Sunday, November 21, 2010

BANJIRO


Sepertimana kita semua maklum, awal November baru-baru ini banjir besar melanda negeri Perlis dan Kedah di daerah Kubang Pasu, Padang Terap dan Alor Setar. Peristiwa ini mengingatkan saya kepada banjir besar semasa bertugas di Baling pada tahun 2003 dulu. Ramai yang berkata bahawa banjir kali ini merupakan yang terburuk sejak peristiwa banjir pada tahun 2005 dulu. Pelbagai teori yang diperkatakan mengenai punca banjir ini selain daripada hujan yang berterusan. Keadaan banjir di Thailand yang melimpah ke utara semenanjung lalu empangan Timah Tasoh yang overflow ke kawasan Padang Terap dan Kubang Pasu.

Semasa bertugas di bilik Gerakan banjir, saya sempat membuat rondaan di kawasan Alor Setar hingga ke kawasan Anak Bukit. Melihatkan keadaan rumah, kenderaan, ternakan, yang ditenggelami banjir, berat rasanya penderitaan mereka. Ada yang tinggal sehelai sepinggang, tidur di tepian jalan-jalan raya, ada yang memasang khemah di atas ’divider’ dan bahu jalan kerana nak menjaga keselamatan harta benda. Rumah mertua saya di Megat Dewa sekali lagi ditenggelami banjir sepertimana tahun 2005 dulu. Dalam keadaan bencana, masih ada ’penyangak’ dan pencuri yang mengambil kesempatan merompak harta benda. Nauzubillah, apa jenis manusia agaknya mereka ini agaknya. Beribu-ribu orang terpaksa ditempatkan di pusat penempatan banjir.

Lagi memburukkan keadaan, Loji Air Bukit Pinang yang membekalkan air paip ke Alor Setar didapati tenggelam motornya dan menyebabkan hampir seluruh kawasan Alor Setar lumpuh kerana ketiadaan air bersih. Tiada elektrik masih ok, tetapi ketiadaan air memang amat menguji ketabahan saya sekeluarga. Walaupun rumah yang saya duduki di Jalan Datuk Kumbar tidak dinaiki air banjir, namun ketiadaan air menyebabkan kesulitan kepada keluarga saya. Tiga hari saya tak mandi dan tidak buang air besar kerana tidak sanggup hendak menggunakan tandas tanpa dibersihkan dengan air. Semua kedai dan pasaraya kehabisan air mineral dan berduyun-duyun manusia berebutkan air. Begitulah senario manusia, apabila Allah tarik sedikit sahaja nikmat, maka kelam kabutlah kita semua. Semasa ketiadaan air, saya berusaha mencari air di kawasan Masjid namun semuanya dukacita kerana masjid dan surau juga ketandusan air. Nak ke Jitra, jalan dah terputus dan tenggelam kerana banjir. Bagi warga Kedah yang mempunyai kampung halaman di Kedah, mereka bolehlah balik kampung untuk gunakan air. Perantau macam saya ni, manalah ada saudara untuk ditumpang.

Pada hari ke-4, lalu saya bertekad untuk ke Pendang dengan membawa segala macam botol dan timba. Di Pendang, keadaannya amat tenang dan amat berbeza sekali dengan kekalutan di Alor Setar. Setibanya di Pendang, saya terus menggunakan tandas pejabat di sana untuk melunaskan ’hajat’ saya yang dipendam selama beberapa hari. Alhamdulillah. Selepas itu, saya ke beberapa buah masjid termasuk di Tol Pendang untuk mengambil air bersih. Syukur saya berjaya membawa air-air tersebut yang saya kira mencukupi untuk dua hari. Namun saya silap, air yang saya ambil hanya mencukupi untuk sehari semalam sahaja. Keesokannya saya ke Pendang lagi. Semua urusan terpaksa saya lakukan seorang walaupun dalam masa yang sama agak sibuk dengan tugas 'shift' di bilik gerakan banjir. Isteri saya semasa itu tidak sihat manakala 5 orang anak-anak saya yang masih kecil perlu juga ditengok. Semasa ketiadaan air bersih, hampir tiada kedai makan yang dibuka kerana masalah air. Kami sekeluarga hanya makan apa yang ada di dalam rumah.. kami dah terkepung dengan banjir. Nasi, telur, ikan masin dan sardin serta kicap menjadi makanan utama kami sepanjang banjir.

Selepas semua dah kembali normal, saya cuba merenung kembali dan bermuhasabah. Semua yang berlaku tempohari adalah ujian yang kecil dari Allah kepada hambaNya. Cuba kita lihat keadaan di luar sana yang kebuluran, peperangan dan sebagainya, bagaimanakah mereka boleh survive? Kita di sini hanya diberi sedikit ujian sebagai peringatan oleh Allah, dan kita sebagai hamba Allah seharusnya mengambil pengajaran dan saya yakin tentu ada hikmahnya di sebalik semua ini. Mungkin ini adalah BALA. Iaitu musibah yang diturunkan oleh Allah kepada kita yang lalai dan terpaksa pula ditanggung sama oleh orang-orang yang tidak berdosa. Jika musibah diturunkan kepada orang yang membuat dosa, itu disebut sebagai BALAsan. Tak perlu kita saling menyalahkan orang lain. Kita semakin hari, semakin leka. Mana iman kita? Mana sifat ihsan kita? Sama-samalah kita renungkan perkara ini.
Wallahualam.

Sunday, October 31, 2010

EHSAN


Pada 3 Oktober yang lalu, saya dan warga kerja lain telah sempat menghadiri satu majlis tazkirah oleh Yang Berbahagia Dato’ Sheikh Mohd Badarudin Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Kedah yang dijemput khas sempena meraikan bakal haji anggota kerja syarikat. Saya tertarik dengan ceramah Dato’ Mufti yang menyebut tentang makam manusia yang lebih mulia dari iman iaitu manusia yang EHSAN.
Rasulullah S.A.W menyebut, Ehsan ialah “Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Namun jika engkau tidak dapat (beribadah seolah-olah) melihat-Nya, sesungguhnya Ia melihat engkau”. Orang yang ada sifat ehsan itu bersifat mulia di kalangan orang beriman. Manusia mungkin mempunyai iman, namun tidak semua yang beriman itu ada sifat ehsan.
Apa itu Ehsan?.. dari apa yang saya faham dari ceramah Dato Mufti, sifat Ehsan ialah satu sifat yang sentiasa beringat bahawa Allah senitasa melihat apa sahaja aktiviti yang dilakukan dari segi rohani dan jasmani. Oleh itu, secara tak langsung, sifat hati yang bersih, redha, taqwa, berjiwa besar, baik sangka, yang tiada langsung ingin berdendam atau tiada hasad dengki dan sebagainya wujud dalam manusia Ehsan.
Ada orang kata, biarlah orang buat tak baik pada kita, asalkan jangan kita buat tak baik kepada orang. Contohnya, Si A yang menggunakan bomoh siam cara halus untuk membinasakan si B, lalu si B mendapat tahu dan menggunakan cara yang sama untuk membalas binasakan si A. Maka dua kali lima, lima kali dua... kedua-duanya mendapat dosa dan dimurkai Allah. A atau B tiada sifat Ehsan. Jika si B tidak membalas dendam, tidak membinsakan A dan berserah kepada Allah maka si B mungkin ada sifat ehsan agaknya.
Mungkin untuk lebih pemahaman, boleh lihat cerita ni pula. Ahmad (bukan nama sebenar) adalah seorang bomoh tulang yang diberikan kelebihan oleh Allah untuk menyembuhkan orang yang patah tulang tanpa perlu ke hospital dan sebagainya. Pada satu hari, Ahmad mengalami kesempitan wang dan kemudian dengan rasa berat hati, pergi ke rumah rakannya Bakar bagi tujuan untuk memohon untuk meminjam sedikit wang daripada rakannya itu. Bakar adalah seorang yang kaya wang dan banyak harta. Bakar tidak mahu meminjamkan wangnya malah memaki hamun si Ahmad. Si Ahmad tidak pula merasa kecewa dan marah atau berdendam dengan Bakar serta redha dengan ujian Allah.Dengan takdir Allah, tidak lama selepas itu, Bakar mengalami kemalangan dan patah tulang kaki. Umum mengetahui, hanya Ahmad yang mampu memulihkan patah tulang kakinya itu. Bakar menjadi serba salah sama ada mahu mendapatkan rawatan dari Ahmad kerana sebelum ini Bakar pernah berlaku sombong dengan Ahmad dan tidak mahu meminjamkan wangnya. Tetapi Bakar tiada pilihan kerana sakitnya semakin serius dan perlu dirawat segera. Lalu si Bakar pergi berjumpa si Ahmad.Sebaik sahaja Bakar sampai ke rumah si Ahmad, lalu Ahmad menyambut Bakar dengan penuh mesra dan melayannya sebagai tetamu seolah-olah tiada apa yang berlaku sebelum ini. Ahmad dengan segera merawat kaki rakannya Bakar dan dengan izin Allah, maka sembuhlah kaki Bakar. Ahmad tidak meminta sebarang bayaran kerana menggangap Bakar adalah rakan karibnya dan memberikan layanan yang terbaik kepada Bakar. (Bakar mungkin menyesal dengan perbuatannya agaknya). Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku antara mereka sebelm ini. Ahmad seolah-olah telah melupakan langsung peristiwa Bakar memakinya semasa ingin meminjam wangnya dulu. Jadi, Ahmad ini dikatakan mempunyai sifat Ehsan tersebut.
Sama-samalah kita muhasabah diri, adakah sifat ehsan ini ada dalam diri kita? Contohnya, semasa kita memandu kenderaan, adakah sifat bertimbangrasa dan baik sangka ini ada? Contoh yang lebih serius ialah katakanlah jika ada saudara mara kita yang mati kerana dibunuh oleh si pulan yang tiada sifat perikemanusiaan. Lalu mahkamah memutuskan si pulan tersebut dihukum mati. Adakah kita menyimpan dendam dengan si pulan itu..? atau kita bersedia memaafkannya dan berserah kepada Allah sahaja..? saya rasa jika kita sanggup memaafkan si pulan, maka sifat Ehsan yang tinggi itu ada dalam diri kita.Mungkin ada banyak lagi contoh-contoh sifat Ehsan ini yang mana kita tidak perasan bahawa kita sebenarnya mengikis sifat-sifat ini kerana terlalu mementingkan keduniaan.
Di bawah adalah beberapa petikan dari internet untuk rujukan mengenai EHSAN.
Dari Umar Radhiallahu’anhu juga, beliau berkata: Pada suatu hari ketika kami duduk bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, tiba-tiba muncul seorang laki-laki yang berpakaian sangat putih dan rambutnya sangat hitam. Pada dirinya tidak tampak bekas dari perjalanan jauh dan tidak ada seorangpun diantara kami yang mengenalinya. Kemudian ia duduk di hadapan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu merapatkan kedua lututnya ke lutut Nabi, dan meletakkan kedua tangannya di atas kedua pahanya, kemudian berkata: ”Wahai Muhammad, terangkanlah kepadaku tentang Islam.” Kemudian Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam menjawab: ”Islam yaitu: hendaklah engkau bersaksi tiada sesembahan yang haq disembah kecuali Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah. Hendaklah engkau mendirikan sholat, membayar zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan mengerjakan haji ke rumah Allah jika engkau mampu mengerjakannya.” Orang itu berkata: ”Engkau benar.” Kami menjadi hairan, kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya. Orang itu bertanya lagi: ”Lalu terangkanlah kepadaku tentang iman”. (Rasulullah) menjawab: ”Hendaklah engkau beriman kepada Allah, beriman kepada para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para utusan-Nya, hari akhir, dan hendaklah engkau beriman kepada taqdir yang baik dan yang buruk.”Orang tadi berkata: ”Engkau benar.” Lalu orang itu bertanya lagi: ”Lalu terangkanlah kepadaku tentang ihsan.” (Beliau) menjawab: “Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Namun jika engkau tidak dapat (beribadah seolah-olah) melihat-Nya, sesungguhnya Ia melihat engkau.” Orang itu berkata lagi: ”Beritahukanlah kepadaku tentang hari kiamat.” (Beliau) mejawab: “Orang yang ditanya tidak lebih tahu daripada yang bertanya.” Orang itu selanjutnya berkata: ”Beritahukanlah kepadaku tanda-tandanya.” (Beliau) menjawab: ”Apabila budak melahirkan tuannya, dan engkau melihat orang-orang Badwi yang bertelanjang kaki, yang miskin lagi penggembala kambing berlumba-lumba dalam mendirikan bangunan.” Kemudian orang itu pergi, sedangkan aku tetap tinggal beberapa saat lamanya. Lalu Nabi shallallahu ’alaihi wasallam bersabda: ”Wahai Umar, tahukah engkau siapa orang yang bertanya itu ?”. Aku menjawab: ”Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Lalu beliau bersabda: ”Dia itu adalah malaikat Jibril yang datang kepada kalian untuk mengajarkan agama kalian.”(HR. Muslim).

Kedudukan Hadis ini sangat penting sehingga sebahagian ulama menyebutnya sebagai “Induk sunnah”, kerana seluruh sunnah berkaitan kepada hadis ini. Islam mencakupi tiga hal, iaitu: Islam, Iman dan Ihsan. Islam berkaitan masalah lahir, iman berkaitan masalah batin, dan ihsan mencakupi keduanya. Ihsan memiliki kedudukan yang lebih tinggi dari iman, dan iman memiliki kedudukan yang lebih tinggi dari Islam. Tidaklah keislaman dianggap sah kecuali jika terdapat padanya iman, kerana kesan dari syahadah mencakupi lahir dan batin. Demikian juga iman tidak sah kecuali ada Islam (dalam batas yang minimum), kerana iman adalah meliputi lahir dan batin.
Wallahualam.

Monday, October 25, 2010

KEY PERFORMANCE INDICATOR (KPI)


KPI bukan perkara baru, ia dah pun berjalan bukan sahaja oleh syarikat-syarikat swasta, malah juga oleh agensi-agensi kerajaan. KPI telah melalui bermacam-macam versi dan ia dilaksanakan mengikut tahun kewangan sesebuah organisasi. Ia juga dinamakan sebagai ‘strategic objective’. Mengikut teori, Key Performance Indicator (KPI) ialah satu terma ‘industry jargon’ bagi tujuan untuk mengukur tahap prestasi yang direkodkan. KPI biasanya digunakan untuk sesebuah organisasi untuk menilai tahap kejayaan atau terhadap tahap sesuatu aktiviti yang ditetapkan. Kadangkala sesuatu kejayaan itu didefinasikan dari sudut ‘progress’ yang dicapai dari masa ke semasa dalam menuju ke arah mencapai sesuatu objektif strategik organisasi.
Pelbagai perkara di dalam KPI yang ditetapkan kadangkala menjadi pertikaian di peringkat operasi. Kesemua persoalan itu realistik dan logik tetapi sejauhmanakah pertikaian kita itu relevan kepada persoalan tersebut?. Kadangkala ia perlu dipandang dari perspektif yang lebih praktikal dan optimistik.
Kadangkala, tahap kejayaan itu bercorak pencapaian ulangan (repeated achievement) dalam sesetengah sasaran peringkat operasi, contohnya seperti ‘zero defects’, Service Excellence 10/10, customer satisfaction dan sebagainya. Memilih KPI yang tepat dan betul memerlukan kefahaman yang tinggi mengenai apakah perkara yang penting untuk syarikat. Biasanya, unit Pengurusan Strategik sesuatu organisasi itulah yang akan menentukannya. Lazimya, KPI ditentukan berdasarkan empat area melalui konsep pengurusan KPI atau ‘framework’ yang dinamakan sebagai Balance Score Card (BSC). 4 'main area' yang penting ialah Finance, Customer, Internal Process dan Learning & Growth. Ke empat-empat item BSC perlu ada barulah 'balance' KPI.

Balance Score Card ialah ‘tools’ yang sering digunakan untuk pengurusan prestasi organisasi. Ia boleh dikatakan ‘tried & proven method’ cuma yang mungkin menjadi pertikaian ialah sejauhmana ketepatan perlaksanaannya. Ia konsep yang bagus di mana ia membolehkan seseorang pengurus untuk memantau dan mengawal sesuatu perlaksanaan aktiviti.

Ada juga kadangkala orang membezakan yang mana BAU (Business as Usual) dan yang mana KPI. BAU ialah kerja rutin atau kerja hakiki harian, mingguan dan sebagainya contohnya ialah seorang kerani tugas hariannya ialah memastikan semua surat menyurat dikemaskini. Jika beliau terleka atau tidak melakukan kerja hariannya itu, akan menyebabkan backlog atau tertunggak. Maka ia disebut sebagai tidak melaksanakan BAU nya. Manakala KPI biasanya diukur dalam jarak yang lebih panjang seperti mingguan, bulanan, suku tahun, tahunan, 5 tahun dan sebagainya. Kalau merujuk kepada Ketua Jurutera Negeri..
BAU = kerja hangpa, hangpa buat.
KPI = kerja kami, hangpa buat.
Perkataan 'kami' merujuk kepada pengurusan atasan, manakala perkataan 'hangpa' merujuk kepada pekerja bawahan di peringkat operasi. Bila difikir-fikirkan balik, betul juga. Namun, saya yakin pasti ada lain-lain definasi lagi yang boleh diperbahaskan kerana konsep 'teamwork' sepatutnya wujud dalam melaksanakan KPI dan BAU.
Ketika kita diterima bekerja, kita mungkin masih ingat iaitu kita pernah menandatangani satu surat kontrak perjanjian untuk melaksanakan apa sahaja kerja yg diarahkan oleh syarikat dan bersedia untuk ditukarkan ke mana-mana stesen yang diarahkan. Kerja hakiki kita itulah sebenarnya adalah BAU. Kadang-kala BAU boleh jadi KPI.. manakala KPI boleh dijadikan BAU.. jika kerja itu banyak backlog, ia mungkin dijadikan KPI.. selepas kembali pulih, ia akan menjadi BAU semula... sekiranya disebabkan arahan daripada Top management mengarahkan ianya ialah KPI, maka kpilah jadinya.. Berdasarkan short term dan long term strategic plan, kadangkala kita perlu inisiatif atau KPI extra/ baru yang perlu dicapai dalam masa yg ditetapkan.. lebih-lebih lagi bisnes teras perlu improve dengan segera. Mematuhi peraturan itu BAU, mematuhi etika berpakaian itu juga BAU dan banyak lagi.

Semua benda yg kita nak capai, perlulah boleh diukur atau measurable.. kalau tak boleh measure bagaimana kita nak tahu sama ada sasaran kita itu dicapai atau tidak? Afterall, kita kerja dengan orang. Kita hanya bekerja makan gaji dan tak mungkin boleh perfect. Kalau kita jadi CEO syarikat kita sendiri pun, kita mungkin boleh cipta keuntungan, NAMUN ia belum tentu boleh dapat memuaskan hati semua anak buah kita. Melakukan yang terbaik dalam BAU mungkin kita boleh kaitkan demi mendapat keberkatan pada rezeki (gaji) yang diterima setiap bulan... sedangkan zaman nabi pun ada tentangan, inikan kita manusia biasa.. hanya Allah yg sempurna..

Tidak melaksanakan BAU mungkin menyebabkan syarikat menggunakan tindakan tatatertib sebagai salah satu alternatif. Namun perlu diingat, sebelum menghukum, pengurusan perlu lihat terlebih dahulu, adakah pekerja yang dihukum itu benar-benar telah diberikan terlebih dahulu hak mereka dari segi latihan dan sebagainya? Sekiranya semua itu telah diberikan, dan masih terdapat kelalaian dan keengkaran, ia mungkin wajar dilaksanakan. Dalam pada itu, kita juga perlu menggunakan budibicara yang terbaik dalam melaksanakan amanah kerana tidak semua peraturan yang kita cipta itu benar-benar berkesan dan tepat.

Dari segi analogi lain, contohnya dalam mengerjakan ibadah solat, ia mungkin dinamakan sebagai BAU, jika tidak dilaksanakan, kita menganggung dosa dan hukuman, jika diamalkan kita diberikan reward ataupun pahala. Namun, ia tiada penghujungnya dan sebagai muslim, kita wajib amal dan berterusan improve ibadah solat kita itu. Ia tiada ‘saturated value’ tetapi ia mesti diamalkan dan dipertingkatkan sehingga akhir hayat kita. Bagi seseorang yang mendapat ‘hint’ bilakah tarikh ajalnya, mungkin beliau boleh membuat persiapan dan memperkemaskan KPI akhiratnya.
Ia juga mungkin boleh menjadi KPI jangka panjang atau pendek kepada kita yang tidak tahu sampai setakat manakah umur kita. Allah jua yang Maha Mengetahui.

Wallahualam.

Sunday, October 3, 2010

COAAABAAAAAANNNNN....

Bulan September lepas begitu menguji kesabaran saya. Apa tidaknya, pada minggu lepas boleh dikatakan kesemua lima orang anak-anak saya yang masih kecil itu terpaksa ditahan di dalam wad kerana masalah kesihatan. Ini bukanlah kali pertama anak-anak saya dimasukkan ke wad kerana sebelum ini saya memang pernah harungi beberapa kali pengalaman sebegini. 5 orang anak saya lahir di Hospital swasta dan memang agak mencabar juga kerana dalam masa yang sama perlu menjaga anak-anak saya yang lain yang masih kecil pada setiap kali isteri bersalin. Bila salah seorang anak-anak saya atau pun isteri saya dimasukkan ke dalam wad, maka kami anak beranak pun terpaksa bermalam sekali di dalam wad. Selalunya saya akan berusaha untuk mendapatkan bilik single asalkan saya sekeluarga dapat bersama-sama. Memang ianya agak memenatkan kerana bukan sahaja saya perlu menguruskan keluarga di wad, tetapi dalam masa yang sama, saya perlu menyiapkan kerja-kerja di pejabat, dan dalam masa yang sama saya juga perlu menyiapkan beberapa assignment pengajian saya secara sambilan, dalam masa yang sama, saya perlu membuat kerja-kerja rumahtangga termasuk menyiapkan makan minum anak-anak pada setiap masa, membasuh dan menjemur kain (yang bertimbun-timbun), membersihkan rumah, kekangan kewangan dan sebagainya. Dalam masa yang sama juga minggu lepas, saya perlu memenuhi undangan-undangan rumah terbuka, mengunjung pengkebumian saudara yang meninggal di Perlis, menghadiri kuliah dan exam, menghadiri mesyuarat dan sebagainya. Itupun, ada juga beberapa mesyuarat dan 'function' yang saya terpaksa ‘ponteng’ termasuk mesyuarat di KL dan saya amat bernasib baik kerana boss saya juga begitu memahami keadaan saya ketika itu. Setiap malam pula tidur lewat kerana selepas kesemua anak-anak saya tidur, barulah saya boleh melakukan kerja-kerja pejabat dan mengarang ‘assignment’ saya yang mana ‘deadline’nya juga semasa itu. Kadangkala tidak dapat tidur juga disebabkan anak-anak meragam di tengah malam. Semuanya itu berlaku serentak dan menekan perasaan saya dan berlaku selama hampir dua minggu berturut-turut. Bagaimanapun, saya rasa amat bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik manakala kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan. Saya yakin Allah ingin melihat sejauhmana ketabahan hambaNya dalam menghadapi cubaan. (Ayat 286, surah Al-Baqarah). Setiap muslim hendaklah beriman kepada Allah dan qada’ & qadarNya. Apa yang peliknya, perkara yang sama telah berlaku di mana keadaan yang hampir serupa iaitu terjadi semasa di setiap penghujung semester pengajian saya. Sudah 3 semester saya mengaji part time di IPT Utara ini. Ia berlaku seolah-olah satu kebetulan kerana pada setiap penghujung semester. Peliknya, bila time saya tidak mengaji dulu, tiada pula berlaku insiden-insiden sebegini. Ada kalanya saya berasa hampir putus asa dan mahu sahaja menghentikan pengajian saya. Saya yakin semua ini adalah cobaan daripada Allah untuk melihat sejauhmana saya mampu untuk 'istiqamah' agaknya. Kejadian-kejadian begini secara tidak langsung telah mendekatkan lagi saya dengan keluarga dan membuatkan saya insaf dengan kekuasaan Allah dan sedar bahawa sebenarnya 'nikmat kesihatan' merupakan anugerah yang tidak ternilai. Allahuakbar..

Wallahualam.

Thursday, September 2, 2010

Rumah Allah



Rumah saya di kampong hanya terletak bersebelahan dengan masjid (kira-kira 20meter). Saya pernah sekali terlibat dengan kumpulan tabligh, saya melihat para tabligh ini sanggup berkorban meninggal keluarga, kerjaya dan harta demi niat utuk berdakwah. Saya pernah menyertai mereka pergi dari rumah ke rumah untuk memberikan tazkirah kepada tuan rumah. Pada saya, cara tersebut memang amat baik sekali dari segi matlamatnya. Namun, saya rasa ianya agak konvensional dan strereotype. Pada saya, para pendakwah kita perlu lebih kreatif lagi dan perlu mempelbagaikan cara yang lebih sesuai mengikut peredaran zaman. Dengan pengalaman kecil itu, saya mengetahui sedikit sebanyak mengenai program-program yang diadakan di masjid dan juga peranan sesebuah masjid.

Setahu saya, masjid tidak hanya sebagai tempat bersolat, tetapi juga untuk ibadah lain seperti tempat untuk menegakkan syiar Islam, tempat untuk menyampaikan dakwah & tumpuan ‘tabligh’, tempat untuk menyampai dan menuntut ilmu, tempat untuk bermesyuarat dan sebagainya. sepanjang saya tinggal di sebelah masjid, belum pernah lagi saya melihat non-muslim memasuki masjid itu. Jadi semasa itu, saya beranggapan bahawa masjid haram dimasuki oleh non- muslim.

Namun, pada satu ketika, saya melihat, bagaimana pelancong mulai dibenarkan memasuki Masjid Negara dan Masjid Negeri di Shah Alam. Dalam hati saya, ishh apa pasal kita benarkan pulak non-muslim ini memasuki masjid? Kalangan mereka ini pula adalah dari kaum wanita non muslim. Mereka disyaratkan memakai pakaian menutup aurat dan menjaga adab sepanjang ’lawatan’ mereka di dalam masjid. Lalu saya pun beranggapan bahawa masjid boleh dimasuki oleh non muslim dengan syarat mereka wajib mempunyai adab yang baik dan mengenakan pakaian yang menutup aurat sepanjang berada di dalam masjid. Biasanya pergerakan mereka dipantau oleh pengawal keselamatan. Saya lebih melihatnya dari sudut positif iaitu untuk berdakwah. Mungkin jika ditakdirkan, hati mereka ini terbuka dan tertarik untuk memeluk Islam selepas mereka melihat sendiri keindahan dan kesucian Islam..

Saya teringat kisah bagaimana seorang artis barat iaitu Cat Steven (Yusuf Islam) yang telah memeluk agama Islam selepas menerima hadiah iaitu sebuah kitab suci Al Quran dari rakannya. Pada kita mungkin cara tersebut agak janggal kerana khuatir mengenai bagaimana seorang yang bukan Islam hendak menjaga kesucian Kitabullah tersebut, tambahan pula Cat Steven bukan beragama Islam, mana mungkin beliau boleh mengambil wuduk dan menyentuh Al Quran?. Namun, niat yang ikhlas seseorang itu (rakan Cat Steven), dan juga atas kehendak Allah S.W.T, maka kitab tersebut dijaga dengan baik oleh Cat Stesen, malah Cat Steven mulai mendalami isi kandungan Al Quran tersebut dan akhirnya beliau tertarik dengan Islam lalu mengambil keputusan memeluk agama Islam. Beliau menukar namanya kepada Yusuf Islam.

Mungkin konsep yang sama bagaimana fungsi masjid boleh digunakan untuk tarbiyah, berdakwah untuk menarik minat non muslim ini memeluk agama Islam. Namun ia perlu dikawal oleh pihak yang dipertanggungjawabkan agar pihak bukan Islam tidak sewenang-wenangnya menggunakan Islam itu sebagai proksi kepentingan politik mereka semata-mata. Fungsi masjid perlu berupaya menarik generasi muda yang merupakan pelapis generasi masyarakat Islam akan datang. Saya juga pernah terbaca bagaimana pendakwah Kristian menyebarkan ’agama’ mereka dengan cara yang lebih menarik minat (secara fizikalnya). Saya juga risau dengan paderi kristian yang dilihat lebih kreatif dalam berdakwah di tempat-tempat strategik seperti IPTA dan sebagainya. Pernah saya melihat bagaimana pesakit HIV yang terbiar (beragama Islam) dibantu oleh kristian dan ditempatkan di pusat gereja kerana orang Islam tidak menerima mereka di dalam masyarakat. Lebih serius lagi apabila melihat terdapat sebahagian anak-anak muda kita yang telah murtad. Nauzubillah.

Sama juga kesnya dengan isu kalimah Allah yang digunakan oleh pihak kristian. Mungkinkah umat Islam masih lemah dan generasi muda (X,Y) zaman kini dan akan datang akan mudah terkeliru dengan kalimah Allah yang digunakan oleh Islam dengan kalimah Allah yang digunakan oleh kristian. Adakah konsep ’360 degree of turning over’ masih sukar dilaksanakan iaitu lebih melihat sesuatu isu sebagai satu peluang, di mana isu tersebut digunakan oleh umat Islam sebagai peluang untuk berdakwah dan peluang untuk menjelaskan bahawa Allah dalam erti kata yang sebenar-benarnya kepada bukan Islam dan umat Islam.

Berbalik kepada isu pokok, pada pandangan saya, Masjid dan Surau adalah intitusi Islam yang perlu dimuliakan, bukan sahaja sebagai tempat menunaikan Ibadah solat, tetapi sebagai Pusat Islam sejagat yang lebih berperanan dalam menjaga, membangunkan umat Islam dan pusat pendakwahan Islam bukan sahaja kepada umat Islam, tetapi juga kepada orang yang bukan beragama Islam sebagaimana amalan Rasulullah S.A.W satu ketika dahulu. Berbeza dengan Tanah Haram, pada bukan Islam semestinya diharamkan memasuki Tanah Haram kerana menjaga kesucian tempat tersebut. Malah dari rohaniah, tanah haram (mekah) adalah ’pusat bumi’ yang penuh dengan keajaiban Allah, mungkin tanah haram tidak dapat menerima kehadiran bukan Islam yang ’tidak bersih’ dari segi akidah dan syahadahnya. (Pernah saya terbaca cerita bagaimana orang bukan Islam yang tiba-tiba ghaib sebaik sahaja melintasi sempadan tanah haram) (wallahualam bissawab).

Pokok pangkalnya, dalam kita berdakwah, semestinya kita perlu menjaga kesucian masjid @ rumah Allah. Agama Islam itu adalah lebih luas dan perlu dijunjung dan diletakkan di atas sekali. Politik hanyalah sebahagian daripada Islam itu sendiri.

Wallahualam.
Bakri.

Thursday, August 19, 2010

ROCK



Semasa bersahur pagi ini, saya sempat menonton siaran astro berjudul ‘Rock’. Saya cuma tersenyum sendiri melihat cerita tersebut. Bukan kerana sebab komedi atau sinis, tetapi filem itu mengingatkan saya ke zaman remaja saya yang begitu gila kepada rock pada sekitar tahun 1989 – 1993. Saya masih ingat lagi pada ketika itu, saya amat meminati gitar dan semuanya bermula apabila abang saya yang sulung membeli sebiji gitar. Semasa saya bersekolah rendah, saya adalah orang yang meminati sukan bolasepak. Namun selepas diserang sakit gastrik dan dimasukkan ke dalam wad semasa tahun 1985, saya banyak menghabiskan masa di dalam rumah dan bermain gitar sahaja.

Saya belajar sendiri dan tidak pernah memasuki mana mana kelas muzik formal. Di kampong semasa itu, manalah ada kedai muzik untuk belajar semua tu. Saya banyak belajar daripada pemerhatian dari konsert, persembahan kugiran di dalam majlis kenduri kahwin dan menonton persembahan di TV. Oleh kerana minat yang terlalu mendalam di dalam bidang muzik gitar, saya membuat keputusan untuk lebih aktif lagi iaitu dengan menubuhkan kumpulan band sendiri. Zaman itu memang terkenal dengan era Rock dan arus tersebut menyebabkan saya turut hanyut di dalam Rock. Kumpulan band yang saya minati ketika itu ialah Wings, Search dan banyak lagi. Hampir semua lagu mereka saya dapat kuasai muzik dan gitar solonya.

Kumpulan saya yang pertama terdiri daripada rakan-rakan sekolah dan abang saya sendiri. Lead Gitar saya sendiri, Drummer ialah abang saya Yob, Bass ialah Kamal (kawan sekolah) manakala penyanyinya bersilih ganti. Penyanyi yang pertama ialah Ije (classmate sekolah), kemudian Egol dan kemudian diganti dengan Larkin. Bersama Larkin, kami sempat memasuki dua pertandingan Battle of the Band di Teluk Intan dan di Kampar. Semasa era pertandingan, pemain bass diganti oleh abang saya Yob manakala drummer diambil alih oleh abang saya juga iaitu Lan (Arwah Lan). Namun, kumpulan saya tidak berjaya memasuki separuh akhir disebabkan masalah teknikal. Antara pengadil yang pernah mengadili battle of the Band ialah Akhil Hayy dari kumpulan Riyadh (sekarang dah jadi Ustaz Akhil). Biasanya kami kerap jamming di Railway Studio Teluk Intan dan Manblack Studio di Kampar pada hujung minggu. Lagu yang selalu kami mainkan ialah lagu dari kumpulan May, Wings, Search manakala beberapa lagu Inggeris dari album Kumpulan Metallica dan Ygwie J Malmsteen. Pernah sekali semasa saya jamming di Kampar, kami lepak sekali dengan Abu (gitaris kumpulan May). Kami juga bermain di majlis-majlis perkahwinan. Semua itu terpaksa saya tinggalkan sebaik sahaja menerima tawaran menyambung pelajaran di Politeknik.

Semua itu kini menjadi kenangan manis zaman remaja dan ada peristiwanya yang tersendiri. Saya yakin, ramai lagi yang mempunyai pengalaman dan kenangan yang apabila setiap kali dikenang, pasti kita akan tersenyum sorang-sorang.

Salam,
Bakri.

EMAK



Bila bulan puasa menjelang, mungkin ada kalangan kita yang risau terutamanya yang mengalami penyakit gastric. Percayalah, itu sebenarnya hanya alasan sahaja. Saya sendiri adalah bekas pesakit gastric yang teruk dan gastric tidak pernah menghalang saya dari berpuasa. Saya masih ingat lagi, sudah ditakdirkan saya mengalami sakit gastric yang agak teruk semasa dalam darjah 5 (tahun 1985). Saya mengalami muntah yang teruk selama sebulan hingga terpaksa dimasukkan ke dalam wad hospital di Teluk Intan semasa itu. Semasa di dalam wad, emaklah yang setia menunggu di sebelah katil sepanjang berada di dalam wad. Keadaan saya ketika itu hanya bergantung pada air dan kadangkala saya terpaksa menggunakan gas oksigen hospital untuk bernafas. Emak beritahu bahawa ketika itu agak kritikal dan hampir tiada harapan lagi untuk sembuh. Saya masih ingat lagi, emak memasang niat atau nazar, iaitu sekiranya saya kembali sembuh, emak akan mengadakan kenduri kesyukuran. Syukur alhamdulillah, saya beransur pulih dan sejak itu, emak tidak lagi membenarkan saya bermain bolasepak. Masa saya banyak dihabiskan di dalam rumah sahaja. Hal ini mengingatkan saya mengenai betapa emak sanggup mengorbankan masanya untuk menjaga saya di hospital. Kadangkala saya hampir menangis teringatkan kenangan ini kerana saya masih tidak dapat membalas pengorbanan emak, malah semasa emak diserang sakit jantung dan berada di dalam wad hospital dulu, saya tidak dapat menjaga emak di hospital. Tugas menjaga emak semasa itu hanya dibenarkan kepada kaum wanita sahaja iaitu kakak ipar saya. Kami adik beradik lelaki semuanya balik ke rumah. Semasa abang saya (Allahyarham Zailan) sakit dulu, emaklah orang yang setia menjaga di sisi arwah di kampung sehingga arwah Lan meninggal dunia pada 2003. Banyak lagi pengorbanan emak yang mungkin tidak dinyatakan disini. Mungkin betul juga kata orang, seorang ibu boleh menjaga banyak anaknya, tetapi beberapa orang anak tidak tentu lagi mampu menjaga seorang ibu. Jauh di dalam sudut hati saya sayangkan emak dan memang mahu berbakti. Namun keadaan memaksa untuk saya bertugas di perantauan dan komitmen dengan kerjaya dan kepada keluarga begitu tinggi sekali. Namun saya yakin, semua itu bukanlah alasannya.

Saya ingin berpesan kepada diri saya dan kepada semua rakan-rakan dan saudara, marilah kita bermuhasabah diri di bulan Ramadhan ini. Sekiranya kita masih memiliki emak atau ayah, rebutlah peluang ini untuk memohon ampun maaf dan berbakti kepada mereka. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari kerana peluang yang Allah beri sekali sahaja di dunia ini.

Sekiranya mereka telah tiada, sedekahkanlah doa kerahmatan ke atas roh mereka. Jika tidak sempat memohon ampun atau berbakti kepada mereka, mohon keampunan dari Allah dan berbaktilah kepada orang tua sebelah isteri atau kepada bapa saudara atau mana-mana orang tua yang ’similar’ sebagai ganti balas bakti kita.

Ya Allah Ya Tuhanku, aku berdoa kepadaMu semoga dipermudahkan urusanku supaya niatku untuk berbakti kepada emak dimakbulkan suatu hari nanti. Amin.

Selamat Berpuasa.

Salam.
Bakri.