Thursday, December 19, 2013

Pengalaman Menjalani Job Attachment Program


Pertama kali menerima surat daripada Bahagian Sumber Manusia Kumpulan bulan September 2013 yang lalu, bermacam-macam yang saya fikirkan. Saya dikehendaki menjalani Latihan Sangkut di Jabatan Audit di KL selama 3 bulan. Kenapa aku dipilih? Apa yang perlu aku buat sepanjang program nanti? Bagaimana dengan anak isteri yang aku tinggalkan selama 3 bulan? Cukupkah belanja kewangan aku nanti? dan banyak lagi persoalan yang timbul. Maklumlah, selama ini sayalah satu-satunya tempat keluarga saya bergantung dari pergi menghantar anak sekolah hinggalah pergi membeli keperluan dapur dan sebagainya. Isteri pula tiada lesen memandu. Tujuh orang anak-anak saya termasuk seorang yang masih bayi perlu ditengok-tengok juga. Saya tersentaklah sekejap dan berasa seolah-olah perubahan drastik bakal berlaku kepada saya dan keluarga.
Semasa mesyuarat terakhir dengan bos, saya mengambil kesempatan berjumpa dengan bos untuk berbincang perkara ini. Namun, bos bagitahu saya, dia pun tak boleh berbuat apa-apa kerana ia adalah atas arahan Board. Saya cuma mencadangkan beberapa nama sebagai pengganti saya sepanjang ketiadaan saya selama 3 bulan.
Sebaik melapor diri Kuala Lumpur, bermulalah kehidupan di kota raya. Kali terakhir saya bekerja di KL adalah pada tahun 1992 iaitu semasa saya sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM saya. Saya bekerja di sebuah pasaraya di Chow Kit sebagai jurujual di pasaraya tersebut. Dulu, pengangkutan utama adalah Bas mini. Dengan tambang 50sen, saya boleh pergi ke mana sahaja, cuma perlu berhimpit macam tin sardine jelah. Di KL semasa itu, saya tinggal dengan abang saya (Joy) di brickfield dan beliau masih bujang ketika itu. Pernah juga sesat di KL tetapi dapat juga balik sebab semasa tu jalan raya tidak lah sesak macam sekarang. Kini, dengan teknologi GPS, saya masih tidak berapa risau juga. Cuma kadangkala jalanraya jem tapi itu biasalah.
Namun sedar-tak sedar, saya sudah pun hampir menamatkan program ini walaupun terdapat bermacam-macam dugaan yang dihadapi. Setiap sesuatu yang Allah S.W.T  timpakan kepada kita sebenarnya ada rahmat dan hikmah disebaliknya. Rahmat dari segi rezeki, rahmat dari segi perlindungan anasir jahat dan rahmat dari segi silaturrahim di mana saya telah dapat berjumpa semula beberapa orang rakan sekolah saya selepas hampir 27 tahun berpisah.
Semasa program ini berjalan, saya hanya dapat balik berjumpa anak-anak dan isteri saya pada hujung minggu. Kadangkala keperluan makan, sakit pening mereka hanya dapat saya dengari dari jauh, syukur isteri saya diberikan kekuatan oleh Allah untuk menjaga anak-anak saya itu. Rindunya saya pada anak-anak saya hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Selain menjalani latihan sangkut, saya juga telah berpeluang mengenali rakan-rakan kerja saya yang datang dari seluruh pelusuk negeri termasuk Sabah. Saya dapat mempelajari proses kerja mereka, cabaran dan budaya kerja mereka serta bertukar pendapat mengenai isu-isu semasa syarikat. Semua ini telah membuka minda saya dengan lebih luas dan lebih menghargai organisasi syarikat yang saya sertai selama ini. Semasa latihan ini juga, saya berkesempatan menghadiri konvokesyen di universiti utara semenanjung untuk menerima Sarjana. Syukur Alhamdulillah.
Pada saya, walaupun program ini tidak sesempurna yang diharapkan, namun banyak perkara yang telah saya dapat pelajari daripadanya mungkin juga sebagai persediaan untuk saya mengharungi rintangan dalam haluan kerjaya saya di masa depan dan juga sebagai peringatan kepada saya sebagai muslim supaya lebih tabah dan bersemangat.
Insya Allah. Wallahualam bisswasab.
 
 

Tuesday, September 10, 2013

ANTARA CERDIK & BIJAKSANA


Assalamualaikum & Salam sejahtera,

Ramai ibu bapa yang risau jika anak-anak mereka kurang cerdik atau tidak pandai dalam matapelajaran sekolah anak-anak mereka.. saya akui, sebagai ibubapa, saya juga kadang kala bimbang jika melihat perkembangan anak-anak yang perlahan berbanding budak-budak lain yang sebaya dengan mereka. Namun begitu, rasanya kita perlu juga tahu bahawa, antara cerdik dan bijak adalah dua perkara yang berbeza. Ada orang yang cerdik tetapi tidak bijak. Ada orang yang bijak tetapi kurang cerdik. Ada orang yang ada kedua-duanya sekali.

Kita boleh risau jika anak-anak kita kurang bijak tetapi kita tidak seharusnya panik jika ada anak kita lambat atau tidak pandai dalam matapelajaran mereka.

Banyak kejadian seperti pecah amanah, penderaan, mementingkan diri sendiri, merogol, merompak dan sebagainya itu sebenarnya ada yang datang daripada orang yang cerdik tetapi tidak bijak. Kadang kala mereka ini adalah graduan univerisiti.  Namun otak mereka yang cerdik tidak dihiasi dengan kebijaksanaan.
 
Bijak adalah anugerah Allah yang datang daripada pengalaman, keupayaan berfikir dengan waras dan juga ‘maturity’ dalam kehidupan sebagai manusia.

Otak yang tidak cerdik tidak sepatutnya menjadi alasan kita untuk tidak berusaha dan berjaya walaupun agak terlewat sedikit berbanding kawan-kawan yang lebih awal mencapai kejayaan.

Pengalaman hidup juga memainkan peranan yang begitu besar dalam menentukan kewarasan kita menangani ujian-ujian hidup dan pengalaman merupakan nilai yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Ia amat bernilai dan ilmu yang datang daripada pengalaman itulah yang boleh memelihara kita daripada terjerumus di dalam aktiviti tidak sihat.

Yang paling penting ialah, kita wajib memegang panduan yang dikeluarkan oleh pencipta kita iaitu Allah S.W.T. Kitab Al Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W merupakan ilmu yang datang daripada pengalaman dan pengajaran yang sangat berguna bagi memastikan umat manusia menjadi khalifah atau pengikut yang BIJAKSANA.

Pesanan untuk diriku jua.

Wallahualam bissawab.

Friday, January 11, 2013

Hidup ini satu proses perjuangan

Adakalanya, kita perlu membiarkan sesuatu perkara itu berlaku menurut hukum alam atau 'natural'. Untuk berjaya, tiada jalan 'short cut' dan kita perlu menempuh suatu proses sebelum memperolehi apa yang kita hajati jika diizinkan Allah. Proses yang kita lalui itulah sebenarnya adalah pelajaran yang akan mematang dan lebih menguatkan kita. Proses yang kita lalui itu juga akan menyebabkan kita lebih menghargai sesuatu itu.  Ia relevan dengan kehidupan kita sebagai seorang manusia. Hakikat inilah sebenarnya yang perlu kita terapkan pada diri kita, anak-anak kita, rakan kita dan sebagainya. Saya teringat satu kisah yang pernah diceritakan oleh beberapa orang pakar motivasi.
................................................................................................

Suatu hari, ada seorang budak lelaki sedang memerhatikan seekor kepompong. Di dalamnya ada rama-rama yang sedang berjuang untuk melepaskan diri dari dalam kepompong dan kelihatannya begitu sukar. Budak lelaki tersebut merasa kesian kepada rama – rama tersebut. Dia ingin membantu rama-rama agar dapat keluar dengan mudah. Akhirnya kanak-kanak mengambil gunting dan membantu memotong kepompong agar rama-rama dapat keluar dengan segera dan senang. Alangkah senang dan leganya kanak-kanak tersebut.
 
Tetapi apa yang terjadi?. Rama-rama itu memang dapat keluar dari sana, Tetapi rama-rama itu tidak dapat terbang, dia hanya dapat merayap. Apa sebabnya?. Rama-rama yang sedang berjuang dari kepompongnya tersebut, Sebenarnya pada saat rama-rama mengerahkan seluruh tenaganya, ada satu cecair didalam tubuhnya mengalir dengan kuat ke seluruh tubuhnya, yang akan membuatkan sayapnya dapat mengembang sehingga ia dapat terbang. Tetapi kerana tiada lagi perjuangan tersebut, maka sayapnya tidak dapat mengembang sehingga ia menjadi seekor rama-rama yang hanya dapat merayap. Kadangkala niat baik kita belum tentu menghasilkan sesuatu yang baik.
 
Sama seperti pada sewaktu kita mengajar anak kita. Kadangkala kita sering membantu mereka kerana kasihan atau rasa sayang, tetapi sebenarnya membuatkan mereka tidak berdikari Membuat potensi dalam dirinya tidak berkembang. Memandulkan kreativiti kerana kita tidak sanggup melihat mereka mengalami kesulitan, Yang sebenarnya jika mereka berjaya mengatasinya, mereka akan menjadi KUAT.
 
Demikian juga pada sewaktu kita sedang berjuang menghadapi sesuatu, jangan mengharapkan bantuan orang lain, berjuanglah dahulu dengan mengerahkan segala kemampuan kita. Hidup penuh dengan PERJUANGAN. Sering kali juga kita sering menyalahkan situasi yang kita hadapi, Tetapi ternyata situasi itulah yang akan mendewasakan kita.

Thursday, January 10, 2013

UJIAN MENDAPAT ANAK PEREMPUAN

Jumlah anak-anak saya sebelum ini adalah 6 (enam) orang dan kesemuanya adalah lelaki. Bila melihat keluarga saya, kami 5 (lima) orang adik beradik semuanya adalah lelaki. Anak-anak abang saya pun semuanya lelaki. Cucu mak saya ni dah pun seramai 11 orang dan semuanya adalah lelaki. Namun syukur Alhamdulillah, walaupun ramai, rezeki anak-anak saya tetap ada dan  kadangkala ia datang dari sumber yang tidak pernah saya jangkakan.
Apabila isteri saya memberitahu saya bahawa beliau mengandung lagi buat kali ketujuh pada sekitar bulan Mac tahun lalu, saya tidak merasa teruja sangat dan tidak mahu mengharap sangat untuk mendapat anak perempuan dan saya redha dengan ketentuan Allah S.W.T. Setiap anak itu adalah anugerah dan juga amanah daripada Allah.
Apabila mencapai bulan keempat isteri saya mengandung, saya mula melihat perutnya yang memboyot dan keadaan itu tidak pernah sama dengan keadaan semasa mengandung anak-anak saya sebelum ini. Namun, saya tak berapa hiraukan sangat sebab ia cuma bentuk perut. Tidak lama selepas itu, isteri saya mengajak saya membawanya ke klinik untuk pemeriksaan kesihatannya. Saya pesan kepada beliau, tak payahla scan-scan lagi. Kita terima sahajalah jantinanya apabila bersalin nanti.
Selepas balik dari klinik, isteri saya tersenyum sahaja dan saya pun syak ada sesuatu yang dia nak bagitau, tapi saya buat-buat tak tahu je. Mungkin sebab hal lain kot, kata saya di dalam hati. Saya terus memandu untuk balik ke rumah. Dalam kereta, isteri saya pun memberitahu saya, doctor dah scan perutnya. Saya masih tak kisah lagi dan menyampuk, ala.. boy lagi kannn..?
Doktor bagitau anak kita ni perempuan bang… ! 150% confirm perempuan! katanya… saya hanya membalas, ala.. belum tahu lagi.. scan ni boleh percaya ke…? namun dalam hati, hanya Allah yang tahu betapa terujanya saya ketika itu. Janganlah diheboh2kan lagi sebab tak tentu lagi.. pesan saya kepada isteri.
Masuk bulan ke enam mengandung, saya bawa isteri saya menjalani pemeriksaan biasa di klinik. Doktor mendapati tekanan darahnya meningkat tinggi dan perlu dirujuk ke hospital pakar dengan segera. Selepas mendapat rawatan pakar pada kali ketiga, doktor scan dan mendapati terdapat ‘defect’ pada bayi dalam kandungan. Beliau mengesan sesuatu seperti usus yang terkeluar dari perut baby. Penerangan doktor membuatkan isteri saya  bertambah panik. Doktor menasihati saya untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan kerana satu-satunya pakar bahagian berkenaan hanya ada seorang di hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.  Pihak pakar swasta merujuk kes kami kepada hospital Sultan Abdul Halim sebelum dirujuk ke Alor Setar.
 
Tidak puashati dengan keterangan doktor pakar tadi, kami terus mencari pakar swasta lain pula iaitu di Alor Setar dan di Perda. Kesemua doktor pakar (sebanyak 5 orang pakar semuanya) memberikan jawapan yang sama, iaitu terdapat terdapat ‘defect’ pada bayi dalam kandungan iaitu sesuatu seperti usus yang terkeluar dari perut baby. Beliau menerangkan juga, mungkin juga ada defect lain jika kes seperti ini berlaku. Ia jarang-jarang berlaku mungkin 1 kes dalam 10,000. Kes seperti ini perlu jalani pembedahan untuk mengeluarkan baby dan doktor pakar baby akan ambilalih untuk menjalankan pembedahan ke atas baby pula.
Hanya Allah yang tahu bagaimana perasaan saya dan isteri ketika itu, baru nak dapat anak perempuan, ada masalah pula. Saya hanya serahkan kepada Allah atas ketetapanNya dan mungkin ada hikmah disebalik semua ini. Bisik hati saya.
Saya mula merangka strategi untuk menghadapi sebarang kemungkinan dari segi kos kewangan, penjagaan baby dan sebagainya. Saya mulai membuat simpanan wang, menjual saham dan sebagainya sebagai bekal perbelanjaan nanti termasuk kos pembantu rumah untuk menjaga anak-anak saya, isteri dan baby nanti. Jumlah kos ribuan ringgit semasa itu sudah tidak penting lagi kerana keutamaan saya semasa itu ialah supaya keluarga saya terjaga.
 
Lebih merisaukan lagi, tempoh penghujung sebelum nak bersalin, saya pula perlu menghadapi peperiksaan akhir pengajian sambilan saya. Adakalanya terfikir nak hentikan sahaja pengajian ini sebab sudah tidak dapat memberikan tumpuan lebih-lebih lagi tarikh jangkaan bersalin adalah jatuh pada hari peperiksaan saya. Semasa tempoh itu juga saya kena bermesyuarat dan berkursus di luar stesen. Kerap juga saya bercuti kecemasan, syukurlah sebab boss amat memahami situasi saya semasa itu. Memang amat huru hara juga jadinya namun saya cuba harunginya walaupun perit. Orang tidak tahu bagaimana keperitan ini saya lalui. Apa yang saya boleh buat ialah berdoa, solat hajat dan sebagainya agar diberikan ‘keajaiban’. Tekanan demi tekanan mulai saya rasakan. Pemeriksaan di hospital demi hospital dibuat dan semakin lama dah macam ambik kursus Medic pula rasanya.
Pada 12Nov malam, sekali lagi pemeriksaan dilakukan di hospital swasta kerana isteri mengadu sakit dan tidak boleh tidur pada waktu malam. Doktor mendapati pintu rahim dah terbuka 3cm pada hal tempoh kandungan isteri saya baru mencapai 8 bulan.
Keesokan paginya, saya bawa semua anak-anak saya sambil dibantu pembantu rumah Indonesia yang baru diambil. Kosnya jangan ceritala, apa nak buat, itulah kaedah terbaik semasa itu. Setibanya di Alor Setar, saya bawa isteri saya ke kecemasan untuk bersalin. Di kecemasan pula, dengan selamba dan tak bersalah, pegawai di kaunter memberitahu bahawa mereka  sudah kehabisan kerusi roda. Kotlah nak tolong ke apa ke… Saya cuba sabarkan hati (ujian Allah ni, kata hati saya). Saya pun bawa isteri saya perlahan-lahan berjalan kaki ke wad kecemasan di tingkat satu. Selepas beberapa tapak, pegawai tu tegur balik, encik boleh ambik kerusi roda tapi kena tinggalkan IC lah. (kenapa la tak cakap siang2… sabar2 lagi). Saya pun bawa isteri saya ke wad bersalin. Setibanya di wad, saya menceritakan bahawa isteri saya ni ada kes sebab bayi kandungan terkeluar ususnya dan doktor tak bagi bersalin normal. Misi tu kata, doktor pakar cuti (hari tu adalah hari deepavali). Tapi saya minta dipanggil doktor pakar, misi tu kata mana boleh, diaorang cuti… (Allahuakbar..  sabarlah hati…). Saya pun sms kepada adik saya yang bertugas sebagai Doktor di KL. Nasib baik saya mendapat nasihat yang baik dan saya tenanglah sikit.
Sementara menunggu isteri saya di luar labor room, saya turun sebentar ke kereta untuk belikan makanan untuk anak2 saya sebab dah hampir tengahari. Selepas selesai, saya naik semula ke wad tadi dan bertanya apakah status isteri saya. Terkejut besar saya apabila diberitahu misi bahawa isteri saya sudah bersalin normal. Baby pula sudah dihantar ke wad NICU.
Saya pun bergegas ke NICU dan berjumpa doktor serta melilhat baby. Doktor berkata semuanya selamat dan tiada ‘defect’ atau usus terkeluar seperti yang didakwa oleh doktor-doktor pakar sebelum ini.  Wahh…. Keajaiban baru sahaja berlaku. Saya tidak bertanya lagi soal jantina anak saya itu. Baby diletakkan di dalam ‘balang’ kerana lahir tidak cukup bulan (pre mature). Saya lihat tertulis di tepi balang, baby ‘Female’, 1.67kg. Alhamdulillah, hanya itulah sahaja kalimah yang saya ucapkan sepanjang hari tersebut. Disebabkan lahir ‘premature’, saya tidak boleh membawanya balik ke rumah lagi walaupun isteri saya dah boleh discas.
Selama dua minggu saya berulang alik melawat baby dan Alhamdulillah, anak perempuan saya dibenarkan pulang selepas mencapai berat 1.8kg. Rupa-rupanya perkhidmatan hospital kerajaan pun boleh dikatakan baik juga sebab fasiliti mereka yang lebih baik dan baru berbanding swasta.
Bila direnung-renungkan balik, memang banyak ujian yang saya lalui sepanjang tempoh tersebut. Kami bersyukur kehadrat Allah kerana dikurniakan juga seorang anak perempuan yang sihat dan normal pada akhirnya iaitu untuk anak kami yang ke tujuh.  
 
Sungguh indah dan strategik perancangan Allah yang mengatasi segala-galanya di dunia ini. Rupa-rupanya semua proses yang dilalui itu adalah sebenarnya ujian Allah kepada saya untuk melihat sejauh mana kebergantungan saya kepada Allah S.W.T.
 
Ternyata banyak sungguh kelemahan hambaMu ini dan sesungguhnya aku memohon ampun atas segala keterlanjuran. Setiap sesuatu yang berlaku, pasti ada hikmahnya yang tersendiri.
 
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.