Thursday, August 19, 2010

ROCK



Semasa bersahur pagi ini, saya sempat menonton siaran astro berjudul ‘Rock’. Saya cuma tersenyum sendiri melihat cerita tersebut. Bukan kerana sebab komedi atau sinis, tetapi filem itu mengingatkan saya ke zaman remaja saya yang begitu gila kepada rock pada sekitar tahun 1989 – 1993. Saya masih ingat lagi pada ketika itu, saya amat meminati gitar dan semuanya bermula apabila abang saya yang sulung membeli sebiji gitar. Semasa saya bersekolah rendah, saya adalah orang yang meminati sukan bolasepak. Namun selepas diserang sakit gastrik dan dimasukkan ke dalam wad semasa tahun 1985, saya banyak menghabiskan masa di dalam rumah dan bermain gitar sahaja.

Saya belajar sendiri dan tidak pernah memasuki mana mana kelas muzik formal. Di kampong semasa itu, manalah ada kedai muzik untuk belajar semua tu. Saya banyak belajar daripada pemerhatian dari konsert, persembahan kugiran di dalam majlis kenduri kahwin dan menonton persembahan di TV. Oleh kerana minat yang terlalu mendalam di dalam bidang muzik gitar, saya membuat keputusan untuk lebih aktif lagi iaitu dengan menubuhkan kumpulan band sendiri. Zaman itu memang terkenal dengan era Rock dan arus tersebut menyebabkan saya turut hanyut di dalam Rock. Kumpulan band yang saya minati ketika itu ialah Wings, Search dan banyak lagi. Hampir semua lagu mereka saya dapat kuasai muzik dan gitar solonya.

Kumpulan saya yang pertama terdiri daripada rakan-rakan sekolah dan abang saya sendiri. Lead Gitar saya sendiri, Drummer ialah abang saya Yob, Bass ialah Kamal (kawan sekolah) manakala penyanyinya bersilih ganti. Penyanyi yang pertama ialah Ije (classmate sekolah), kemudian Egol dan kemudian diganti dengan Larkin. Bersama Larkin, kami sempat memasuki dua pertandingan Battle of the Band di Teluk Intan dan di Kampar. Semasa era pertandingan, pemain bass diganti oleh abang saya Yob manakala drummer diambil alih oleh abang saya juga iaitu Lan (Arwah Lan). Namun, kumpulan saya tidak berjaya memasuki separuh akhir disebabkan masalah teknikal. Antara pengadil yang pernah mengadili battle of the Band ialah Akhil Hayy dari kumpulan Riyadh (sekarang dah jadi Ustaz Akhil). Biasanya kami kerap jamming di Railway Studio Teluk Intan dan Manblack Studio di Kampar pada hujung minggu. Lagu yang selalu kami mainkan ialah lagu dari kumpulan May, Wings, Search manakala beberapa lagu Inggeris dari album Kumpulan Metallica dan Ygwie J Malmsteen. Pernah sekali semasa saya jamming di Kampar, kami lepak sekali dengan Abu (gitaris kumpulan May). Kami juga bermain di majlis-majlis perkahwinan. Semua itu terpaksa saya tinggalkan sebaik sahaja menerima tawaran menyambung pelajaran di Politeknik.

Semua itu kini menjadi kenangan manis zaman remaja dan ada peristiwanya yang tersendiri. Saya yakin, ramai lagi yang mempunyai pengalaman dan kenangan yang apabila setiap kali dikenang, pasti kita akan tersenyum sorang-sorang.

Salam,
Bakri.

No comments:

Post a Comment