Thursday, March 15, 2012

Poka-yoke





Rasanya dah lama saya tak mengemaskini atau menulis pada blog ni. Akhir-akhir ini saya agak sibuk dengan urusan keluarga dan kerjaya. Syukur alhamdulillah, beberapa masalah hidup dapat diselesaikan dengan izin Allah.


Kali ini saya nak berkongsi dengan satu konsep yang dikenali sebagai Poka-yoke. Satu lagi term yang saya baru belajar semasa berkursus di Shah Alam baru-baru ini. Poka-Yoke berasal dari bahasa Jepun yang bermaksud "fail safing" atau "mistake-proofing" atau dalam bahasa melayunya “pencegah/pengelak kesilapan”. Pada asalnya, ia dikenali sebagai baka-yoke, yang bermaksud "fool-proofing" ("idiot prrofing") atau “pencegah kebodohan”. Nama baka yoke ditukar kepada poka-yoke mungkin untuk ayat yang lebih sopan.


Dalam sektor perkilangan, Poka-yoke amat popular sebagai mekanisma yang digunakan di dalam bidang "lean manufacturing", ia banyak membantu operator kilang mengelakkan dari berbuat kesilapan. Objektifnya ialah untuk menghapuskan ‘defect’ dengan cara pencegahan, pembetulan atau memberikan amaran daripada berlaku kesilapan yang sering dibuat oleh manusia. Kebanyakan alat elektronik, elektrik dan sebagainya menggunakan konsep Poka-Yoke. Ia tidak terhad kepada manufacturing, malah merangkumi kesemua proses yang diingini.


Antara jenis-jenis KESILAPAN yang sering kali ditemukan ditempat kerja yang berkaitan dengan manusia ialah LUPA, CUAI, TIADA PETUNJUK, SABOTAJ, KEMALANGAN, TIDAK PIAWAI dan sebagainya. Fungsi dasar dari POKA YOKE adalah memberikan peringatan (warning) dan mengambil tindakan secara automatik.

Contoh yang paling mudah ialah kad ATM. Kalau kita masih ingat, selepas seseorang mengeluarkan duit tunai dari mesin ATM, seringkali terlupa untuk menarik kad ATM. Fitrah manusia bila dah ambil duit, kemungkinan terlupa untuk ambil kad dan berlaku kes kad ATM tertinggal. Kini, konsep Poka Yoke digunakan iaitu seseorang itu akan menarik kad ATMnya terlebih dahulu, kemudian barulah disusuli dengan duit. Dengan cara itu, kuranglah risiko terlupa menarik kad ATM kembali oleh pemilik kad.

Contoh lain ialah seperti ’penutup minyak petrol’. Seringkali selepas mengisi minyak, kadangkala kita terlupa nak menutup kembali. Jadi, sekarang sudah banyak kenderaan yang membuat tali penyangkut pada ’penutup’ atau ’cap’ bagi mengelakkan terlupa menutup kembali.

Contoh dalam aspek keselamatan, ‘interlocking system’ pada sistem kendalian alat suis. Halangan untuk pembumian selagi belum off. Sistem ‘protection’, relay setting dan sebagainya itu adalah poka yoke.


Zaman sekarang, kita selalunya membawa Thumb drive untuk tujuan menyimpan data atau untuk ‘copy’ data dari mana-mana USB. Kerapkali kita hilang thumb drive ekoran saiznya yang kecil. Jadi, salah satu Poka Yoke yang boleh kita buat ialah dengan menyangkut thumb drive bersaiz kecil tersebut pada rantai leher atau pun pada ‘key chain’ bersama dengan kunci kenderaan dan sebagainya. Biasanya kunci kenderaan kita jaga dengan cermat, jadi thumb drive lebih selamat bersamanya.


Malah di dalam proses kerja kita juga boleh letakkan unsur poka yoke. Contohnya ialah pengaturcaraan sistem komputer. Sistem komputer secara automatiknya tidak akan benarkan ‘sesuatu proses penting’ selagi proses tertentu belum dibuat mengikut tatacara process flow yang dikehendaki.

Dalam syarikat, audit merupakan sesuatu yang memerlukan disiplin seseorang bagi memastikan sesuatu proses tersebut dipatuhi (compliance). Jadi, kita sebenarnya boleh meletakkan unsur Poka Yoke di dalam sesuatu proses.bagi tujuan mencegah berlakunya kesilapan yang mana akan menyebabkan perkara jadi tertunggak. Senarai semak atau checklist itu juga adalah Poka Yoke sebenarnya.

Ringkasnya, Poka Yoke adalah sesuatu yang amat berguna kepada kehidupan kita seharian. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment