Wednesday, December 19, 2012

Vibrant Workforce, then Vibrant Muslim




Baru-baru saya berkesempatan menghantar email kepada saluran komunikasi yang diperkenalkan oleh CEO. Saya telah berada di dalam organisasi ini sejak 1995. Justeru itu, dengan izin Allah, sehingga kini saya masih bekerja dengan organisasi ini malah saya mengambil opsyen skim RBTF yang mana membuktikan bahawa hati saya tidak berbelah bagi berbakti untuk organisasi yang saya sayangi ini. Lantaran itu, apabila ada suara-suara untuk memecah belahkan organisasi ini, maka hati saya agak sensitif dan dengan sebab itulah saya menggunakan saluran komunikasi yang ada untuk menyalurkan pandangan hina saya semata-mata untuk 'sustainability' organisasi ini. Memang tidak dinafikan bukanlah satu perkara mudah untuk mempertahan sesebuah organisasi selama-lamanya, namun hanya Allah sahaja yang tahu suka duka pengalaman yang sudah ditempuhi oleh anggota kerjanya.
 
Saya agak terkejut dan terharu apabila tiba-tiba CEO memberikan perhatian kepada email saya tersebut dan 'publish' pula di dalam buletin semasa beliau walhal barangkali banyak lagi email daripada 'vibrant workforce' yang dihantar kepada CEO tersebut. Terbitan slot email saya tersebut juga membuka mata saya bahawa rupa-rupanya pengurusan membaca setiap pandangan anggota kerjanya. Secara ikhlasnya, saya akui memang pernah bekerja di bawah pengurusannya semasa di Perlis sekitar 1997 dulu. Beliau pernah menyuruh saya belajar dan ambil MBA. Ketika itu, saya tidak menghiraukan saranannya itu. Daya kepimpinan beliau semasa itu yang saya lihat begitu bersemangat dan kreatif membuatkan saya tertarik. Ciri-ciri leadership yang ada pada beliau meyakinkan saya bahawa inilah salah seorang bakal pemimpin organisasi ini. Telahan saya nyata benar kerana beliau kini benar-benar seorang CEO sekarang. Saya telah melupakan hasrat saya untuk melanjutkan pengajian selama dua tahun semata-mata untuk berkhidmat dengan beliau di Perlis. Selepas misi mencapai persijilan ISO9000 dicapai, barulah saya memohon untuk menyambung pengajian. Semasa tempoh pengajian, saya kerap memerhatikan beliau dari luar. Sebaik saya menamatkan pengajian dan melapor diri semula untuk bertugas, maka saya cuba 'recap' dan cuba mempraktikkan apa yang saya lihat dan belajar sepanjang bekerja di Perlis di bawah beliau. Percubaan saya adalah semasa dilantik menjadi Branch Manager di Baling, kemudian di Jitra. Alhamdulillah, walaupun agak sukar pada mulanya, ia membuahkan hasil.
 
Kini, saya masih di dalam organisasi ini dan syukur alhamdulillah saya baru sahaja berjaya menamatkan pengajian MBA secara sambilan. Dengan bilangan anak saya yang sudah 7 orang, pastinya banyak sekali halangan untuk belajar sambilan. Buktinya, pengajian saya ini menjangkau tempoh selama hampir 3 tahun untuk dihabiskan walaupun ia boleh dihabiskan dalam masa setahun setengah sahaja sebenarnya. Ijazah bukanlah faktor utama sebenarnya, tetapi isi kandungan pengajian ini amat membantu saya memahami konsep menguruskan sesebuah organisasi dengan lebih baik. 
 
Di dalam organisasi ini, kita perlu menjadi 'Vibrant Workforce' dan dalam masa yang sama, rasanya kita perlu menjadi 'Vibrant Muslim' dalam meningkatkan hubungan kita dengan Allah. Sekiranya diizinkan Allah, saya ingin beralih pula kepada ilmu akhirat bagi tujuan mendekatkan diri ini dengan Allah hanya semata-mata untuk mendapatkan rahmat Allah. Walaupun banyak dosa saya sebelum ini, namun adalah menjadi tanggungjawab kita untuk berubah menjadi lebih baik esok hari. Tidak penting bagaimana kita bermula, yang penting sekali ialah bagaimanakah nanti hidup kita akan berakhir.
 
Wallahualam.
 
 

Monday, October 15, 2012

BELAJAR SECARA SAMBILAN


Salam,

Rasanya dah lama saya tak menulis dalam blog saya ni. Entahlah bermacam-macam perkara yang berlaku kepada saya dan keluarga sejak lima hingga enam bulan yang lepas. Alasan sibuk bukanlah jawapan saya yang tepat tetapi saya rasa lebih tepat ialah saya tidak bermaya untuk menulis ketika diri ditimpa ujian Allah tempohari. Tak perlu saya ceritakan di sini dan biarlah ia menjadi rahsia dan pengalaman hidup yang berguna kepada saya sebagai panduan insan kerdil di sisi Allah S.W.T.

Hari ini, walaupun agak sibuk menguruskan keluarga dan mengulangkaji pelajaran, saya cuba mencuri masa yang ada untuk mengemaskini blog saya ini yang mana saya harap blog saya yang tak sepertinya ini dapat dijadikan koleksi peribadi untuk rujukan generasi akan datang. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu bercakap kosong dan setiap ayat perlu mempunyai ilmu dan hikmah kepada saya dan insane yang lain.

Alhamdulillah, saya kini dalam semester akhir bagi menamatkan pengajian sambilan MBA saya di UUM. Mata pelajaran tidak begitu susah berbanding semasa belajar ijazah kejuruteraan di UiTM dulu. Cuma yang menjadikannya sukar ialah kerana komitmen yang tinggi perlu diberikan kepada kerjaya dan keluarga dalam satu-satu masa. Pengorbanan yang tinggi amat diperlukan bagi sesiapa sahaja yang berniat untuk belajar secara part time. Saya memang salut dan respect kepada mana-mana abang atau kakak yang sudah berkeluarga dan berkerjaya masih sanggup belajar demi untuk masa depan mereka. Begitu tinggi dan besar sekali pengorbanan mereka ini sebenarnya. Apabila saya sendiri merasai pengalaman ini membuatkan saya berasa insaf bahawa benarlah kata-kata ulamak sebelum ini yang menyamakan orang yang belajar dengan orang yang jihad berjuang di dalam peperangan di jalan Allah. Walaupun caranya berbeza tetapi secara dalamannya ia serupa sahaja kerana perlu menentang nafsu. Belajar memerlukan pengorbanan dan disiplin yang amat tinggi lebih-lebih lagi jika sudah berkeluarga.

Apa yang saya lihat di UUM ini sendiri, saya kerap ternampak ada ibu yang terpaksa membawa anak-anak kecil ke kampus Sintok semata-mata untuk hadiri kuliah di hujung minggu. Ada yang terpaksa tawakal meninggalkan anak-anak kecil di dalam kereta di luar bilik kuliah. Ada yang terpaksa memandu kereta dari Ipoh atau KL semata-mata untuk hadiri kuliah di Sintok. Ada yang sanggup menaiki bas seminggu sekali dari KL ke Sintok kerana nak hadiri kuliah. Ada yang terpaksa korbankan sementara urusan keluarga seperti hadiri kenduri sanak saudara kerana semata-mata nak hadiri kuliah. Pendek kata, tiada hari cuti bagi mereka yang belajar secara part time ini. Saya sendiri kadang kala terpaksa breakfast makan roti dan air kosong sambil memandu sejauh 130km ke kelas dan kerap juga terlepas makan tengahhari. Bila letih, tidur (nap) di tepi jalan raya dalam 10-15 minit. Syukur Alhamdulillah ada juga lecturer yang memahami keadaan saya dan ada juga lecturer yang tidak peduli semua itu. Semua itu cubaan dan kesabaran yang tinggi amat-amat;ah perlu. Itu belum lagi pengorbanan yang terpaksa dihadapi oleh ahli keluarga sendiri dan juga pengorbanan dari segi kewangan. Ada satu masa, saya terpaksa menangguhkan pengajian selama 1 sem (6 bulan) kerana terpaksa buat pilihan iaitu samaada untuk tumpukan kepada keluarga atau belajar. Ketika itu, isteri saya sarat mengandung anak kelima dan beberapa orang anak-anak saya jatuh sakit dan dimasukkan di wad hospital. Syukur ada rakan yang memahami keadaan saya dan bersetuju dengan tindakan saya itu. Sebab itulah saya masih belum graduate sebab masa yang tidak mengizinkan ketika itu. Kerap saya hampir tersungkur setiap kali dekat dengan peperiksaan tetapi Allah Maha Berkuasa dan saya dapat melepasinya dengan baik. Saya yakin Allah sudah merancang perjalanan hidup kita. Kini isteri saya sedang sarat mengandungkan anak kami yang ketujuh. Cubaannya hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Jika orang bertanya kepada saya, apa yang amat berharga dengan belajar seperti itu? Semua perkara terpaksa dikorbankan? Bagi saya, perkara yang amat berharga ialah “pengalaman’ atau ‘journey’ saya semasa belajar itu yang paling berharga. Yang kita akan ingat sampai bila-bila nostalgia  bersama-sama kawan-kawan sekuliah, keluarga yang menyokong kita dan tempat belajar itu. Ijazah itu adalah sekeping kertas sahaja.

Kepada yang berniat untuk belajar, ingatlah bahawa Allah sentiasa bersama kita asalkan niat kita ikhlas. Kepada yang sedang belajar, stay on the course!

Salam.

Saturday, July 21, 2012

DUIT

Mari kita renung2kan sempena di bulan Ramadhan yang mulia ini.....

Dengan duit anda mungkin boleh beli sebuah rumah tapi bukan tempat berteduh/berlindung.

Dengan duit anda mungkin boleh beli sebuah jam tetapi bukan masa.

Dengan duit anda mungkin boleh beli katil yang selesa tetapi bukan tidur.

Dengan duit anda mungkin boleh membeli buku tetapi bukan ilmu.

Dengan duit anda mungkin boleh beli kedudukan tetapi bukan kehormatan.

Dengan duit anda mungkin boleh beli darah tetapi bukan nyawa.

Dengan duit anda mungkin boleh beli seks tetapi bukan cinta

Dengan duit anda mungkin boleh beli undi tetapi bukan hati sanubari

Dengan duit anda mungkin boleh beli keseronokan tetapi bukan kebahagiaan

Duit tak boleh beli masa , tapi banyak org yang tak ada masa sebab sepanjang masa kena cari duit.

Duit tak boleh beli tidor , tapi ramai yang tak boleh tidor sbb tak da duit.

Tapi ada juga yang tak boleh tidor sebab banyak duit (takut dirompak).

Anda tak boleh beli ilmu dgn duit tapi anda tak boleh cari ilmu tanpa duit.

Ilmu Allah Maha Luas.. kita lupa dengan Ilmu Akhirat yang biasanya boleh diperolehi tanpa duit, kini banyak kuliah agama secara percuma di masjid dan pondok dsbgnya.

Duit tak boleh beli kehormatan. tapi sebab tak da duit lah ramai org hilang kehormatan .

Tapi ramai juga hilang kehormatan dan maruah kerana agungkan duit.

Duit tak boleh beli nyawa , tapi ramai manusia hilang nyawa sebab tak da duit .

Tapi dek kerana duitlah, banyak juga nyawa yang hilang kerana tamak.

Duit tak boleh beli cinta , tapi ramai yang putus cinta atau bercerai sebab duit

Namun, memang duit bukan segala-galanya, tetapi kini segala-galanya perlukan duit.

Nikmat bahagia bukan disebabkan duit. Allah telah tetapkan rezeki di dunia ini untuk setiap hambaNya.

Kebahagiaan sebenar terletak pada hati.
Kita boleh 'pegang' dunia ini tetapi jangan simpan dunia ini dalam hati. Sebaliknya, jadikanlah dunia ini sebagai 'hamparan sejadah' untuk kita beribadah kepada Allah.

Wallahualam.

Friday, July 20, 2012

AUDIT

Di dalam mana-mana organisasi, bila disebut ‘audit’ saja, maka terbayang kita kepada hampir setiap aspek semakan yang bakal diaudit. Lebih malang lagi, mungkin ada kalangan kita menganggap auditor sengaja mencari kesalahan kita. Audit ataupun ‘periodic check’ merupakan sesuatu yang perlu dilaksanakan bagi menjamin bahawa proses kerja yang dilaksanakan tersebut adalah mematuhi dan memenuhi keperluan syarikat. Bagi syarikat korporat yang mempunyai lembaga pengarah sendiri, audit merupakan ‘tools’ untuk memastikan ‘Corporate Governance’ dipenuhi.
Sejak berada di unit strategic ini, audit sudah menjadi rutin kerja saya dari sebesar-besar audit hingga sekecil-kecil audit. Audit Dalaman Kumpulan, Audit Keselamatan, Audit ISO, Audit Persekitaran Berkualiti, Audit Bangunan dan bermacam-macam lagi. Saya baru saja balik dari menjalankan audit tahunan keselamatan di KL.
Dalam sebuah syarikat franchise atau ala franchise, biasanya audit dilaksanakan oleh satu Unit Khas di peringkat Ibu Pejabat. Namun begitu, stesen sendiri perlu melaksanakan ‘self audit’ sebelum audit yang dibuat oleh Ibu Pejabat tersebut. Oleh itu, setiap bulan pasti ada sahaja audit akan dilaksanakan. Kadangkala audit secara cross dijalankan iaitu stesen A audit stesen B dan begitulah sebaliknya. Ada juga saya dengar anggota kerja yang merungut, bila kami nak buat kerja hakiki kalau asyik terpaksa buat audit saja.
Memang rungutan itu relevan juga, sebab beliau pun kena jaga stesen sendiri. Audit Luar stesen merupakan salah satu kaedah sahaja. Bagi saya, self audit masih boleh dilaksanakan dengan cara melakukan Review Meeting secara berkala dengan konsisten. Checklist atau Scorecard merupakan coverage yang merangkumi keseluruhan aspek kerja harian. Jika dipantau dengan baik, maka aktiviti audit ke luar stesen sudah boleh diminimakan. ‘Self Audit’ ini memerlukan disiplin yang tinggi kerana ia adalah urusan ‘hal ehwal dalaman keluarga’ yang biasanya mempunyai sifat-sifat suka bertangguh. Isu ini perlu ditangani dengan bijak oleh kalangan penyelia di dalam sesebuah stesen tersebut. Kitalah yang akan mencorak dan menentukan hala tuju stesen kita.
CEO kita sudah pun memberikan panduan halatuju yang amat relevan untuk meletakkan syarikat ke peringkat lebih unggul iaitu dengan mempertingkatkan usaha menjadi ‘Vibrant Workforce’ dan ‘Productivity Revolution’. Kedua-dua perkara ini memang sudah sedia ada terpahat dalam anggota kerja kita cuma perlu kita ‘polish’ sahaja. Dengan adanya sifat-sifat ini, maka saya yakin bahawa audit akan dapat dilaksanakan dengan lebih efisyen dan cemerlang.
Salah satu cara untuk menghilangkan stress apabila didatangi audit, kita anggap sahaja audit itu adalah 'nasihat'. Bak kata pepatah, hati manusia tidak akan buta selagi menerima nasihat. Secara fitrahnya, manusia memerlukan nasihat dari masa ke semasa hingga ke akhir hayat.

Friday, June 22, 2012

7 perhentian

Sepanjang perjalanan hidup kita mulai dari alam Ruh sampai diakhirat kelak kita akan melalui 7 tahap perjalanan hidup: Alam Ruh, Alam rahim, Alam dunia, Alam barzakh, Hari berbangkit, Hari berhisab, Hari pembalasan.

Petikan dari blog:
http://pastiislam.blogspot.com/2011/05/perjalanan-manusia-dalam-5-alam.html


Segala puji bagi Allah S.W.T yang mana telah mencipta bumi dan langit, bumi itu pula berlapis, dan langit itu betingkat walaupun kita tidak dapat lihat dengan mata kasar. Begitu juga dengan manusia yang hidupnya itu akan melalui alam-alam, yang bermula dengan penciptaan datuk moyang kita Nabi Adam A.s hingga ke alam barzakh sebelum kita ke alam yang abadi iaitu kekal di Syurga. Berapa alam yang manusia akan lalui sebenarnya?

Alam yang pertama.
1. Alam yang kita lalui di sulbi ayah.
2. Kemudian berpindah ke dalam Rahim ibu.

“Dan ketika Tuhan kamu menjadikan keturunanAdam dari punggungnya, dan Tuhan mengambil kesaksian dari mereka dengan berkata: Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Mereka berkata: Bahkan! Kami menjadi saksi, bahwa kamu nanti di Hari Kiamat tiada dapat mengatakan, bahwa kami ini lalai dari perkara itu”
Surah Al-A’raaf ayat 172

Jelaslah di ayat ini, yang mana Allah S.W.T telah menyatakan kisah Hari Mitsaaq (hari perjanjian) yang mana kita – zuriat Nabi Adam A.s- telah pun berjanji untuk mengakui keesaan dan ketuhanan Allah S.W.T

Alam yang manusia akan telah pun lalui di alam yang mana masanya sejak Allah Ta’ala mencipta Adam A.s dan membekalkan zuriat di tulang punggungnya yang penuh keberkatan.

Alam yang kedua:

Alam yang kita menjalani hidup di dunia.
Ibnul jawzi telah membahagikan peringkat-peringkat umur itu kepada lima kategori:
1. Masa kanak-kanak: iaitu dari peringkat umur bayi hingga seseorang itu mencapai umur lima belas tahun.
2. Masa muda: iaitu dari peringkat umur lima belas tahun (15), hingga umur tiga puluh lima tahun (35).
3. Masa dewasa: iaitu dari peringkat umur 35 tahun, hingga 50 tahun.
4. Masa tua: iaitu dari peringkat umur 50 tahun hingga umur 70tahun.
5. Masa tua Bangka, iaitu dari peringkat umur 70 tahun hinggalah ke akhir umur yang dikurniakan Tuhan.

Mengapakah para Ulama telah membahagikan umur-umur manusia hingga sedemikan peringkat? Apa yang kita sebagai manusia -lebih lebih lagi umat Islam- dapat mempelajari dari pembahagian ini?

Kerana di alam yang kedua inilah -alam yang tidak kekal- alam yang manusia diminta untuk beramal dan diuji, amalan kita di ambil kira –dihisab- oleh itu, maka elok kita mengenal pasti peringkat mana yang harus kita mula mendidik dan beramal anak-anak kita.

Bukan kah Nabi Muhammad S.A.W telah memesan umat Islam:
“Kedua kaki anak Adam itu akan tetapberdiri di hadapan Tuhannya pada Hari Kiamat, sehingga selesai ditanya tentang empat perkara”
1. Tentang umurnya, untuk apa dihabiskan.
2. Tentang masa mudanya, untuk apa dipergunakan.
3. Tentang hartanya, dari mana diperolehi dan untuk apa dibelanjakan.
4. Tentang ilmunya, apa yang sudah dibuat dengannya.

Alam yang ketiga

Di alam Barzakh, ketika kita di kubur.
Bermulanya dari masa manusia keluar dari dunia ini dengan menempuhi mati hinggalah ia dibangkitkan dari kubur.

Siksaan kubur
Siksaan Kubur adalah HAK iaitu benar, sepertimana Rasulullah s.a.w pernah berpesan. Dan beliau telah mengkhabar pada umatnya, “Kebanyakan siksa kubur disebabkan tiada memlihara diri dari kencing.”

Nabi juga berpesan supaya kita memohon pada Allah Ta’ala supaya dihindarkan dari siksaan kubur.
Alam yang Allah S.W.T telah nyatakan dalam firmannya:
“Dan di hadapan mereka terdapat Barzakh, hinggalah ke hari mereka dibangkitkan.” (Al-Mu’minun: 100)

Di alam ini, walau jasad musnah – kecuali para wali-wali Allah S.W.T- ditelan bumi dek zaman, tetapi roh manusia itu kekal di alam Barzakh. Di alam yang mana manusia lalui antara alam Dunia dan alam Akhirat di masa antara dua tiupan.

Alam yang keempat:

Di padang Mahsyar

Bermulanya daripada kebangkitan manusia dari kuburnya untuk menerima pengadilan Tuhan, sehinggalah kepada masuknya ahli syurga ke syurga, dan masuknya ahli neraka ke dalam neraka.

“ Dan ditiupkanlah pada sangkakala, maka mereka pun bangun dari kubur masing-masing, lalu dating kepada Tuhan mereka dengan berbondong-bondong.” (Yasin: 51)

Mizan (Amalan ditimbang)

Di alam ini, umat manusia akan melalui saat genting, mereka akan menuju ke padang Mahsyar supaya amalan mereka dihitung oleh Allah S.W.T, bahkan amalan mereka akan di timbang, sebagaimana firman Allah Taa’la:
“ Dan neraca pada hari itu tepat, maka barangsiapa yang berat timbangannya (kebaikan), niscayalah mereka itu menjadi orang-orangyang beruntung. Dan barangsiapa yang ringan timbangannya, niscayalah mereka itu adalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka tiada mempercayai keterangan-keterangan Kami.” (Al-A’raf:8-9)

Di titian Shirath
Setelah itu manusia akan melalui Shirath (jembatan), yang mana ianya dipasang di atas muka jahannam, seperti diriwayatkan, Shirath itu lebih tajam dari pedang dan lebih halus dari rambut, tatkala itu manusia akan melaluinya menurut kadar amalan masing-masing.
a. Ada yang umpama kilat ketika melintasi titian Shirath. Ada yang umpama angin. Ada yang seperti burung atau kuda.
b. Begitu juga ada yang merangkak dan ada yang dijilat api, dan yang ada terjerumus ke gaung nereka.

Di telaga Nabi Muhammad S.a.w (Haudh)

Setelah terlepas dari titian Shirath, tatkala itu umat manusia yang beriman akan menghampiri Haudh (telaga) Rasulullah S.a.w dan sekali teguk saja segala haus dan dahaga akan hilang. –Supaya Allah mengurniakan pada kita seteguk dari cawan Rasulullah S.a.w- Air dari Haudh itu lebih putih dari susu, lebih manis dari madu.

Pesanan Rasulullah S.a.w
“Siapa yang melepaskan dari seorang Muslim satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, niscaya Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan Hari Kiamat. Siapa yang menutup rahsia (keburukan) seorang Muslim, niscaya Allah akan menutup rahsianya di dunia dan akhirat.”

Dan marilah kita hayati kata mutiara dari Rasulullah S.a.w sebagai pedoman untuk kita tempuhi alam yang keempat ini, dan kita mengharapkan Syafaat dari Baginda S.a.w disaat itu sepertimana kita mengharapkan Syafaat serta Wasilah Beliau setiap kali kita membaca Doa azan, “Wahai Tuhanku yang memumpunyai seruan yang sempurna ini dan sembahyang yang akan didirikan ini, berikanlah dengan limpahan kurniaMu kepada Muhammad Wasilah(kedudukan yang paling tinggi dalam syurga) dan keutamaan serta limpahkanlah kepadanya Maqam yang terpuji yang Engkau telah janjikanbaginya.”

Alam yang Kelima:

Di negeri Abadi (Syurga dan Neraka)
Di alam ini, adalah masa kemasukan ahli neraka dan kemasukan ahli syurga ke syuga buat selama-lamanya yang tiada hujung dan penghabisannya.
Bukankah Nabi Muhammad S.a.w diutuskan untuk membawa rahmat untuk alam-alam, namun begitu ada yang telah mengingkari risalah yang di-utuskan oleh Allah S.w.t. Maka balasan buat oleh yang telah mendustakan Nabi dan tidak beriman, maka balasan mereka seperti tertera dalam Al-Quran:
“ Maka Aku memperingatkan kamu akan api yang bernyala. Tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang jahat. Yang mendustakan (kebenaran) dan yang membelakangkan.” (Al-Lail:14-16)

Telah Allah ciptakan neraka itu dengan mempunyai tujuh pintu. Sebagaiman yang tersebut di dalam Al-Quran:
“Neraka itu mempunyai tujuh pintu, tiap-tiap pintu daripadanya ada bahagian yang sudah ditentukan.

Nama-nama pintu dan tingkat neraka:
1. Jahannam
2. Saqar
3.Lazha
4.Huthamah
5. Sa’iir
6.Jahim
7. Hawiyah

Semua lapisan neraka yang tujuh itu telah diasak dengan berbagai-bagai penyiksaan yang berat, hukuman yang dahsyat serta penghinaan yang terkeji. – Kami memohon Allah Ta’ala, agar Dia melindungi kami sekalian dari siksaan api neraka dan melindungi datuk-nenek kita, kekasih-kekasih kita dan semua kaum Muslimin.

Syurga buat mukmin
Alam syurga yang mana telah dijanjikan buat orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Bukankah Allah S.w.t telah mengkhabarkan kepada kita : “ Dan pimpinlah orang-orang yang bertaqwa (memenuhi kewajiban) ke dalam syurga berbondong-bondong, sehingga apabila mereka mendatanginya, dibukakan pintu-pintunya, dan penjaga-penjaganya berkata: Selamat sejahtera untuk kamu! Kamu telah melakukan yang baik, maka masuklah kamu ke dalamnya buat selama-lamanya.” (Az-Zumar:73)
Syurga yang mana Nabi Muhammad S.a.w penah bersabda: “ Berfirman Allah Ta’ala: Aku sediakan untuk hamba-hambaKu yang saleh sesuatu yang tiada pernah:

a.dilihat oleh mata.
b. didengar oleh telinga
c. tiada telintas di hati sesiapa pun.

Nikmat-nikmat di syurga:
Bayangkan, segala nikmat yang berlaku didunia ini, tiada bandingannya di Syurga, yang penuh dengan nikmat-nikmat yang hebat diantaranya:

1. Mereka ahli syurga: bersandar di atas permaidani yang sebelah dalamnya diperbuat dari sutera.
2. Ada gadis-gadis sopan –santun, belum pernah disinggung oleh manusia dan jin, dan mereka itu bagaikan permata delima dan mutiara.
3. di syurga An-Naim: ada sofa yang bertatahkan emas dan batu permata.
4. Mereka tiada merasa pening kepala atau mabuk.
5. Bidadari-bidadari yang bemata bulat jelita.
6. Tiada matahari yang berhawa panas dan bulan yang berhawa dingin.
7. Air mata Salsabil.
8. Mereka memakai pakaian dari sutera halus.

Nikmat yang besar selepas masuk ke syurga:

Melihat Allah S.w.t

Syurga-syurga yang sediakan ini, ada lapan pintu, dan ianya berbeza dari satu yang lain dan antara satu darjat dengan darjat yang lain sama seperti antara langit dan bumi.Darjat yang paling tinggi ialah SyurgaFIRDAUS yang mana diatas nya terletak Arasy Allah S.w.t dan orang-orang beriman tatkala itu dilimpahi berbilang-bilang nikmat, sehingga ditanya pada mereka: Apakah ada sesuatu yang lain yang kamu mahukan Aku tambahkan? Mereka menjawab:

a. bukankah Engkau telah memasukkan kami syurga
b. dan menyelamatkan kami dari api neraka?

Kemudian Hijab pun terangkat. Maka pada ketika itu, tiada sesuatu yang diberikan kepada kamu lebih utama daripada nikmat melihat kepadaWajah Tuhan Azzawajalla.

Disediakan oleh Muhammad Dzarif Abdul Wahab
Petikan dari buku: Peringatan Tentang Umur Insan oleh Imam Habib Abdullah Haddad
Terjemahan: Syed Ahmad Semait










Friday, June 15, 2012

DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER ?

Assalamualaikum,

Saya tertarik dengan kenyataan Dr Zaharuddin mengenai konsep menutup aurat. Pernah saya melihat artis komen, "walaupun saya tak bertudung, tapi hati saya baik.."... lepas tu, ada yang komen, "belum sampai seru untuk saya bertudung..". Pelik sungguh kenyataan ini, kenapa nak tunggu seru baru nak memakai tudung? nak pergi umrah, kemudian baru bertudung..? anyway bertudung atau lebih tepatnya ialah menutup aurat adalah kewajipan umat Islam.. jelas sekali dalam peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah diperlihatkan dengan berbagai macam seksaan dikenakan ke atas perempuan yang tidak menjaga aurat.. kenapa kita masih menafikannya? saya betul-betul tak faham.. kalau ditegur, dikata kita ni menyibuk dan cuba bermain politik.. kadang-kala golongan terpelajar dan elit juga begitu.. kenapa agaknya...? Semoga Allah menurunkan rahmatNya ke atas kita.. insyaAllah. Mari kita sama-sama baca komen Dr Zaharudin ini dalam websitenya nya, http://zaharuddin.net/

DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER

Ungkapan ini kerap saya dengari, saya yakin anda juga mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat yang sering mendakwa bahawa hatinya baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi serta mendedahkan aurat.
"Orang wanita bertudung pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi." Katanya memberi buah fikirannya.
"Malah, kami juga baik, kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok." Tambah wanita ini lagi.
Benarkah hujah mereka? Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam Islam? Ada juga yang sudah semakin ‘advance' hujahnya lantas berhujah dengan sebuah maksud hadith Nabi yang sahih iaitu :
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu." (HR Muslim)

Simpati bercampur kesal saya mendengar bagaimana terdapat orang yang sewenangnya berhujah dengan hadith untuk menyokong nafsunya. Hanya digunakan Islam dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja.
"Seorang pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa waktu kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak disiapkan, lalu si majikan berkata: "Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja kalau begini sikap kamu?"

Lalu jawab si pekerja : "Saya luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang."
Adakah anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya itu? Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan melanggar perintah-Nya ? Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah dan Rasul-Nya, bukannya neraca pemikiran kita semata-mata. Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya :
"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (HR Muslim)
Berdasarkan hadith ini, menurut neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat di peringkat pertamanya dari tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua adalah samada hatinya bertujuan kerana Allah ata selainnya seperti sekadar menunjuk-nunjuk sahaja.
Justeru, 'we can judge a book by its cover in certain cases' iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting what's inside the heart of a person.'
Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith :
"Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujah), maka jangalah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka." (Riwayat Abu Dawud, Tirmidzi dan lain-lain, rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )
Hadith ini dengan jelas menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan info dan bukti zahir yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah. Mana mungkin hati begini boleh dianggap baik oleh Islam.
Kaum wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendaat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW,
"Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya." (HR Ahmad dan lain-lainnya)
Termasuklah dalam erti mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik? Setelah gunungan dosa mengkaratkan hatinya?
Sesungguhnya Allah itu maha adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali ; Yakinilah bahawa Allah itu benar, Rasul-Nya juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih seolah meraguinya?
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

Sunday, May 27, 2012

Three simple rules..



Setiap tahun, pasti ada sesuatu yang perlu kita korbankan demi untuk berhijrah ke arah suatu kehidupan yang lebih baik. Ketiga-tiga kata hikmat di atas sememangnya benar malah Allah pernah berfirman bahawa Dia tidak akan mengubah nasib kita melainkan kita sendiri yang perlu mengubahnya. Ayat ini bukanlah bermaksud Allah tidak mampu mengubah nasib kita, tetapi kita sendiri perlulah ada komitmen dan berusaha terlebih dahulu untuk berubah dan selepas itu barulah Allah akan membantu kita. Namun, kita manusia yang sangat mudah lupa dengan masa lampau kita.

Sebagai contohnya, kita mungkin tak akan berada di tahap ini sekiranya kita tak ambil langkah untuk berubah pada suatu waktu dulu. Namun peliknya kita ini, apabila sudah selesa dengan kehidupan sekarang, kebanyakan kita sudah tidak mahu lagi berubah. Walhal, perubahan itu perlu dilakukan dari masa ke semasa bukan sahaja untuk ’survival’ hidup kita, malah sebagai tindakan mencegah daripada berlaku sesuatu yang tidak baik di masa akan datang.

Tulisan saya ini mungkin agak ’general’, jadi saya nak ambik satu contoh mudah iaitu diri saya sendiri. Sekiranya saya tidak mengambil keputusan tekad untuk masuk ke politeknik dulu dan meneruskan dengan minat saya dalam band muzik, rasanya tahap paling bagus pun mungkin kerja sebagai pemuzik jalanan sambilan dan bekerja sebagai operator kilang atau mungkin ikut kawan bekerja di mana-mana kedai atau restoran. Namun, inilah qada dan qadar Allah S.W.T. Lepas tamat pelajaran poly, saya meminati untuk bekerja di kilang yang lebih lumayan semasa itu. Namun, semua permohonan saya ke Kilang tak berjaya (ada hikmah daripada Allah) dan saya terpaksa menerima tawaran dari syarikat utiliti elektrik.

Bila bekerja dalam syarikat utiliti ini, sekali lagi bertekad untuk berubah, saya mahu menceburkan diri dalam bidang kejuruteraan elektrik walaupun menyedari ia agak menyimpang dari bidang asal saya iaitu komputer. Hanya berbekalkan semangat yang kuat untuk berubah, saya dapat juga menamatkan pengajian walaupun begitu banyak dugaan yang terpaksa dihadapi selama tiga tahun. Memang saya kurang persediaan dari segi kewangan walaupun begitu, tekad amat kuat sekali, maka ku redah saja ketika itu. Saya pernah hanya makan nasi dengan kicap semasa belajar selama beberapa bulan kerana tiada wang.

Rasa menyesal juga rasanya sebab tidak membuat simpanan sebelum memasuki universiti. Nasib baik juga permohonan PTPTN diperolehi. (bila isu PTPTN nak dimansuhkan dtimbulkan, saya agak kurang bersetuju juga melainkan perlu dibuat penambahbaikan atau ada model yang lebih baik menggantikannya). Walaupun pinjam, ia memang berjasa kerana dapat sedikit sebanyak membantu diri saya ketika itu. Walaupun saya boleh memperolehi pinjaman yang banyak, saya membuat keputusan semasa itu untuk pinjam beberapa ribu sahaja kerana menyedari seksa kemudian hari untuk membayar balik.

Saya juga pernah dihalau diherdik keluar dari makmal oleh pensyarah semasa mula-mula memasuki universiti. Sampai sekarang saya masih tidak tahu sebab musabab saya diperlaku begitu, kadang kala di’kondem’ teruk oleh pensyarah kerana perkara ’basic’ pun saya tak tahu dan sebagainya. Rasanya banyak lagi dugaan yang tak dapat diceritakan di sini. Biarlah ia menjadi pengalaman peribadi. Ramai kawan-kawan yang seangkatan yang tidak sanggup meneruskan pengajian dan balik semula bekerja kerana tidak tahan dengan pelbagai dugaan. Pada ketika itu, sesekali saya rasa memang nak berhenti juga belajar dan balik semula bekerja, tetapi dikuatkan juga hati dan semangat walaupun tanpa ramai teman. Mujurlah prinsip masih dipegang, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, jikalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya... semua falsafah ini saya memang percaya sampai sekarang. Usaha, tawakal dan redha...

Kini dalam pekerjaan, apabila kita disuruh membuat sesuatu perubahan yang kita tidak berapa selesa, kita akan cuba menentang dan tidak mahu lagi berubah. Saya fikir, tindakan begini (tidak mahu lagi berubah) adalah kurang tepat. Walaupun dah stabil dengan kerjaya dan keluarga, tapi percayalah, bahawa perubahan masih diperlukan dalam kehidupan kita kerana Allah lebih mengetahui tentang masa depan kita.
Wallahualam.





Wednesday, April 18, 2012

Setiap kali anak saya masuk hospital....

Alhamdulillah, hari ini anak saya yang bongsu sudah boleh keluar atau 'discharge' dari Hospital Metro. Ini bukanlah kali pertama anak-anak saya diwadkan di hospital, tetapi inilah salah satu perkara yang perlu dihadapi setiap masa. Namun, ia salah satu perkara yang amat menguji ketabahan kerana..

Setiap kali anak saya masuk hospital,
Maka kesemua kami terpaksa bermalam sekali dalam satu wad single.

Setiap kali anak saya masuk hospital,

Bilik single selalunya penuh dan tinggal bilik VIP yang memerlukan kos lebih tinggi.


Setiap kali anak saya masuk hospital,
Anak-anak saya yang lain terpaksa ‘bercuti’ sekolah kerana terpaksa menjaga adik-adik yang lain.


Setiap kali anak saya masuk hospital,

Adanya masalah untuk menghantar atau mengambil anak di sekolah. Saya pula terpaksa berulang alik bekerja di Alor Setar atau di KL.

Setiap kali anak saya masuk hospital,
Masa itulah juga saya dipanggil untuk ‘outstation’ di luar Kedah seperti ke Kuala Lumpur dan sebagainya.

Setiap kali anak saya masuk hospital,
Ketika itu jugalah musim Ujian atau Kuiz bagi pengajian ’part time’ di UUM dan terpaksa ponteng kelas yang menyebabkan kerugian kepada diri sendiri. Sebab yang sama telah berlaku ketika saya terpaksa tangguhkan pengajian selama satu semester dan yuran yang dibayar sebanyak lebih dari 3 ribu, ’burnt’ macam tu sahaja.

Setiap kali anak saya masuk hospital,
Akan berlakunya kesukaran dari segi kewangan kerana masalah-masalah yang tidak dapat diceritakan di sini.

Setiap kali anak saya masuk hospital,
Saya terpaksa menggalas tugas surirumahtangga. Betapa hebatnya kaum hawa kerana tugas suri rumah itu jauh lebih berat kepada kaum lelaki. Perkara ini membuatkan kita lebih insaf dan lebih menghargai kaum hawa yang bergelar isteri dan ibu.

Setiap kali anak saya masuk hospital,
Saya berasa syukur alhamdulillah, boss saya biasanya sentiasa memahami keadaan saya dan memberikan masa yang secukupnya untuk saya uruskan keluarga.


Setiap kali anak saya masuk hospital,
Dituruti beberapa lagi ujian dari Allah yang boleh dikatakan berlaku secara bergilir atau berturut-turut.

Setiap kali anak saya masuk hospital,
Setiap kali itulah juga saya perlu bermuhasabah diri kerana setiap sesuatu itu ada hikmah disebaliknya. Allah itu Maha Mengetahui dan perancanganNya itu adalah untuk kebaikan hambaNya. Wallahualam.

Thursday, March 29, 2012

BUKAN DOA KITA YANG MAKBUL


Saya tertarik dengan satu kisah yang saya baca dari blog powerfaces TNB. Sama-sama kita renungkan dan bermuhasabah diri. Agaknya sebab itulah Nabi kita selalu pesan supaya bersatu dan berjemaah dalam ibadat. Apabila kita solat dan berdoa berjemaah, kemungkinan kita akan dapat tumpang berkat doa salah seorang jemaah dengan kehendak Allah...

......................................................................................................................................................................


Kisah ini berkenaan seorang abang dan seorang adik. Kedua-duanya adalah anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Kedua ibu bapa mereka adalah hamba ALLAH yang soleh. Kedua-dua anak dididik untuk bergantung harap dengan Allah SWT.


Si abang, saban hari berdoa agar ALLAH mengubah nasib hidupnya. Dia meminta kepada ALLAH agar dipertemukan dengan isteri yang cantik lagi kaya. Dia meminta kepada ALLAH agar dirinya kaya raya.


Si Adik pula, seorang yang tidak pandai membaca. Tidak seperti abangnya, dia membaca doa pun dengan melihat kertas. Sebelum bapanya mati, dia pernah meminta bapanya menulis sesuatu di atas kertas, dan kertas itu sering dipegangnya setiap kali berdoa.

Akhirnya, Allah mempertemukan seorang perempuan yang cantik lagi kaya dengannya. Perempuan itu jatuh hati kepadanya, lantas berkahwin. Si Abang seperti mendapat durian runtuh dan kehidupannya terus berubah. Dia keluar dari rumah pusaka, dan meninggalkan adiknya.


Si Abang akhirnya kaya raya, malah terus kaya apabila dia memasuki medan bisnes. Dia sudah mula alpa dengan ALLAH, melewat-lewatkan solah, jarang membaca Al-Quran, tapi tidak pernah lalai untuk meminta kekayaan daripada ALLAH. Kalau masuk dalam bab perniagaan, kekayaan dunia, maka berbondong-bondong doanya kepada ALLAH. Dan ajaibnya, Allah beri apa yang dia minta. Si abang rasa dia istimewa.

Si adik pula, hidupnya tidak berubah. Dia masih seorang sederhana, dengan kelemahannya tidak tahu membaca, dia hannya mendapat kerjaya sederhana, terus menjaga rumah pusaka.


Si adik, juga rajin berdoa. Si abang tahu, si adik rajin berdoa. Tapi Si Abang melihat, hidup adiknya tidak berubah-ubah.


Lantas satu hari, ketika Si Abang menziarahi adiknya, Si Abang berkata dengan sombong: “Kau kena berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa je ALLAH makbulkan. Kau ni tak cukup hampir dengan Allah ni. Berdoa pun masih tengok-tengok kertas. Tak cukup hebat.” Si Adik tersenyum sahaja. Suka abangnya menegur kerana padanya, teguran abang amat bermakna.

Si Adik terus hidup sederhana, di dalam rumah pusaka, dengan doa melihat kertas saban hari, dan kehidupannya tetap tidak berubah. Tidak menjadi kaya seperti abang.

Satu hari, Si Adik meninggal dunia. Ketika Si Abang mengemas-kemas rumah pusaka, dia berjumpa satu kertas. Kertas itu adalah kertas yang adiknya sering pegang ketika berdoa. Si Abang terduduk, menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu.


Kertas itu tertulis: “ Ya Allah, makbulkan lah segala doa abang aku” MasyaALLAH…


Si Abang mula membandingkan dirinya dengan adiknya. Adiknya kekal taat kepada ALLAH dan tidak meringan-ringankan urusannya dengan ALLAH SWT. Adiknya, sedikit pun tidak meminta dunia kepada ALLAH, malah tidak meminta apa-apa untuk dirinya. Tetapi adiknya meminta agar segala doa Si Abang dimakbulkan. Si Abang, tidak pernah sedikit pun mendoakan Si Adik.

Si Abang mula nampak, rupanya, bukan doa dia yang makbul. Tetapi doa adiknya telah diterima oleh ALLAH SWT, lantas segala doanya menjadi makbul.


Cerita ini meruntun hati saya, dan buat saya sentiasa berfikir panjang. Kadang-kadang kita, bila Allah realisasikan hajat kita, kita suka mengimbau usaha-usaha kita. "Aku buat beginilah yang jadi begini." "Doa aku makbul seh!" "Aku ni memang Allah sayang. Tengok, semua benda Allah bagi. Aku minta je pun."

Tanpa sedar kita bongkak. Takabbur. Sedangkan, kita tak tahu, mungkin yang makbul itu adalah doa ibu bapa kita, doa adik beradik kita, doa sahabat-sahabat kita. Bukannya doa kita.

Cerita itu sangat menyentuh hati. Kita sepatutnya tidak lupa mendoakan ibu bapa, guru-guru, keluarga, adik beradik, sahabat-sahabat karib, yang teramat akrab disebutkan namanya agar lebih merasai bahawa kita memerlukan mereka untuk mendoakan kita juga. Kita ini banyak dosa. Banyak hijab.
Mungkin doa orang lain yang lebih bersih hatinya, lebih suci jiwanya yang makbul, menyebabkan rahmat Allah tumpah pada diri kita. Sebab itu jangan berlagak. Jangan tinggi diri. Jangan rasa doa kitalah yang makbul. Pulangkan semuanya kepada Allah. Doa itu sebahagian daripada usaha sahaja sebenarnya. Dan jangan rasa segan nak minta orang lain doakan kita. Semoga bermanfaat kisah ini. Sebarkan jika anda rasa ada manfaatnya. Semoga Allah redha dengan kita.


Wallahualam.

Thursday, March 15, 2012

Poka-yoke





Rasanya dah lama saya tak mengemaskini atau menulis pada blog ni. Akhir-akhir ini saya agak sibuk dengan urusan keluarga dan kerjaya. Syukur alhamdulillah, beberapa masalah hidup dapat diselesaikan dengan izin Allah.


Kali ini saya nak berkongsi dengan satu konsep yang dikenali sebagai Poka-yoke. Satu lagi term yang saya baru belajar semasa berkursus di Shah Alam baru-baru ini. Poka-Yoke berasal dari bahasa Jepun yang bermaksud "fail safing" atau "mistake-proofing" atau dalam bahasa melayunya “pencegah/pengelak kesilapan”. Pada asalnya, ia dikenali sebagai baka-yoke, yang bermaksud "fool-proofing" ("idiot prrofing") atau “pencegah kebodohan”. Nama baka yoke ditukar kepada poka-yoke mungkin untuk ayat yang lebih sopan.


Dalam sektor perkilangan, Poka-yoke amat popular sebagai mekanisma yang digunakan di dalam bidang "lean manufacturing", ia banyak membantu operator kilang mengelakkan dari berbuat kesilapan. Objektifnya ialah untuk menghapuskan ‘defect’ dengan cara pencegahan, pembetulan atau memberikan amaran daripada berlaku kesilapan yang sering dibuat oleh manusia. Kebanyakan alat elektronik, elektrik dan sebagainya menggunakan konsep Poka-Yoke. Ia tidak terhad kepada manufacturing, malah merangkumi kesemua proses yang diingini.


Antara jenis-jenis KESILAPAN yang sering kali ditemukan ditempat kerja yang berkaitan dengan manusia ialah LUPA, CUAI, TIADA PETUNJUK, SABOTAJ, KEMALANGAN, TIDAK PIAWAI dan sebagainya. Fungsi dasar dari POKA YOKE adalah memberikan peringatan (warning) dan mengambil tindakan secara automatik.

Contoh yang paling mudah ialah kad ATM. Kalau kita masih ingat, selepas seseorang mengeluarkan duit tunai dari mesin ATM, seringkali terlupa untuk menarik kad ATM. Fitrah manusia bila dah ambil duit, kemungkinan terlupa untuk ambil kad dan berlaku kes kad ATM tertinggal. Kini, konsep Poka Yoke digunakan iaitu seseorang itu akan menarik kad ATMnya terlebih dahulu, kemudian barulah disusuli dengan duit. Dengan cara itu, kuranglah risiko terlupa menarik kad ATM kembali oleh pemilik kad.

Contoh lain ialah seperti ’penutup minyak petrol’. Seringkali selepas mengisi minyak, kadangkala kita terlupa nak menutup kembali. Jadi, sekarang sudah banyak kenderaan yang membuat tali penyangkut pada ’penutup’ atau ’cap’ bagi mengelakkan terlupa menutup kembali.

Contoh dalam aspek keselamatan, ‘interlocking system’ pada sistem kendalian alat suis. Halangan untuk pembumian selagi belum off. Sistem ‘protection’, relay setting dan sebagainya itu adalah poka yoke.


Zaman sekarang, kita selalunya membawa Thumb drive untuk tujuan menyimpan data atau untuk ‘copy’ data dari mana-mana USB. Kerapkali kita hilang thumb drive ekoran saiznya yang kecil. Jadi, salah satu Poka Yoke yang boleh kita buat ialah dengan menyangkut thumb drive bersaiz kecil tersebut pada rantai leher atau pun pada ‘key chain’ bersama dengan kunci kenderaan dan sebagainya. Biasanya kunci kenderaan kita jaga dengan cermat, jadi thumb drive lebih selamat bersamanya.


Malah di dalam proses kerja kita juga boleh letakkan unsur poka yoke. Contohnya ialah pengaturcaraan sistem komputer. Sistem komputer secara automatiknya tidak akan benarkan ‘sesuatu proses penting’ selagi proses tertentu belum dibuat mengikut tatacara process flow yang dikehendaki.

Dalam syarikat, audit merupakan sesuatu yang memerlukan disiplin seseorang bagi memastikan sesuatu proses tersebut dipatuhi (compliance). Jadi, kita sebenarnya boleh meletakkan unsur Poka Yoke di dalam sesuatu proses.bagi tujuan mencegah berlakunya kesilapan yang mana akan menyebabkan perkara jadi tertunggak. Senarai semak atau checklist itu juga adalah Poka Yoke sebenarnya.

Ringkasnya, Poka Yoke adalah sesuatu yang amat berguna kepada kehidupan kita seharian. Wallahualam.

Sunday, January 8, 2012

Mengendali Bisnes Plan..


Masuk tahun ni, sudah tiga kali saya mengendalikan Program Perancangan Bisnes atau kini dikenali sebagai ‘Operating Plan Formulation Workshop’ (OPFW) di peringkat negeri. Kalau orang perhatikan, apa agaknya pembaharuan yang dibuat dalam mengatur strategi KPI pada tahun ini? Keputusan bonus KPI pada tahun lepas sedikit sebanyak mungkin menjejaskan semangat anggota kerja. Namun, rasanya disebabkan oleh C.A baru yang diluluskan baru-baru ini telah mampu menjadi ‘penawar’.

Saya secara peribadi telah menyertai program Bisnes Plan sebegini sejak tahun 2003 iaitu semasa mula-mula menjadi Pengurus Cawangan di Baling. Selepas beberapa perubahan pucuk pimpinan syarikat, program begini mengalami ubahsuai daripada konsepnya, hala tuju, peserta dan cara pengendaliannya. Sehingga tahun 2009 yang lalu, telah keluar garispanduan penganjuran program ini yang lebih sistematik dan jelas.

Segala pengalaman dan pemerhatian yang saya perolehi sejak bertugas di Kangar dulu hinggalah akhir sekali menjadi PC di Jitra, telah saya gunakan sebaik-baiknya untuk mengendalikan program ini, Walaupun tiada tunjuk ajar daripada sesiapa, namun syukur alhamdulillah segalanya berjalan dengan ‘agak baik’ juga akhirnya. Mengikut tradisi penganjuran OPFW ini, program ini diisi dengan pembentangan kertas kerja oleh Ketua-Ketua Bahagian, sesi bengkel atau perbincangan yang dipecahkan mengikut kumpulan bidang tugas, aktiviti rekreasi, sesi dialog, ceramah motivasi dan sebagainya. Selain sebagai sesi perbincangan, ia boleh diumpamakan sebagai program muhasabah diri atau motivasi kepada peserta. Setakat ini kesemua program ini dapat saya buat di luar pejabat.

Saya tidak boleh menafikan bahawa program sebegini telah memberikan kesan, kalau tak banyak, pasti ada walau sedikit kepada peserta. Buktinya ialah setiap kali selepas program begini, beberapa pencapaian penting telah dicatatkan. Sebagai contohnya, misi persijilan 5S di semua 11 stesen dapat direalisasikan dalam masa yang disasarkan, keputusan audit GIA naik mendadak dengan begitu cemerlang, audit SIRIM juga menunjukkan zero NCR, keputusan KPI dari hanya 7 SEE menjadi 12 SEE pada tahun lepas, pasukan WIT dari Kedah menjadi Johan seluruh Pembahagian buat pertama kali dalam sejarah, anggota kerja yang diiktiraf menjadi pekerja terbaik dan banyak lagi.

Walaupun mungkin orang tidak perasan perkara ini, namun ia tetap menjadi kebanggaan saya secara peribadi di Kedah. Saya hanya mempunyai seorang pembantu (kerani), kerana itu saya juga berasa bersyukur kerana mendapat bantuan dan kerjasama daripada Unit lain setiap kali mengendalikan program-program yang diaturkan. Tanpa mereka, sukar untuk saya melaksanakannya. Mereka-mereka ini memang kompeten, proaktif dan bersikap positif. Kebanyakan warga kerja Kedah baik-baik orangnya dan begitu menghormati bosnya.

Mengendalikan program begini memang memenatkan namun saya rasa puas akhirnya setiap kali tamatnya program tersebut apatah lagi sememangnya setiap kejayaan tersebut telah melibatkan banyak pengorbanan daripada anggota kerja. Namun saya menjangkakan tidak akan menerajui unit ini begitu lama dan mungkin juga akan sampai masanya saya akan berhijrah kelak.

Wallahualam.