Saturday, June 25, 2011

Duit Bukan Segala-Galanya, TETAPI SEGALA-GALANYA PERLUKAN DUIT!

Pendapatan per kapita di Jepun ialah sebanyak US$32,700 atau RM8,000 sebulan. Sebaliknya pendapatan purata rakyat Malaysia ialah RM2,000 sebulan dan 40% mempunyai pendapatan kurang dari RM1,500 sebulan.

Bank Dunia melaporkan secara purata kenaikan gaji rakyat Malaysia hanyalah sebanyak 2.6% dalam tempoh 10 tahun (dari tahun 2000 hingga 2010) sedangkan kadar inflasi ialah 3.2% dan ini bermakna kuasa beli pengguna sudah terhakis.

Kenaikan harga barangan keperluan harian, harga rumah, pinjaman sewa beli kereta, pinjaman peribadi, kad kredit yang semakin meningkat, sedangkan pendapatan tidak banyak berubah.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mencadangkan supaya mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dapat dikategorikan sebagai miskin bandar di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Walaubagaimanapun itu adalah secara purata tetapi sebenarnya ramai lagi yang berpendapatan bawah daripada itu. Bahkan ada juga yang dibawah paras RM1000. Puratanya lagi tinggi dari tu kerana purata mengambilkira pendapatan orang kaya yang dapat beratus ribu sebulan.

Bila membaca kenyataan di atas, ia memang menakutkan dan saya mulai sedar bahawa sememangnya kos sara hidup memang kian meningkat terutamanya yang tinggal di bandar dan terpaksa mempertahankan gaya hidup bandar.

Saya masih ingat lagi iaitu semasa tahun 1995, iaitu berbekalkan Diploma, ketika saya mula-mula melangkah ke alam pekerjaan di usia 21 tahun, saya menerima gaji yang boleh dikatakan lumayan semasa itu iaitu gaji empat angka. Ketika bujang, wang memang tidak menjadi masalah kepada saya kerana saya tiada tanggungan dan komitmen semasa itu. Ketika itu, hampir setiap hujung bulan saya selalu memerhatikan anggota kerja amat prihatin mengenai tarikh gaji. Semasa itu, saya merasa agak hairan kenapa penting sangat tarikh gaji? Sedangkan gaji saya bulan lepas pun masih banyak tak terusik lagi.

Kini selepas berumahtangga dan mempunyai ramai anak, rupa-rupanya tarikh gaji amat penting sekali!.. pendapatan hujung bulan begitu kritikal di zaman ini kerana saya terpaksa rolling duit untuk pelbagai komitmen, dari instalment kereta, rumah, bil-bil utiliti, bil kad kredit, perbelanjaan rumah, kos petrol dan banyak lagi yang perlu dibereskan dalam masa yang ditetapkan. Ternyata gaji empat angka yang dikatakan lumayan dulu sudah tidak lagi relevan di zaman ini. Parkinson’s Law memang berlaku di kebanyakan orang.

Oleh itu, memperolehi pendapatan sampingan bukan lagi untuk memperolehi pendapatan tambahan, tetapi pendapatan sampingan menjadi kewajipan untuk menampung gaya hidup orang zaman sekarang. Ia juga perlu sebagai jaminan masa depan tambahan pula saya kini mempunyai enam orang anak lelaki yang pastinya akan memerlukan pelaburan yang banyak dari segi kos pendidikan dan sebagainya serta mungkin sampai ke tahap belanja perkahwinan anak-anak saya nanti. Selain unit trust, saya juga telah memulakan simpanan melalui insuran bagi kesemua anak-anak saya, Diharap semua berjalan lancar hingga saya bersara dan akhir hayat nanti. Ada juga rakan-rakan saya yang sudah merangka strategi sebelum persaraan. Pada saya, rakan-rakan saya memang bijak dan perancangan begitu memang amat perlu sekali.

Dalam Islam, gaya hidup sederhana dapat menjamin kesejahteraan hidup. Ya Allah, berikan aku kekuatan dan disiplin untuk menempuh kehidupan supaya kesederhanaan hidup sentiasa terpelihara.

Justeru itu, apabila baru-baru ini saya terdengar yang Prof Dr Muhaya berkata, "Memanglah duit bukan segalanya, tetapi segala-galanya perlukan duit".. Saya hanya mampu tersenyum dan terpaksa bersetuju dengan beliau.


Wallahualam.

No comments:

Post a Comment