Thursday, August 19, 2010

EMAK



Bila bulan puasa menjelang, mungkin ada kalangan kita yang risau terutamanya yang mengalami penyakit gastric. Percayalah, itu sebenarnya hanya alasan sahaja. Saya sendiri adalah bekas pesakit gastric yang teruk dan gastric tidak pernah menghalang saya dari berpuasa. Saya masih ingat lagi, sudah ditakdirkan saya mengalami sakit gastric yang agak teruk semasa dalam darjah 5 (tahun 1985). Saya mengalami muntah yang teruk selama sebulan hingga terpaksa dimasukkan ke dalam wad hospital di Teluk Intan semasa itu. Semasa di dalam wad, emaklah yang setia menunggu di sebelah katil sepanjang berada di dalam wad. Keadaan saya ketika itu hanya bergantung pada air dan kadangkala saya terpaksa menggunakan gas oksigen hospital untuk bernafas. Emak beritahu bahawa ketika itu agak kritikal dan hampir tiada harapan lagi untuk sembuh. Saya masih ingat lagi, emak memasang niat atau nazar, iaitu sekiranya saya kembali sembuh, emak akan mengadakan kenduri kesyukuran. Syukur alhamdulillah, saya beransur pulih dan sejak itu, emak tidak lagi membenarkan saya bermain bolasepak. Masa saya banyak dihabiskan di dalam rumah sahaja. Hal ini mengingatkan saya mengenai betapa emak sanggup mengorbankan masanya untuk menjaga saya di hospital. Kadangkala saya hampir menangis teringatkan kenangan ini kerana saya masih tidak dapat membalas pengorbanan emak, malah semasa emak diserang sakit jantung dan berada di dalam wad hospital dulu, saya tidak dapat menjaga emak di hospital. Tugas menjaga emak semasa itu hanya dibenarkan kepada kaum wanita sahaja iaitu kakak ipar saya. Kami adik beradik lelaki semuanya balik ke rumah. Semasa abang saya (Allahyarham Zailan) sakit dulu, emaklah orang yang setia menjaga di sisi arwah di kampung sehingga arwah Lan meninggal dunia pada 2003. Banyak lagi pengorbanan emak yang mungkin tidak dinyatakan disini. Mungkin betul juga kata orang, seorang ibu boleh menjaga banyak anaknya, tetapi beberapa orang anak tidak tentu lagi mampu menjaga seorang ibu. Jauh di dalam sudut hati saya sayangkan emak dan memang mahu berbakti. Namun keadaan memaksa untuk saya bertugas di perantauan dan komitmen dengan kerjaya dan kepada keluarga begitu tinggi sekali. Namun saya yakin, semua itu bukanlah alasannya.

Saya ingin berpesan kepada diri saya dan kepada semua rakan-rakan dan saudara, marilah kita bermuhasabah diri di bulan Ramadhan ini. Sekiranya kita masih memiliki emak atau ayah, rebutlah peluang ini untuk memohon ampun maaf dan berbakti kepada mereka. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari kerana peluang yang Allah beri sekali sahaja di dunia ini.

Sekiranya mereka telah tiada, sedekahkanlah doa kerahmatan ke atas roh mereka. Jika tidak sempat memohon ampun atau berbakti kepada mereka, mohon keampunan dari Allah dan berbaktilah kepada orang tua sebelah isteri atau kepada bapa saudara atau mana-mana orang tua yang ’similar’ sebagai ganti balas bakti kita.

Ya Allah Ya Tuhanku, aku berdoa kepadaMu semoga dipermudahkan urusanku supaya niatku untuk berbakti kepada emak dimakbulkan suatu hari nanti. Amin.

Selamat Berpuasa.

Salam.
Bakri.

No comments:

Post a Comment