Pada petang tadi, semasa saya sedang memandu kereta di dalam perjalanan untuk ke pejabat, saya sempat mendengar radio Kedah.FM iaitu satu slot rakaman ceramah agama yang begitu menarik perhatian saya. Ceramah agama tersebut disampaikan oleh YBhg Ustaz Mohd Kadzim Al Hafiz. Beliau memberitahu, Rasulullah S.A.W pernah menyatakan bahawa untuk mendapat kesenangan tanpa kesibukan di dalam dunia ini hanya memerlukan 3 (tiga) perkara asas, di mana jikalau kita mempunyai lebih daripada 3 perkara asas tersebut, maka nescaya hidup kita akan menjadi semakin sibuk. Tiga perkara tersebut ialah:-
1) Sebuah kediaman
2) Pakaian (yang menutup aurat)
3) Makan dan Minum
Jika memilih untuk mempunyai lebih dari 3 perkara di atas, nescaya sibuklah kita di dunia ini. Contoh yang Ustaz beri ialah, membeli kereta. (kerana pengangkutan tak dinyatakan dalam 3 perkara asas). Memiliki kereta akan membuatkan manusia lebih sibuk. Contohnya, bila dah ada kereta, kena pula menjaga ‘maintenance’ kereta. Bila dah ada kereta, sibuk pula kena berjalan ke sana ke mari dengan perjalanan dan sebagainya. Pendek kata, mempunyai kekayaan yang melebihi dari keperluan 3 perkara asas di atas, akan menyebabkan manusia itu semakin sibuk. Wallahualam.
Kata Ustaz lagi, untuk memperolehi rumah atau kediaman yang tenang dan 'luas' bergantung kepada perkara berikut:-
- Bersedekah. Contoh bersedekah yang Ustaz beri ialah seperti menjemput orang miskin berbuka puasa di rumah dan sebagainya mengikut kemampuan.
- Menjaga kebersihan dalam rumah.
- Sentiasa menjaga keharmonian sesama keluarga di dalam rumah tersebut
o Contohnya : Isteri yang sentiasa menghargai apa sahaja pemberian si suami atau sebaliknya. (saling menghargai)
- Rumah yang sentiasa dikunjungi oleh tetamu.
Kata Ustaz lagi, Rasulullah pernah berpesan, ’Ambillah kamu dunia ini dengan cara ’pegang’ dunia dengan tangan tetapi jangan simpan dunia ini di dalam hati..’ dalam ertikata lain, Rasul tidak melarang kita mengejar dunia tetapi cukuplah dengan ’memegang dunia’ dan tidak terlalu mengejar dunia ini hingga berlebihan. Sebaliknya menggunakan dunia ini untuk mencari akhirat.
Walaupun sekejap sahaja saya mendengar ceramah ini, ia membuat saya terfikir semula. Kebanyakan kita di dunia ini sememangnya sibuk sebab memiliki perkara yang lebih dari perkara tersebut iaitu dengan memiliki TV atau Astro, memiliki kereta atau motosikal, memiliki telefon, memiliki saham/bisnes, memiliki harta-harta (yang memerlukan penjagaan) dan sebagainya.
Lantas saya juga terfikir satu lagi pesanan, orang yang memiliki harta itu tetapi kurang memiliki ilmu itu keadaannya lebih penat berbanding dengan orang yang memiliki ilmu tetapi kurang memiliki harta. Ia adalah kerana, harta memerlukan penjagaan daripada pemiliknya.
Harta – Manusia itu terpaksa menjaganya. Sentiasa ada perasaan takut dirompak, selalu menjadi sasaran dengki dan sebagainya.
Ilmu – Ilmu itulah sebaliknya yang menjaga manusia.
Wallahualam.
Bakri.
No comments:
Post a Comment