, hari akhir, dan hendaklah engkau beriman kepada taqdir yang baik dan yang buruk.”Orang tadi berkata: ”Engkau benar.” Lalu orang itu bertanya lagi: ”Lalu terangkanlah kepadaku tentang ihsan.” (Beliau) menjawab: “Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Namun jika engkau tidak dapat (beribadah seolah-olah) melihat-Nya, sesungguhnya Ia melihat engkau.” Orang itu berkata lagi: ”Beritahukanlah kepadaku tentang hari kiamat.” (Beliau) mejawab: “Orang yang ditanya tidak lebih tahu daripada yang bertanya.” Orang itu selanjutnya berkata: ”Beritahukanlah kepadaku tanda-tandanya.” (Beliau) menjawab: ”Apabila budak melahirkan tuannya, dan engkau melihat orang-orang Badwi yang bertelanjang kaki, yang miskin lagi penggembala kambing berlumba-lumba dalam mendirikan bangunan.” Kemudian orang itu pergi, sedangkan aku tetap tinggal beberapa saat lamanya. Lalu Nabi shallallahu ’alaihi wasallam bersabda: ”Wahai Umar, tahukah engkau siapa orang yang bertanya itu ?”. Aku menjawab: ”Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Lalu beliau bersabda: ”Dia itu adalah malaikat Jibril yang datang kepada kalian untuk mengajarkan agama kalian.”(HR. Muslim).

Kedudukan Hadis ini sangat penting sehingga sebahagian ulama menyebutnya sebagai “Induk sunnah”, kerana seluruh sunnah berkaitan kepada hadis ini. Islam mencakupi tiga hal, iaitu: Islam, Iman dan Ihsan. Islam berkaitan masalah lahir, iman berkaitan masalah batin, dan ihsan mencakupi keduanya. Ihsan memiliki kedudukan yang lebih tinggi dari iman, dan iman memiliki kedudukan yang lebih tinggi dari Islam. Tidaklah keislaman dianggap sah kecuali jika terdapat padanya iman, kerana kesan dari syahadah mencakupi lahir dan batin. Demikian juga iman tidak sah kecuali ada Islam (dalam batas yang minimum), kerana iman adalah meliputi lahir dan batin.
Wallahualam.

1 comment: