Saturday, May 15, 2010

Mengingati Mati

Biasanya orang jarang sekali dan tidak mahu membicarakan soal kematian kita. Mungkinkah kerana kita belum bersedia untuk menghadapinya? Sebijak-bijak manusia, ialah orang yang banyak mengingati mati. Hakikat kehidupan di dunia ini, kematian akan berlaku pada sesiapa sahaja. Saya kehilangan ayah atau kami panggil ’Apak’ yang meninggal dunia pada tahun 1985. Saya juga kehilangan abang saya Lan (no 3) yang kembali ke rahmatullah semasa beliau berumur 33 tahun pada tahun 2003. Kedua-dua kejadian seperti mimpi dan kehilangan mereka memberikan kesan yang amat besar kepada saya. Sebaik sahaja mereka meninggal, saya pasti akan bermimpi berjumpa dengan arwah seolah-olah menafikan realiti dan menganggap kematian mereka adalah mimpi semata-mata. Namun setelah sekian lama, kenyataan dapat saya terima sedikit demi sedikit. Kejadian tersebut sedikit sebanyak mematangkan pemikiran saya.

Semasa hidupnya, saya pernah berbual dengan Arwah Lan, bagaimana agaknya bila berada di alam barzakh ye..? Bagaimana rasa sakitnya semasa sakratul maut (umpama ditetak 80 kali dengan pedang). Lan seorang yang berilmu juga dari segi agama. Kini beliau sudah pun merasai sendiri kematian dan sudah berada di alam barzakh. Saya pun tak pasti apa nasibnya di alam tersebut. Memang dunia kita dah berbeza sama sekali. Kadang-kala saya tak boleh tidur bila memikirkannya. Lan merupakan abang saya paling lasak di kalangan adik beradik saya. Dia juga seorang yang ramah disukai oleh orang kampung, dan serba boleh serta buat hampir semua jenis kerja, dari panjat pokok kelapa, bawak trailer, technician dan banyak lagi kerja yang dibuatnya. Namun Allah S.W.T telah menetapkan takdir sampai masanya untuk kembali. Lan mengalami sakit dipanggil ’Meningitis’, iaitu terdapat ’nanah’ dalam kepalanya. Manakala Arwah Apak yang bertugas sebagai guru meninggal dunia kerana penyakit Gastrik dan muntah darah.

Kadang-kadang terfikir juga, bila agaknya giliran saya? Sudahkah saya bersedia? Cukup ke bekalan untuk dibawa? apa nasib yang bakal diterima di sana..? Bagaimana dengan hutang-hutang yang masih belum dijelaskan..? bagaimana pula nasib anak-anak dan isteri yang ditinggalkan..? kalau boleh, biarlah saya sempat berbakti kepada Ibu saya sebelum salah seorang dari kami pergi.. kalau boleh biarlah saya sempat memberikan sumbangan kepada syarikat dan bermanafaat kepada manusia yang lain.. memang sudah ada rakan-rakan yang meninggal mengejut akibat kemalangan jalanraya, dan mereka juga sudah tentu belum bersedia agaknya, tetapi mati tetap akan berlaku dan ia berlaku sekali sahaja di dunia ini dan agak mustahil untuk Allah beri peluang kedua untuk kita hidup kembali bagi membetulkan semula ’tunggakan’ di dunia. Seperti juga saya, mereka pun tentunya tak sangka sama sekali akan meninggal dunia. Namun, manusia (termasuk saya) mudah sangat lupa dan terpedaya dengan sandiwara dunia. Sesetengah orang menjaga hubungan dengan Allah semata-mata dan terlupa bahawa kita ada tanggungjawab menjaga hubungan sesama manusia. (Habluminallah, Habluminannas). Kalau ada dosa dengan si pulan, wajib kita memohon maaf daripada sipulan tersebut. Kita mungkin boleh lepas ujian hubungan dengan Allah, tetapi agak malang sekali jika hubungan sesama manusia pulak tersangkut. Allah kata, jika kita tak settlekan problem dengan si pulan tersebut di dunia ini, maka sukarlah untuk kita terlepas di sana. Nauzubillah. Jika kita semua mengingati mati, nescaya pertelingkahan ini tidak berlaku agaknya.

Ada pandangan, nikmat semasa hidup hanya sekali dan kita tak pasti sama ada boleh menikmatinya di alam lain. Oleh itu, ada kalangan kita yang memilih untuk bermewah semasa di dunia kerana peluang mereka mungkin tipis untuk ke syurga. Pada saya, tanggapan tersebut ada benar dan ada silapnya.. saya teringat kata-kata ustaz saya lebih kurang begini.. ’’kita perlu ingat bahawa dunia ini hanya 1% sahaja dan bersifat sementara, 99% atau kehidupan yang kekal yang sebenarnya adalah di sana. Namun begitu, ibadat & amalan hidup 1% di bumi inilah yang akan menentukan nasib 99% hidup di sana..’’. Jadi bukanlah kita tidak boleh bermewah, namun kita perlu bersederhana dalam segala hal termasuk bersederhana dalam berhutang dan berbelanja. Di dalam dunia sekarang, semua yang kita anggap mewah suatu ketika dulu, kini menjadi keperluan pula atas sebab persekitaran ’trend’ hidup masa kini. Contohnya, penggunaan telefon bimbit dan memiliki kenderaan. Dulu ia mungkin dianggap bermewah, tetapi kini ia dianggap satu keperluan hidup. Oleh itu, keperluan untuk kesederhanaan demi untuk ’survival’ hidup kita di dunia ini amat penting sebelum kita mati yakni dijemput kembali ke alam barzakh dan akhirat.

Ya Allah, berilah RahmatMu dan hidayahMu di alam dunia ini. Jauhilah aku dari melakukan kesilapan dan ampunilah dosa-dosa aku yang lalu. Ya Allah aku tidak layak ke syurgaMu, namun aku tidak mampu dan takut api nerakaMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun Dosa-Dosa Besar.

Wallahualam.
Bakri.

No comments:

Post a Comment