Thursday, June 23, 2011

AMUK

“Polis menembak mati seorang lelaki yang dipercayai tidak siuman kira-kira tiga jam selepas menetak mati isterinya dengan sebilah parang di rumah mereka di Taman Mawar, Langkap dekat Teluk Intan.. Isterinya Khairul Bariah Mohd Ariffin, 36, seorang pekerja kilang, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan manakala seorang anak mereka, Najihan, 13, cedera di bahagian badan serta putus dua jari tangan kanan.."


Peristiwa di atas berlaku kira-kira setahun yang lalu. Berita ini boleh dibaca dalam banyak media dan blog:-

http://sedakasejahtera.blogspot.com/2010/08/gambar2-amukan-sahur-berdarah-di.html

Berita ini memang menyayat hati, dan yang paling menyedihkan ialah mangsa tersebut (Khairul Bariah) merupakan kawan sekolah saya sendiri semasa kami sama-sama bersekolah rendah hinggalah di tingkatan lima. Kali terakhir saya jumpa arwah ialah kira-kira 10 tahun dulu iaitu reunion hari raya aidilfitri. Al-Fatihah.

Saya cuba menyelami senario ‘amuk’ ini. Kalau kita cuba google, memang terdapat banyak lagi peristiwa amuk yang seperti ini dan melibatkan kematian dan kadangkala melibatkan kecederaan kepada orang awam. Tentu ada kalangan kita masih ingat peristiwa ‘Prebet Adam’ yang mengamuk dengan M16 di Jalan Chow Kit pada tahun 1987 dulu. Cerita ini dikatakan agak sensitif kerana mungkin melibatkan institusi raja.



Amuk boleh berlaku di mana-mana sahaja. Yang terkini, kes pelajar di Hawai yang membawa senjata dan mengamuk serta melepaskan tembakan di sekolah dan mencederakan ramai orang.

Punca Amuk
Apakah punca amuk dan siapakah yang paling terdedah dengan fenomena seperti itu? Adakah disebabkan stress dan tekanan hidup yang melampau? Kalau dirujuk dari google book, amuk merupakan situasi hilang ingatan, iaitu apabila pesakit bertindak melulu dan menyebabkan berlakunya kecederaan atau kerosakan harta benda malah kadang kala melibatkan kehilangan jiwa.


Bangsa Melayu banyak Amuk?
Yang merisaukan, bangsa yang dikatakan paling banyak terlibat dengan amuk ialah bangsa Melayu. Sesetengah sumber telah mengenal pasti orang Melayu sebagai bangsa yang mempunyai kecenderungan untuk mengamuk dan oleh itu, menyebabkan amuk menjadi satu contoh sindrom budaya terikat, serta sesuatu yang cukup sinonim dengan bangsa Melayu di Malaysia dan Indonesia. Perkataan “amuk” merupakan salah sepatah perkataan yang telah dipinjam oleh bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu, dan dieja sebagai amok.
Kejadian amuk tidak terbatas di rantau Asia Tenggara sahaja, tetapi berlaku di mana-mana di seluruh dunia. Ensiklopedia Webster 1911 mengulas, walaupun perkataan “amuk” dikaitkan secara rapat dengan orang Melayu, terdapat setakat alasan untuk mempercayai bahawa perkataan ini berasal dari India, dan perbuatan ini bukan tidak dikenali dalam sejarah India. Beberapa kes yang terkenal telah terjadi di Rajput. Umpamanya pada tahun 1634, anak lelaki sulung Maharaja Jodhpur mengamuk di istana Shah Jahan, dan walaupun tergagal dalam serangan terhadap ayahnya, telah membunuh salah lima daripada pegawai-pegawai istana. Juga pada abad ke-18, dua orang utusan yang dihantar oleh ketua Jodhpur ke Hyderabad (Sind) untuk menyelesaikan satu perkelahian, menikam putera serta 26 orang pengiringnya sebelum ditewaskan dan dibunuh.


Mental
Selalunya, masyarakat melihat setiap keganasan dilakukan oleh individu yang tidak siuman. Kadangkala timbul prejudis terhadap pesakit mental, namun pesakit sebenarnya masih boleh diubati jika diberikan peluang.


Faktor yang dikenalpasti berkaitan dengan sahsiah individu itu sendiri dan aspek luaran seperti persekitaran sosiobudaya. Orang yang mengamuk tidak sedar dan barangkali tidak tahu apa yang dilakukan dan kesan daripada perbuatannya. Berdasarkan analisis Prof Dr Syed Hassan Syed Ahmad al-Mashoor, Fakulti Peruatan Unimas, biasanya ia berpunca daripada sejarah penyakit tekanan mental yang serius yang tidak dikawal rapi. Malah kadangkala, punca penyalahgunaan dadah atau gangguan di dalam otak juga boleh menjadi punca amuk.


Fikiran yang kusut dan ditambah lagi dengan gangguan mental, maka pada tahap begini, individu seperti ini akan mudah dicabar, apabila tercetus provokasi, biasanya mereka akan mudah hilang pedoman. Ada pandangan bahawa ia juga berkaitan dengan gangguan makhluk halus.


Stress dalam Islam
Surah Al-Baqarah(2):155“Allah menguji seseorang itu dengan perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta, nyawa dan hasil-mahsul yang tidak menjadi dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar”.“ Kesedihan atau malapetaka yang menimpa seseorang muslim merupakan kafarah kepada dosa yang dilakukan” (Hadis - Riadus Solihin)


Punca stress itu bukan dari tekanan mental semata-mata bahkan punca tekanan itu sebenarnya berpunca dari kecelaruan dan kelemahan hati , ruh, nafsu dan akal. Kelemahan hati yang menyebabkan rapuhnya hubungan individu itu dengan Allah SWT menyebabkan kehidupannya menjadi sempit, seolah-olah tiada jalan keluar dari setiap inci masalah. Hati yang baik mempunyai unsur yang sangat halus (latifah) ketuhanan (rabbaniah) dan kerohanian (ruhaniah).


Wallahualam.






No comments:

Post a Comment