Sepertimana kita semua maklum, awal November baru-baru ini banjir besar melanda negeri Perlis dan Kedah di daerah Kubang Pasu, Padang Terap dan Alor Setar. Peristiwa ini mengingatkan saya kepada banjir besar semasa bertugas di Baling pada tahun 2003 dulu. Ramai yang berkata bahawa banjir kali ini merupakan yang terburuk sejak peristiwa banjir pada tahun 2005 dulu. Pelbagai teori yang diperkatakan mengenai punca banjir ini selain daripada hujan yang berterusan. Keadaan banjir di Thailand yang melimpah ke utara semenanjung lalu empangan Timah Tasoh yang overflow ke kawasan Padang Terap dan Kubang Pasu.
Semasa bertugas di bilik Gerakan banjir, saya sempat membuat rondaan di kawasan Alor Setar hingga ke kawasan Anak Bukit. Melihatkan keadaan rumah, kenderaan, ternakan, yang ditenggelami banjir, berat rasanya penderitaan mereka. Ada yang tinggal sehelai sepinggang, tidur di tepian jalan-jalan raya, ada yang memasang khemah di atas ’divider’ dan bahu jalan kerana nak menjaga keselamatan harta benda. Rumah mertua saya di Megat Dewa sekali lagi ditenggelami banjir sepertimana tahun 2005 dulu. Dalam keadaan bencana, masih ada ’penyangak’ dan pencuri yang mengambil kesempatan merompak harta benda. Nauzubillah, apa jenis manusia agaknya mereka ini agaknya. Beribu-ribu orang terpaksa ditempatkan di pusat penempatan banjir.
Lagi memburukkan keadaan, Loji Air Bukit Pinang yang membekalkan air paip ke Alor Setar didapati tenggelam motornya dan menyebabkan hampir seluruh kawasan Alor Setar lumpuh kerana ketiadaan air bersih. Tiada elektrik masih ok, tetapi ketiadaan air memang amat menguji ketabahan saya sekeluarga. Walaupun rumah yang saya duduki di Jalan Datuk Kumbar tidak dinaiki air banjir, namun ketiadaan air menyebabkan kesulitan kepada keluarga saya. Tiga hari saya tak mandi dan tidak buang air besar kerana tidak sanggup hendak menggunakan tandas tanpa dibersihkan dengan air. Semua kedai dan pasaraya kehabisan air mineral dan berduyun-duyun manusia berebutkan air. Begitulah senario manusia, apabila Allah tarik sedikit sahaja nikmat, maka kelam kabutlah kita semua. Semasa ketiadaan air, saya berusaha mencari air di kawasan Masjid namun semuanya dukacita kerana masjid dan surau juga ketandusan air. Nak ke Jitra, jalan dah terputus dan tenggelam kerana banjir. Bagi warga Kedah yang mempunyai kampung halaman di Kedah, mereka bolehlah balik kampung untuk gunakan air. Perantau macam saya ni, manalah ada saudara untuk ditumpang.
Pada hari ke-4, lalu saya bertekad untuk ke Pendang dengan membawa segala macam botol dan timba. Di Pendang, keadaannya amat tenang dan amat berbeza sekali dengan kekalutan di Alor Setar. Setibanya di Pendang, saya terus menggunakan tandas pejabat di sana untuk melunaskan ’hajat’ saya yang dipendam selama beberapa hari. Alhamdulillah. Selepas itu, saya ke beberapa buah masjid termasuk di Tol Pendang untuk mengambil air bersih. Syukur saya berjaya membawa air-air tersebut yang saya kira mencukupi untuk dua hari. Namun saya silap, air yang saya ambil hanya mencukupi untuk sehari semalam sahaja. Keesokannya saya ke Pendang lagi. Semua urusan terpaksa saya lakukan seorang walaupun dalam masa yang sama agak sibuk dengan tugas 'shift' di bilik gerakan banjir. Isteri saya semasa itu tidak sihat manakala 5 orang anak-anak saya yang masih kecil perlu juga ditengok. Semasa ketiadaan air bersih, hampir tiada kedai makan yang dibuka kerana masalah air. Kami sekeluarga hanya makan apa yang ada di dalam rumah.. kami dah terkepung dengan banjir. Nasi, telur, ikan masin dan sardin serta kicap menjadi makanan utama kami sepanjang banjir.
Selepas semua dah kembali normal, saya cuba merenung kembali dan bermuhasabah. Semua yang berlaku tempohari adalah ujian yang kecil dari Allah kepada hambaNya. Cuba kita lihat keadaan di luar sana yang kebuluran, peperangan dan sebagainya, bagaimanakah mereka boleh survive? Kita di sini hanya diberi sedikit ujian sebagai peringatan oleh Allah, dan kita sebagai hamba Allah seharusnya mengambil pengajaran dan saya yakin tentu ada hikmahnya di sebalik semua ini. Mungkin ini adalah BALA. Iaitu musibah yang diturunkan oleh Allah kepada kita yang lalai dan terpaksa pula ditanggung sama oleh orang-orang yang tidak berdosa. Jika musibah diturunkan kepada orang yang membuat dosa, itu disebut sebagai BALAsan. Tak perlu kita saling menyalahkan orang lain. Kita semakin hari, semakin leka. Mana iman kita? Mana sifat ihsan kita? Sama-samalah kita renungkan perkara ini.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment