Pertama kali menerima surat
daripada Bahagian Sumber Manusia Kumpulan bulan September 2013 yang lalu, bermacam-macam
yang saya fikirkan. Saya dikehendaki menjalani Latihan Sangkut di Jabatan Audit di KL selama 3 bulan. Kenapa aku dipilih? Apa yang perlu aku buat sepanjang
program nanti? Bagaimana dengan anak isteri yang aku tinggalkan selama 3 bulan?
Cukupkah belanja kewangan aku nanti? dan banyak lagi persoalan yang timbul.
Maklumlah, selama ini sayalah satu-satunya tempat keluarga saya bergantung dari pergi
menghantar anak sekolah hinggalah pergi membeli keperluan dapur dan sebagainya.
Isteri pula tiada lesen memandu. Tujuh orang anak-anak saya termasuk seorang
yang masih bayi perlu ditengok-tengok juga. Saya tersentaklah sekejap dan
berasa seolah-olah perubahan drastik bakal berlaku kepada saya dan keluarga.
Semasa mesyuarat terakhir dengan bos, saya mengambil kesempatan berjumpa
dengan bos untuk berbincang perkara ini. Namun, bos bagitahu saya, dia pun tak
boleh berbuat apa-apa kerana ia adalah atas arahan Board. Saya cuma
mencadangkan beberapa nama sebagai pengganti saya sepanjang ketiadaan saya
selama 3 bulan.
Sebaik melapor diri Kuala Lumpur, bermulalah kehidupan di
kota raya. Kali terakhir saya bekerja di KL adalah pada tahun 1992 iaitu semasa
saya sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM saya. Saya bekerja di sebuah
pasaraya di Chow Kit sebagai jurujual di pasaraya tersebut. Dulu, pengangkutan
utama adalah Bas mini. Dengan tambang 50sen, saya boleh pergi ke mana sahaja, cuma
perlu berhimpit macam tin sardine jelah. Di KL semasa itu, saya tinggal dengan
abang saya (Joy) di brickfield dan beliau masih bujang ketika itu. Pernah juga
sesat di KL tetapi dapat juga balik sebab semasa tu jalan raya tidak lah sesak
macam sekarang. Kini, dengan teknologi GPS, saya masih tidak berapa risau juga.
Cuma kadangkala jalanraya jem tapi itu biasalah.
Namun sedar-tak sedar, saya sudah
pun hampir menamatkan program ini walaupun terdapat bermacam-macam dugaan yang
dihadapi. Setiap sesuatu yang Allah S.W.T
timpakan kepada kita sebenarnya ada rahmat dan hikmah disebaliknya.
Rahmat dari segi rezeki, rahmat dari segi perlindungan anasir jahat dan rahmat
dari segi silaturrahim di mana saya telah dapat berjumpa semula beberapa orang
rakan sekolah saya selepas hampir 27 tahun berpisah.
Semasa program ini berjalan, saya
hanya dapat balik berjumpa anak-anak dan isteri saya pada hujung minggu.
Kadangkala keperluan makan, sakit pening mereka hanya dapat saya dengari dari
jauh, syukur isteri saya diberikan kekuatan oleh Allah untuk menjaga anak-anak
saya itu. Rindunya saya pada anak-anak saya hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Selain menjalani latihan sangkut,
saya juga telah berpeluang mengenali rakan-rakan kerja saya yang datang dari
seluruh pelusuk negeri termasuk Sabah. Saya dapat mempelajari proses kerja
mereka, cabaran dan budaya kerja mereka serta bertukar pendapat mengenai
isu-isu semasa syarikat. Semua ini telah membuka minda saya dengan lebih luas
dan lebih menghargai organisasi syarikat yang saya sertai selama ini. Semasa
latihan ini juga, saya berkesempatan menghadiri konvokesyen di universiti utara
semenanjung untuk menerima Sarjana. Syukur Alhamdulillah.
Pada saya, walaupun program ini
tidak sesempurna yang diharapkan, namun banyak perkara yang telah saya dapat
pelajari daripadanya mungkin juga sebagai persediaan untuk saya mengharungi
rintangan dalam haluan kerjaya saya di masa depan dan juga sebagai peringatan
kepada saya sebagai muslim supaya lebih tabah dan bersemangat.
Insya Allah. Wallahualam
bisswasab.
No comments:
Post a Comment