Jumlah anak-anak saya sebelum ini adalah 6 (enam) orang dan
kesemuanya adalah lelaki. Bila melihat keluarga saya, kami 5 (lima) orang adik
beradik semuanya adalah lelaki. Anak-anak abang saya pun semuanya lelaki. Cucu
mak saya ni dah pun seramai 11 orang dan semuanya adalah lelaki. Namun syukur Alhamdulillah,
walaupun ramai, rezeki anak-anak saya tetap
ada dan kadangkala ia datang dari sumber yang tidak pernah saya jangkakan.
Apabila isteri saya memberitahu saya bahawa beliau mengandung lagi buat kali ketujuh pada
sekitar bulan Mac tahun lalu, saya tidak merasa teruja sangat dan tidak mahu
mengharap sangat untuk mendapat anak perempuan dan saya redha dengan ketentuan
Allah S.W.T. Setiap anak itu adalah anugerah dan juga amanah daripada Allah.
Apabila mencapai bulan keempat isteri saya mengandung, saya mula melihat
perutnya yang memboyot dan keadaan itu tidak pernah sama dengan keadaan semasa
mengandung anak-anak saya sebelum ini. Namun, saya tak berapa hiraukan sangat
sebab ia cuma bentuk perut. Tidak lama selepas itu, isteri saya mengajak saya
membawanya ke klinik untuk pemeriksaan kesihatannya. Saya pesan kepada beliau,
tak payahla scan-scan lagi. Kita terima sahajalah jantinanya apabila bersalin nanti.
Selepas balik dari klinik, isteri saya tersenyum sahaja dan
saya pun syak ada sesuatu yang dia nak bagitau, tapi saya buat-buat tak tahu
je. Mungkin sebab hal lain kot, kata saya di dalam hati. Saya terus memandu
untuk balik ke rumah. Dalam kereta, isteri saya pun memberitahu saya, doctor dah scan
perutnya. Saya masih tak kisah lagi dan menyampuk, ala.. boy lagi kannn..?
Doktor bagitau anak kita ni perempuan bang… ! 150% confirm perempuan! katanya… saya
hanya membalas, ala.. belum tahu lagi.. scan ni boleh percaya ke…? namun dalam
hati, hanya Allah yang tahu betapa terujanya saya ketika itu. Janganlah
diheboh2kan lagi sebab tak tentu lagi.. pesan saya kepada isteri.
Masuk bulan ke enam mengandung, saya bawa isteri saya
menjalani pemeriksaan biasa di klinik. Doktor mendapati tekanan darahnya
meningkat tinggi dan perlu dirujuk ke hospital pakar dengan segera. Selepas
mendapat rawatan pakar pada kali ketiga, doktor scan dan mendapati terdapat ‘defect’
pada bayi dalam kandungan. Beliau mengesan sesuatu seperti usus yang terkeluar
dari perut baby. Penerangan doktor membuatkan isteri saya bertambah panik. Doktor menasihati saya untuk
mendapatkan rawatan di hospital kerajaan kerana satu-satunya pakar bahagian berkenaan
hanya ada seorang di hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar. Pihak pakar swasta merujuk kes kami kepada
hospital Sultan Abdul Halim sebelum dirujuk ke Alor Setar.
Tidak puashati dengan keterangan doktor pakar tadi, kami
terus mencari pakar swasta lain pula iaitu di Alor Setar dan di Perda. Kesemua
doktor pakar (sebanyak 5 orang pakar semuanya) memberikan jawapan yang sama, iaitu terdapat terdapat ‘defect’
pada bayi dalam kandungan iaitu sesuatu seperti usus yang terkeluar dari perut
baby. Beliau menerangkan juga, mungkin juga ada defect lain jika kes seperti
ini berlaku. Ia jarang-jarang berlaku mungkin 1 kes dalam 10,000. Kes seperti ini
perlu jalani pembedahan untuk mengeluarkan baby dan doktor pakar baby akan
ambilalih untuk menjalankan pembedahan ke atas baby pula.
Hanya Allah yang tahu bagaimana perasaan saya dan isteri
ketika itu, baru nak dapat anak perempuan, ada masalah pula. Saya hanya
serahkan kepada Allah atas ketetapanNya dan mungkin ada hikmah disebalik semua
ini. Bisik hati saya.
Saya mula merangka strategi untuk menghadapi sebarang kemungkinan
dari segi kos kewangan, penjagaan baby dan sebagainya. Saya mulai membuat
simpanan wang, menjual saham dan sebagainya sebagai bekal perbelanjaan nanti
termasuk kos pembantu rumah untuk menjaga anak-anak saya, isteri dan baby
nanti. Jumlah kos ribuan ringgit semasa itu sudah tidak penting lagi kerana keutamaan saya semasa itu ialah supaya keluarga saya terjaga.
Lebih merisaukan lagi, tempoh penghujung sebelum nak bersalin, saya pula perlu
menghadapi peperiksaan akhir pengajian sambilan saya. Adakalanya terfikir nak
hentikan sahaja pengajian ini sebab sudah tidak dapat memberikan tumpuan
lebih-lebih lagi tarikh jangkaan bersalin adalah jatuh pada hari peperiksaan
saya. Semasa tempoh itu juga saya kena bermesyuarat dan berkursus di luar
stesen. Kerap juga saya bercuti kecemasan, syukurlah sebab boss amat memahami
situasi saya semasa itu. Memang amat huru hara juga jadinya namun saya cuba harunginya walaupun perit. Orang tidak tahu bagaimana keperitan ini
saya lalui. Apa yang saya boleh buat ialah berdoa, solat hajat dan sebagainya
agar diberikan ‘keajaiban’. Tekanan demi tekanan mulai saya rasakan. Pemeriksaan
di hospital demi hospital dibuat dan semakin lama dah macam ambik kursus Medic pula rasanya.
Pada 12Nov malam, sekali lagi pemeriksaan dilakukan di
hospital swasta kerana isteri mengadu sakit dan tidak boleh tidur pada waktu
malam. Doktor mendapati pintu rahim dah terbuka 3cm pada hal tempoh kandungan isteri
saya baru mencapai 8 bulan.
Keesokan paginya, saya bawa semua anak-anak saya sambil
dibantu pembantu rumah Indonesia yang baru diambil. Kosnya jangan ceritala, apa
nak buat, itulah kaedah terbaik semasa itu. Setibanya di Alor Setar, saya bawa
isteri saya ke kecemasan untuk bersalin. Di kecemasan pula, dengan selamba dan
tak bersalah, pegawai di kaunter memberitahu bahawa mereka sudah kehabisan kerusi roda. Kotlah nak tolong
ke apa ke… Saya cuba sabarkan hati (ujian Allah ni, kata hati saya). Saya pun
bawa isteri saya perlahan-lahan berjalan kaki ke wad kecemasan di tingkat satu.
Selepas beberapa tapak, pegawai tu tegur balik, encik boleh ambik kerusi roda
tapi kena tinggalkan IC lah. (kenapa la tak cakap siang2… sabar2 lagi). Saya pun
bawa isteri saya ke wad bersalin. Setibanya di wad, saya menceritakan bahawa
isteri saya ni ada kes sebab bayi kandungan terkeluar ususnya dan doktor tak bagi
bersalin normal. Misi tu kata, doktor pakar cuti (hari tu adalah hari
deepavali). Tapi saya minta dipanggil doktor pakar, misi tu kata mana boleh,
diaorang cuti… (Allahuakbar.. sabarlah
hati…). Saya pun sms kepada adik saya yang bertugas sebagai Doktor di KL. Nasib
baik saya mendapat nasihat yang baik dan saya tenanglah sikit.
Sementara menunggu
isteri saya di luar labor room, saya turun sebentar ke kereta untuk belikan
makanan untuk anak2 saya sebab dah hampir tengahari. Selepas selesai, saya naik
semula ke wad tadi dan bertanya apakah status isteri saya. Terkejut besar saya
apabila diberitahu misi bahawa isteri saya sudah bersalin normal. Baby pula sudah dihantar ke
wad NICU.
Saya pun bergegas ke NICU dan berjumpa doktor serta melilhat baby.
Doktor berkata semuanya selamat dan tiada ‘defect’ atau usus terkeluar seperti
yang didakwa oleh doktor-doktor pakar sebelum ini. Wahh…. Keajaiban baru sahaja berlaku. Saya tidak
bertanya lagi soal jantina anak saya itu. Baby diletakkan di dalam ‘balang’
kerana lahir tidak cukup bulan (pre mature). Saya lihat tertulis di tepi balang,
baby ‘Female’, 1.67kg. Alhamdulillah, hanya itulah sahaja kalimah yang saya
ucapkan sepanjang hari tersebut. Disebabkan lahir ‘premature’, saya tidak boleh
membawanya balik ke rumah lagi walaupun isteri saya dah boleh discas.
Selama dua
minggu saya berulang alik melawat baby dan Alhamdulillah, anak perempuan saya
dibenarkan pulang selepas mencapai berat 1.8kg. Rupa-rupanya perkhidmatan hospital kerajaan pun boleh dikatakan baik juga sebab fasiliti mereka yang lebih baik dan baru berbanding swasta.
Bila direnung-renungkan balik, memang banyak ujian yang saya
lalui sepanjang tempoh tersebut. Kami bersyukur kehadrat Allah kerana
dikurniakan juga seorang anak perempuan yang sihat dan normal pada akhirnya iaitu untuk anak kami
yang ke tujuh.
Sungguh indah dan strategik
perancangan Allah yang mengatasi segala-galanya di dunia ini. Rupa-rupanya semua proses
yang dilalui itu adalah sebenarnya ujian Allah kepada saya untuk melihat sejauh mana kebergantungan
saya kepada Allah S.W.T.
Ternyata banyak sungguh kelemahan hambaMu ini dan
sesungguhnya aku memohon ampun atas segala keterlanjuran. Setiap sesuatu yang
berlaku, pasti ada hikmahnya yang tersendiri.
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.
No comments:
Post a Comment