Friday, June 15, 2012

DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER ?

Assalamualaikum,

Saya tertarik dengan kenyataan Dr Zaharuddin mengenai konsep menutup aurat. Pernah saya melihat artis komen, "walaupun saya tak bertudung, tapi hati saya baik.."... lepas tu, ada yang komen, "belum sampai seru untuk saya bertudung..". Pelik sungguh kenyataan ini, kenapa nak tunggu seru baru nak memakai tudung? nak pergi umrah, kemudian baru bertudung..? anyway bertudung atau lebih tepatnya ialah menutup aurat adalah kewajipan umat Islam.. jelas sekali dalam peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah diperlihatkan dengan berbagai macam seksaan dikenakan ke atas perempuan yang tidak menjaga aurat.. kenapa kita masih menafikannya? saya betul-betul tak faham.. kalau ditegur, dikata kita ni menyibuk dan cuba bermain politik.. kadang-kala golongan terpelajar dan elit juga begitu.. kenapa agaknya...? Semoga Allah menurunkan rahmatNya ke atas kita.. insyaAllah. Mari kita sama-sama baca komen Dr Zaharudin ini dalam websitenya nya, http://zaharuddin.net/

DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER

Ungkapan ini kerap saya dengari, saya yakin anda juga mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat yang sering mendakwa bahawa hatinya baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi serta mendedahkan aurat.
"Orang wanita bertudung pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi." Katanya memberi buah fikirannya.
"Malah, kami juga baik, kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok." Tambah wanita ini lagi.
Benarkah hujah mereka? Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam Islam? Ada juga yang sudah semakin ‘advance' hujahnya lantas berhujah dengan sebuah maksud hadith Nabi yang sahih iaitu :
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu." (HR Muslim)

Simpati bercampur kesal saya mendengar bagaimana terdapat orang yang sewenangnya berhujah dengan hadith untuk menyokong nafsunya. Hanya digunakan Islam dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja.
"Seorang pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa waktu kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak disiapkan, lalu si majikan berkata: "Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja kalau begini sikap kamu?"

Lalu jawab si pekerja : "Saya luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang."
Adakah anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya itu? Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan melanggar perintah-Nya ? Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah dan Rasul-Nya, bukannya neraca pemikiran kita semata-mata. Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya :
"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (HR Muslim)
Berdasarkan hadith ini, menurut neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat di peringkat pertamanya dari tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua adalah samada hatinya bertujuan kerana Allah ata selainnya seperti sekadar menunjuk-nunjuk sahaja.
Justeru, 'we can judge a book by its cover in certain cases' iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting what's inside the heart of a person.'
Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith :
"Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujah), maka jangalah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka." (Riwayat Abu Dawud, Tirmidzi dan lain-lain, rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )
Hadith ini dengan jelas menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan info dan bukti zahir yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah. Mana mungkin hati begini boleh dianggap baik oleh Islam.
Kaum wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendaat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW,
"Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya." (HR Ahmad dan lain-lainnya)
Termasuklah dalam erti mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik? Setelah gunungan dosa mengkaratkan hatinya?
Sesungguhnya Allah itu maha adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali ; Yakinilah bahawa Allah itu benar, Rasul-Nya juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih seolah meraguinya?
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

Sunday, May 27, 2012

Three simple rules..



Setiap tahun, pasti ada sesuatu yang perlu kita korbankan demi untuk berhijrah ke arah suatu kehidupan yang lebih baik. Ketiga-tiga kata hikmat di atas sememangnya benar malah Allah pernah berfirman bahawa Dia tidak akan mengubah nasib kita melainkan kita sendiri yang perlu mengubahnya. Ayat ini bukanlah bermaksud Allah tidak mampu mengubah nasib kita, tetapi kita sendiri perlulah ada komitmen dan berusaha terlebih dahulu untuk berubah dan selepas itu barulah Allah akan membantu kita. Namun, kita manusia yang sangat mudah lupa dengan masa lampau kita.

Sebagai contohnya, kita mungkin tak akan berada di tahap ini sekiranya kita tak ambil langkah untuk berubah pada suatu waktu dulu. Namun peliknya kita ini, apabila sudah selesa dengan kehidupan sekarang, kebanyakan kita sudah tidak mahu lagi berubah. Walhal, perubahan itu perlu dilakukan dari masa ke semasa bukan sahaja untuk ’survival’ hidup kita, malah sebagai tindakan mencegah daripada berlaku sesuatu yang tidak baik di masa akan datang.

Tulisan saya ini mungkin agak ’general’, jadi saya nak ambik satu contoh mudah iaitu diri saya sendiri. Sekiranya saya tidak mengambil keputusan tekad untuk masuk ke politeknik dulu dan meneruskan dengan minat saya dalam band muzik, rasanya tahap paling bagus pun mungkin kerja sebagai pemuzik jalanan sambilan dan bekerja sebagai operator kilang atau mungkin ikut kawan bekerja di mana-mana kedai atau restoran. Namun, inilah qada dan qadar Allah S.W.T. Lepas tamat pelajaran poly, saya meminati untuk bekerja di kilang yang lebih lumayan semasa itu. Namun, semua permohonan saya ke Kilang tak berjaya (ada hikmah daripada Allah) dan saya terpaksa menerima tawaran dari syarikat utiliti elektrik.

Bila bekerja dalam syarikat utiliti ini, sekali lagi bertekad untuk berubah, saya mahu menceburkan diri dalam bidang kejuruteraan elektrik walaupun menyedari ia agak menyimpang dari bidang asal saya iaitu komputer. Hanya berbekalkan semangat yang kuat untuk berubah, saya dapat juga menamatkan pengajian walaupun begitu banyak dugaan yang terpaksa dihadapi selama tiga tahun. Memang saya kurang persediaan dari segi kewangan walaupun begitu, tekad amat kuat sekali, maka ku redah saja ketika itu. Saya pernah hanya makan nasi dengan kicap semasa belajar selama beberapa bulan kerana tiada wang.

Rasa menyesal juga rasanya sebab tidak membuat simpanan sebelum memasuki universiti. Nasib baik juga permohonan PTPTN diperolehi. (bila isu PTPTN nak dimansuhkan dtimbulkan, saya agak kurang bersetuju juga melainkan perlu dibuat penambahbaikan atau ada model yang lebih baik menggantikannya). Walaupun pinjam, ia memang berjasa kerana dapat sedikit sebanyak membantu diri saya ketika itu. Walaupun saya boleh memperolehi pinjaman yang banyak, saya membuat keputusan semasa itu untuk pinjam beberapa ribu sahaja kerana menyedari seksa kemudian hari untuk membayar balik.

Saya juga pernah dihalau diherdik keluar dari makmal oleh pensyarah semasa mula-mula memasuki universiti. Sampai sekarang saya masih tidak tahu sebab musabab saya diperlaku begitu, kadang kala di’kondem’ teruk oleh pensyarah kerana perkara ’basic’ pun saya tak tahu dan sebagainya. Rasanya banyak lagi dugaan yang tak dapat diceritakan di sini. Biarlah ia menjadi pengalaman peribadi. Ramai kawan-kawan yang seangkatan yang tidak sanggup meneruskan pengajian dan balik semula bekerja kerana tidak tahan dengan pelbagai dugaan. Pada ketika itu, sesekali saya rasa memang nak berhenti juga belajar dan balik semula bekerja, tetapi dikuatkan juga hati dan semangat walaupun tanpa ramai teman. Mujurlah prinsip masih dipegang, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, jikalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya... semua falsafah ini saya memang percaya sampai sekarang. Usaha, tawakal dan redha...

Kini dalam pekerjaan, apabila kita disuruh membuat sesuatu perubahan yang kita tidak berapa selesa, kita akan cuba menentang dan tidak mahu lagi berubah. Saya fikir, tindakan begini (tidak mahu lagi berubah) adalah kurang tepat. Walaupun dah stabil dengan kerjaya dan keluarga, tapi percayalah, bahawa perubahan masih diperlukan dalam kehidupan kita kerana Allah lebih mengetahui tentang masa depan kita.
Wallahualam.





Wednesday, April 18, 2012

Setiap kali anak saya masuk hospital....

Alhamdulillah, hari ini anak saya yang bongsu sudah boleh keluar atau 'discharge' dari Hospital Metro. Ini bukanlah kali pertama anak-anak saya diwadkan di hospital, tetapi inilah salah satu perkara yang perlu dihadapi setiap masa. Namun, ia salah satu perkara yang amat menguji ketabahan kerana..

Setiap kali anak saya masuk hospital,
Maka kesemua kami terpaksa bermalam sekali dalam satu wad single.

Setiap kali anak saya masuk hospital,

Bilik single selalunya penuh dan tinggal bilik VIP yang memerlukan kos lebih tinggi.


Setiap kali anak saya masuk hospital,
Anak-anak saya yang lain terpaksa ‘bercuti’ sekolah kerana terpaksa menjaga adik-adik yang lain.


Setiap kali anak saya masuk hospital,

Adanya masalah untuk menghantar atau mengambil anak di sekolah. Saya pula terpaksa berulang alik bekerja di Alor Setar atau di KL.

Setiap kali anak saya masuk hospital,
Masa itulah juga saya dipanggil untuk ‘outstation’ di luar Kedah seperti ke Kuala Lumpur dan sebagainya.

Setiap kali anak saya masuk hospital,
Ketika itu jugalah musim Ujian atau Kuiz bagi pengajian ’part time’ di UUM dan terpaksa ponteng kelas yang menyebabkan kerugian kepada diri sendiri. Sebab yang sama telah berlaku ketika saya terpaksa tangguhkan pengajian selama satu semester dan yuran yang dibayar sebanyak lebih dari 3 ribu, ’burnt’ macam tu sahaja.

Setiap kali anak saya masuk hospital,
Akan berlakunya kesukaran dari segi kewangan kerana masalah-masalah yang tidak dapat diceritakan di sini.

Setiap kali anak saya masuk hospital,
Saya terpaksa menggalas tugas surirumahtangga. Betapa hebatnya kaum hawa kerana tugas suri rumah itu jauh lebih berat kepada kaum lelaki. Perkara ini membuatkan kita lebih insaf dan lebih menghargai kaum hawa yang bergelar isteri dan ibu.

Setiap kali anak saya masuk hospital,
Saya berasa syukur alhamdulillah, boss saya biasanya sentiasa memahami keadaan saya dan memberikan masa yang secukupnya untuk saya uruskan keluarga.


Setiap kali anak saya masuk hospital,
Dituruti beberapa lagi ujian dari Allah yang boleh dikatakan berlaku secara bergilir atau berturut-turut.

Setiap kali anak saya masuk hospital,
Setiap kali itulah juga saya perlu bermuhasabah diri kerana setiap sesuatu itu ada hikmah disebaliknya. Allah itu Maha Mengetahui dan perancanganNya itu adalah untuk kebaikan hambaNya. Wallahualam.

Thursday, March 29, 2012

BUKAN DOA KITA YANG MAKBUL


Saya tertarik dengan satu kisah yang saya baca dari blog powerfaces TNB. Sama-sama kita renungkan dan bermuhasabah diri. Agaknya sebab itulah Nabi kita selalu pesan supaya bersatu dan berjemaah dalam ibadat. Apabila kita solat dan berdoa berjemaah, kemungkinan kita akan dapat tumpang berkat doa salah seorang jemaah dengan kehendak Allah...

......................................................................................................................................................................


Kisah ini berkenaan seorang abang dan seorang adik. Kedua-duanya adalah anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Kedua ibu bapa mereka adalah hamba ALLAH yang soleh. Kedua-dua anak dididik untuk bergantung harap dengan Allah SWT.


Si abang, saban hari berdoa agar ALLAH mengubah nasib hidupnya. Dia meminta kepada ALLAH agar dipertemukan dengan isteri yang cantik lagi kaya. Dia meminta kepada ALLAH agar dirinya kaya raya.


Si Adik pula, seorang yang tidak pandai membaca. Tidak seperti abangnya, dia membaca doa pun dengan melihat kertas. Sebelum bapanya mati, dia pernah meminta bapanya menulis sesuatu di atas kertas, dan kertas itu sering dipegangnya setiap kali berdoa.

Akhirnya, Allah mempertemukan seorang perempuan yang cantik lagi kaya dengannya. Perempuan itu jatuh hati kepadanya, lantas berkahwin. Si Abang seperti mendapat durian runtuh dan kehidupannya terus berubah. Dia keluar dari rumah pusaka, dan meninggalkan adiknya.


Si Abang akhirnya kaya raya, malah terus kaya apabila dia memasuki medan bisnes. Dia sudah mula alpa dengan ALLAH, melewat-lewatkan solah, jarang membaca Al-Quran, tapi tidak pernah lalai untuk meminta kekayaan daripada ALLAH. Kalau masuk dalam bab perniagaan, kekayaan dunia, maka berbondong-bondong doanya kepada ALLAH. Dan ajaibnya, Allah beri apa yang dia minta. Si abang rasa dia istimewa.

Si adik pula, hidupnya tidak berubah. Dia masih seorang sederhana, dengan kelemahannya tidak tahu membaca, dia hannya mendapat kerjaya sederhana, terus menjaga rumah pusaka.


Si adik, juga rajin berdoa. Si abang tahu, si adik rajin berdoa. Tapi Si Abang melihat, hidup adiknya tidak berubah-ubah.


Lantas satu hari, ketika Si Abang menziarahi adiknya, Si Abang berkata dengan sombong: “Kau kena berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa je ALLAH makbulkan. Kau ni tak cukup hampir dengan Allah ni. Berdoa pun masih tengok-tengok kertas. Tak cukup hebat.” Si Adik tersenyum sahaja. Suka abangnya menegur kerana padanya, teguran abang amat bermakna.

Si Adik terus hidup sederhana, di dalam rumah pusaka, dengan doa melihat kertas saban hari, dan kehidupannya tetap tidak berubah. Tidak menjadi kaya seperti abang.

Satu hari, Si Adik meninggal dunia. Ketika Si Abang mengemas-kemas rumah pusaka, dia berjumpa satu kertas. Kertas itu adalah kertas yang adiknya sering pegang ketika berdoa. Si Abang terduduk, menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu.


Kertas itu tertulis: “ Ya Allah, makbulkan lah segala doa abang aku” MasyaALLAH…


Si Abang mula membandingkan dirinya dengan adiknya. Adiknya kekal taat kepada ALLAH dan tidak meringan-ringankan urusannya dengan ALLAH SWT. Adiknya, sedikit pun tidak meminta dunia kepada ALLAH, malah tidak meminta apa-apa untuk dirinya. Tetapi adiknya meminta agar segala doa Si Abang dimakbulkan. Si Abang, tidak pernah sedikit pun mendoakan Si Adik.

Si Abang mula nampak, rupanya, bukan doa dia yang makbul. Tetapi doa adiknya telah diterima oleh ALLAH SWT, lantas segala doanya menjadi makbul.


Cerita ini meruntun hati saya, dan buat saya sentiasa berfikir panjang. Kadang-kadang kita, bila Allah realisasikan hajat kita, kita suka mengimbau usaha-usaha kita. "Aku buat beginilah yang jadi begini." "Doa aku makbul seh!" "Aku ni memang Allah sayang. Tengok, semua benda Allah bagi. Aku minta je pun."

Tanpa sedar kita bongkak. Takabbur. Sedangkan, kita tak tahu, mungkin yang makbul itu adalah doa ibu bapa kita, doa adik beradik kita, doa sahabat-sahabat kita. Bukannya doa kita.

Cerita itu sangat menyentuh hati. Kita sepatutnya tidak lupa mendoakan ibu bapa, guru-guru, keluarga, adik beradik, sahabat-sahabat karib, yang teramat akrab disebutkan namanya agar lebih merasai bahawa kita memerlukan mereka untuk mendoakan kita juga. Kita ini banyak dosa. Banyak hijab.
Mungkin doa orang lain yang lebih bersih hatinya, lebih suci jiwanya yang makbul, menyebabkan rahmat Allah tumpah pada diri kita. Sebab itu jangan berlagak. Jangan tinggi diri. Jangan rasa doa kitalah yang makbul. Pulangkan semuanya kepada Allah. Doa itu sebahagian daripada usaha sahaja sebenarnya. Dan jangan rasa segan nak minta orang lain doakan kita. Semoga bermanfaat kisah ini. Sebarkan jika anda rasa ada manfaatnya. Semoga Allah redha dengan kita.


Wallahualam.

Thursday, March 15, 2012

Poka-yoke





Rasanya dah lama saya tak mengemaskini atau menulis pada blog ni. Akhir-akhir ini saya agak sibuk dengan urusan keluarga dan kerjaya. Syukur alhamdulillah, beberapa masalah hidup dapat diselesaikan dengan izin Allah.


Kali ini saya nak berkongsi dengan satu konsep yang dikenali sebagai Poka-yoke. Satu lagi term yang saya baru belajar semasa berkursus di Shah Alam baru-baru ini. Poka-Yoke berasal dari bahasa Jepun yang bermaksud "fail safing" atau "mistake-proofing" atau dalam bahasa melayunya “pencegah/pengelak kesilapan”. Pada asalnya, ia dikenali sebagai baka-yoke, yang bermaksud "fool-proofing" ("idiot prrofing") atau “pencegah kebodohan”. Nama baka yoke ditukar kepada poka-yoke mungkin untuk ayat yang lebih sopan.


Dalam sektor perkilangan, Poka-yoke amat popular sebagai mekanisma yang digunakan di dalam bidang "lean manufacturing", ia banyak membantu operator kilang mengelakkan dari berbuat kesilapan. Objektifnya ialah untuk menghapuskan ‘defect’ dengan cara pencegahan, pembetulan atau memberikan amaran daripada berlaku kesilapan yang sering dibuat oleh manusia. Kebanyakan alat elektronik, elektrik dan sebagainya menggunakan konsep Poka-Yoke. Ia tidak terhad kepada manufacturing, malah merangkumi kesemua proses yang diingini.


Antara jenis-jenis KESILAPAN yang sering kali ditemukan ditempat kerja yang berkaitan dengan manusia ialah LUPA, CUAI, TIADA PETUNJUK, SABOTAJ, KEMALANGAN, TIDAK PIAWAI dan sebagainya. Fungsi dasar dari POKA YOKE adalah memberikan peringatan (warning) dan mengambil tindakan secara automatik.

Contoh yang paling mudah ialah kad ATM. Kalau kita masih ingat, selepas seseorang mengeluarkan duit tunai dari mesin ATM, seringkali terlupa untuk menarik kad ATM. Fitrah manusia bila dah ambil duit, kemungkinan terlupa untuk ambil kad dan berlaku kes kad ATM tertinggal. Kini, konsep Poka Yoke digunakan iaitu seseorang itu akan menarik kad ATMnya terlebih dahulu, kemudian barulah disusuli dengan duit. Dengan cara itu, kuranglah risiko terlupa menarik kad ATM kembali oleh pemilik kad.

Contoh lain ialah seperti ’penutup minyak petrol’. Seringkali selepas mengisi minyak, kadangkala kita terlupa nak menutup kembali. Jadi, sekarang sudah banyak kenderaan yang membuat tali penyangkut pada ’penutup’ atau ’cap’ bagi mengelakkan terlupa menutup kembali.

Contoh dalam aspek keselamatan, ‘interlocking system’ pada sistem kendalian alat suis. Halangan untuk pembumian selagi belum off. Sistem ‘protection’, relay setting dan sebagainya itu adalah poka yoke.


Zaman sekarang, kita selalunya membawa Thumb drive untuk tujuan menyimpan data atau untuk ‘copy’ data dari mana-mana USB. Kerapkali kita hilang thumb drive ekoran saiznya yang kecil. Jadi, salah satu Poka Yoke yang boleh kita buat ialah dengan menyangkut thumb drive bersaiz kecil tersebut pada rantai leher atau pun pada ‘key chain’ bersama dengan kunci kenderaan dan sebagainya. Biasanya kunci kenderaan kita jaga dengan cermat, jadi thumb drive lebih selamat bersamanya.


Malah di dalam proses kerja kita juga boleh letakkan unsur poka yoke. Contohnya ialah pengaturcaraan sistem komputer. Sistem komputer secara automatiknya tidak akan benarkan ‘sesuatu proses penting’ selagi proses tertentu belum dibuat mengikut tatacara process flow yang dikehendaki.

Dalam syarikat, audit merupakan sesuatu yang memerlukan disiplin seseorang bagi memastikan sesuatu proses tersebut dipatuhi (compliance). Jadi, kita sebenarnya boleh meletakkan unsur Poka Yoke di dalam sesuatu proses.bagi tujuan mencegah berlakunya kesilapan yang mana akan menyebabkan perkara jadi tertunggak. Senarai semak atau checklist itu juga adalah Poka Yoke sebenarnya.

Ringkasnya, Poka Yoke adalah sesuatu yang amat berguna kepada kehidupan kita seharian. Wallahualam.

Sunday, January 8, 2012

Mengendali Bisnes Plan..


Masuk tahun ni, sudah tiga kali saya mengendalikan Program Perancangan Bisnes atau kini dikenali sebagai ‘Operating Plan Formulation Workshop’ (OPFW) di peringkat negeri. Kalau orang perhatikan, apa agaknya pembaharuan yang dibuat dalam mengatur strategi KPI pada tahun ini? Keputusan bonus KPI pada tahun lepas sedikit sebanyak mungkin menjejaskan semangat anggota kerja. Namun, rasanya disebabkan oleh C.A baru yang diluluskan baru-baru ini telah mampu menjadi ‘penawar’.

Saya secara peribadi telah menyertai program Bisnes Plan sebegini sejak tahun 2003 iaitu semasa mula-mula menjadi Pengurus Cawangan di Baling. Selepas beberapa perubahan pucuk pimpinan syarikat, program begini mengalami ubahsuai daripada konsepnya, hala tuju, peserta dan cara pengendaliannya. Sehingga tahun 2009 yang lalu, telah keluar garispanduan penganjuran program ini yang lebih sistematik dan jelas.

Segala pengalaman dan pemerhatian yang saya perolehi sejak bertugas di Kangar dulu hinggalah akhir sekali menjadi PC di Jitra, telah saya gunakan sebaik-baiknya untuk mengendalikan program ini, Walaupun tiada tunjuk ajar daripada sesiapa, namun syukur alhamdulillah segalanya berjalan dengan ‘agak baik’ juga akhirnya. Mengikut tradisi penganjuran OPFW ini, program ini diisi dengan pembentangan kertas kerja oleh Ketua-Ketua Bahagian, sesi bengkel atau perbincangan yang dipecahkan mengikut kumpulan bidang tugas, aktiviti rekreasi, sesi dialog, ceramah motivasi dan sebagainya. Selain sebagai sesi perbincangan, ia boleh diumpamakan sebagai program muhasabah diri atau motivasi kepada peserta. Setakat ini kesemua program ini dapat saya buat di luar pejabat.

Saya tidak boleh menafikan bahawa program sebegini telah memberikan kesan, kalau tak banyak, pasti ada walau sedikit kepada peserta. Buktinya ialah setiap kali selepas program begini, beberapa pencapaian penting telah dicatatkan. Sebagai contohnya, misi persijilan 5S di semua 11 stesen dapat direalisasikan dalam masa yang disasarkan, keputusan audit GIA naik mendadak dengan begitu cemerlang, audit SIRIM juga menunjukkan zero NCR, keputusan KPI dari hanya 7 SEE menjadi 12 SEE pada tahun lepas, pasukan WIT dari Kedah menjadi Johan seluruh Pembahagian buat pertama kali dalam sejarah, anggota kerja yang diiktiraf menjadi pekerja terbaik dan banyak lagi.

Walaupun mungkin orang tidak perasan perkara ini, namun ia tetap menjadi kebanggaan saya secara peribadi di Kedah. Saya hanya mempunyai seorang pembantu (kerani), kerana itu saya juga berasa bersyukur kerana mendapat bantuan dan kerjasama daripada Unit lain setiap kali mengendalikan program-program yang diaturkan. Tanpa mereka, sukar untuk saya melaksanakannya. Mereka-mereka ini memang kompeten, proaktif dan bersikap positif. Kebanyakan warga kerja Kedah baik-baik orangnya dan begitu menghormati bosnya.

Mengendalikan program begini memang memenatkan namun saya rasa puas akhirnya setiap kali tamatnya program tersebut apatah lagi sememangnya setiap kejayaan tersebut telah melibatkan banyak pengorbanan daripada anggota kerja. Namun saya menjangkakan tidak akan menerajui unit ini begitu lama dan mungkin juga akan sampai masanya saya akan berhijrah kelak.

Wallahualam.

Thursday, December 8, 2011

GAJI & MASA DEPAN KITA



Setiap kali hujung tahun, maka isu-isu kewangan seperti bonus atau kenaikan gaji, biasa menjadi bahan bualan hangat dan komedi oleh setiap individu yang bekerja makan gaji. Pada tahun ini, keadaan kewangan syarikat adalah kurang mengizinkan untuk memenuhi aspirasi pekerja keseluruhannya. Namun begitu, majikan tidak boleh selama-lamanya menggunakan alasan keadaan kewangan sebagai ‘tiket’ untuk menghadkan gaji. Ia adalah hak pekerja. Dalam masa yang sama, Majikan dan pekerja perlu sama-sama berganding bahu mencari jalan penyelesaian walaupun terpaksa melalui jalan yang sukar. Bagi sektor Kerajaan, sumber kewangan datangnya dari hasil kutipan cukai oleh pihak kerajaan. Namun begitu, ‘nature’ masih sama tidak kira bekerja di syarikat swasta atau kerajaan.

Ada orang sentiasa bersyukur dengan apa yang ada, tetapi ada juga yang mengharapkan sesuatu yang lebih pada setiap kali masuk tahun baru. Mungkin kerana agaknya mereka sudah berkira-kira untuk membeli sesuatu atau sebagainya. Dalam organisasi, memang susah untuk memberikan kepuasan kepada setiap orang. Kita percaya, majikan sudah mencuba yang terbaik demi syarikat dan anggota kerja. Zaman 2011 dan tahun yang mendatang, adalah dijangka keadaan ekonomi semakin sengit dan ada juga kedengaran mengenai ura-ura untuk kerajaan membenarkan aktiviti penggabungan syarikat-syarikat besar. Namun, kerajaan perlu melihat juga kepada nasib bakal pekerja yang akan diberhentikan dan perlu dibela dan diberikan pampasan & pembelaan sewajarnya.

Kadangkala kita rasa tidak adil rasanya bagi sebuah syarikat besar yang mempunyai banyak aset, yang telah banyak memberikan sumbangan kepada masyarakat dan pekerja dan negara, tiba-tiba hendak dipecah-pecahkan begitu sahaja atas nama liberalisasi. Mewujudkan persaingan itu baik asalkan rakyat yang mendapat keuntungan akhirnya. Apa yang merisaukan kita ialah takut ialah adakah wujud kecenderungan untuk memberikan keuntungan berganda kepada satu-satu pihak sahaja.

Tidak dinafikan kini bahawa keadaan ekonomi dunia sudah semakin tidak tentu. Keadaan tersebut dijangka akan menyebabkan berlaku perubahan besar pada ekonomi Asia termasuk di Malaysia. Jadi, adakah soal keupayaan organisasi memberikan gaji yang lebih kompetitf dan setimpal dengan kelayakan akan menjadi agenda utama atau sampingan sahaja. Kita perlu akui, tidak semua organisasi boleh kekal selama-lamanya. Jadi, perlu ada perancangan alternatif bagi menghadapi pelbagai kemungkinan yang berlaku. Pekerja yang mempunyai skill atau kemahiran tertentu mungkin akan terus ‘survive’ kerana khidmat mereka memang sentiasa diperlukan oleh mana-mana syarikat pun. Tetapi bagi pekerja yang berjawatan penyelia seperti eksekutif, middle manager dan sebagainya, mungkin mempunyai risiko yang tinggi untuk disisihkan kerana golongan sebegini biasanya semakin hilang kemahiran di dalam bidang teknikal masing-masing disebabkan terlalu diberikan ‘keistimewaan’ sebagai Eksekutif yang hanya pandai ‘bermesyuarat’. Lagi teruk kalau ‘Eksekutif BerSILA’.. apa itu eksekutif bersila? iaitu eksekutif yang hanya pandai memberikan arahan tetapi tak pandai pantau atau coach.. Contohnya ialah ayat, ‘Sila ambil tindakan… ‘, ‘Sila hadir..’…. suka bersila sahaja yang membuatkan staf kadang kala bersilat.

Namun begitu, golongan begini boleh terus ‘survive’ berbekalkan pengalaman yang bukan boleh dibeli atau diperturunkan begitu sahaja. Sekiranya berlaku ‘merging of organization’, maka biasanya golongan ini akan berusaha lebih gigih untuk mencapai matlamatnya sama ada di dalam atau menarik perhatian pesaing di luar syarikat. Orang yang sangat kaya pun boleh jatuh muflis dalam sekelip mata, inikan pula orang sederhana macam kita.

Sehingga kini, saya sendiri tidak pasti apa masa depan kerjaya kita. Apa yang boleh lakukan ialah berusaha memberikan yang terbaik, menyediakan diri dengan sijil-sijil berkaitan dan timbalah seberapa banyak pengalaman. Namun begitu, semua itu adalah bergantung kepada rezeki yang Allah tetapkan kepada hambaNya. Kita hanya mampu berusaha, Allah yang menentukannya.


Wallahualam.