Salam,
Rasanya dah lama saya tak menulis
dalam blog saya ni. Entahlah bermacam-macam perkara yang berlaku kepada saya
dan keluarga sejak lima hingga enam bulan yang lepas. Alasan sibuk bukanlah
jawapan saya yang tepat tetapi saya rasa lebih tepat ialah saya tidak bermaya
untuk menulis ketika diri ditimpa ujian Allah tempohari. Tak perlu saya
ceritakan di sini dan biarlah ia menjadi rahsia dan pengalaman hidup yang berguna kepada
saya sebagai panduan insan kerdil di sisi Allah S.W.T.
Hari ini, walaupun agak sibuk
menguruskan keluarga dan mengulangkaji pelajaran, saya cuba mencuri masa yang
ada untuk mengemaskini blog saya ini yang mana saya harap blog saya yang tak
sepertinya ini dapat dijadikan koleksi peribadi untuk rujukan generasi akan datang.
Seboleh-bolehnya saya tidak mahu bercakap kosong dan setiap ayat perlu
mempunyai ilmu dan hikmah kepada saya dan insane yang lain.
Alhamdulillah, saya kini dalam
semester akhir bagi menamatkan pengajian sambilan MBA saya di UUM. Mata pelajaran
tidak begitu susah berbanding semasa belajar ijazah kejuruteraan di UiTM dulu.
Cuma yang menjadikannya sukar ialah kerana komitmen yang tinggi perlu diberikan
kepada kerjaya dan keluarga dalam satu-satu masa. Pengorbanan yang tinggi amat
diperlukan bagi sesiapa sahaja yang berniat untuk belajar secara part time. Saya
memang salut dan respect kepada mana-mana abang atau kakak yang sudah
berkeluarga dan berkerjaya masih sanggup belajar demi untuk masa depan mereka. Begitu
tinggi dan besar sekali pengorbanan mereka ini sebenarnya. Apabila saya sendiri
merasai pengalaman ini membuatkan saya berasa insaf bahawa benarlah kata-kata
ulamak sebelum ini yang menyamakan orang yang belajar dengan orang yang
jihad berjuang di dalam peperangan di jalan Allah. Walaupun caranya berbeza tetapi
secara dalamannya ia serupa sahaja kerana perlu menentang nafsu. Belajar
memerlukan pengorbanan dan disiplin yang amat tinggi lebih-lebih lagi jika sudah
berkeluarga.
Apa yang saya lihat di UUM ini
sendiri, saya kerap ternampak ada ibu yang terpaksa membawa anak-anak kecil ke
kampus Sintok semata-mata untuk hadiri kuliah di hujung minggu. Ada yang
terpaksa tawakal meninggalkan anak-anak kecil di dalam kereta di luar bilik
kuliah. Ada yang terpaksa memandu kereta dari Ipoh atau KL semata-mata untuk
hadiri kuliah di Sintok. Ada yang sanggup menaiki bas seminggu sekali dari KL
ke Sintok kerana nak hadiri kuliah. Ada yang terpaksa korbankan sementara
urusan keluarga seperti hadiri kenduri sanak saudara kerana semata-mata nak
hadiri kuliah. Pendek kata, tiada hari cuti bagi mereka yang belajar secara part
time ini. Saya sendiri kadang kala terpaksa breakfast makan roti dan air kosong
sambil memandu sejauh 130km ke kelas dan kerap juga terlepas makan tengahhari. Bila
letih, tidur (nap) di tepi jalan raya dalam 10-15 minit. Syukur Alhamdulillah ada
juga lecturer yang memahami keadaan saya dan ada juga lecturer yang tidak
peduli semua itu. Semua itu cubaan dan kesabaran yang tinggi amat-amat;ah
perlu. Itu belum lagi pengorbanan yang terpaksa dihadapi oleh ahli keluarga
sendiri dan juga pengorbanan dari segi kewangan. Ada satu masa, saya terpaksa
menangguhkan pengajian selama 1 sem (6 bulan) kerana terpaksa buat pilihan iaitu
samaada untuk tumpukan kepada keluarga atau belajar. Ketika itu, isteri saya
sarat mengandung anak kelima dan beberapa orang anak-anak saya jatuh sakit dan
dimasukkan di wad hospital. Syukur ada rakan yang memahami keadaan saya
dan bersetuju dengan tindakan saya itu. Sebab itulah saya masih belum graduate
sebab masa yang tidak mengizinkan ketika itu. Kerap saya hampir tersungkur setiap
kali dekat dengan peperiksaan tetapi Allah Maha Berkuasa dan saya dapat
melepasinya dengan baik. Saya yakin Allah sudah merancang perjalanan hidup
kita. Kini isteri saya sedang sarat mengandungkan anak kami yang ketujuh.
Cubaannya hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Jika orang bertanya kepada saya, apa
yang amat berharga dengan belajar seperti itu? Semua perkara terpaksa
dikorbankan? Bagi saya, perkara yang amat berharga ialah “pengalaman’ atau ‘journey’
saya semasa belajar itu yang paling berharga. Yang kita akan ingat sampai
bila-bila nostalgia bersama-sama kawan-kawan sekuliah, keluarga yang menyokong kita dan tempat belajar itu. Ijazah itu adalah
sekeping kertas sahaja.
Kepada yang berniat untuk belajar, ingatlah bahawa Allah sentiasa bersama kita asalkan niat kita ikhlas. Kepada yang sedang belajar, stay on the course!
Salam.
No comments:
Post a Comment