Assalamualaikum,
Salam Ramadan, saya tertarik kepada satu program TV baru di Astro iaitu Lau Kana Bainana menerusi TV Al-Hijrah. Program ini yang dihasilkan oleh krew pemuda berbangsa Arab ini cuba menghayati akhlak mulia Rasulullah S.A.W. "Lau Kana Bainana" لو كان بيننا الحبيب yang bermaksud, andaikata "Nabi Muhammad S.A.W ada di sisi kita". Ia boleh menyentuh perasaan dan membuatkan kita bermuhasabah sejenak.
http://www.youtube.com/watch?v=8u-gWB4UWak&feature=autoplay&list=PL6F568EA9EE24C54F&index=3&playnext=2
http://www.andalusiah.com/
Program ini ada yang dibuat secara ’candid’ ke atas masyarakat. Salah satu slot yang dibuat ialah sebagai contohnya, mereka sengaja meletakkan kayu halangan di tepi jalan raya kemudian merakamkan aksi orang ramai terhadapnya. Ada yang berlalu begitu sahaja, ada yang turun pergi mengalihkan kayu halangan tersebut. Sebagaimana kita tahu, membuang halangan di laluan awam lebih lebih lagi yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam lain merupakan tindakan yang diambil yang melambangkan tahap keimanan kita sebagai hambaNya dan umat Nabi Muhammad S.A.W. Andai Rasulullah ada bersama kita, pasti Baginda merasa bangga dengan umatnya yang mengambil tindakan membuang kayu halangan tersebut. Walaupun ia nampak remeh, tetapi tanpa hati yang ikhlas dan akhlak yang mulia, kita tidak akan mengambil tindakan tersebut. Mereka yang membuang kayu halangan itu kemudiannya akan ditegur oleh krew tadi dan diberikan hadiah seperti buku agama dan T Shirt.
Program ini agak simple tetapi mungkinboleh memberikan impak yang besar kepada masyarakat Islam jika benar benar dapat dihayati. Cuba kita bayangkan Rasulullah ada bersama kita, adakah Baginda akan gembira dengan akhlak kita di zaman sekarang atau sebaliknya? Adakah kita layak menerima syafaat Baginda semasa di akhirat kelak?
Sekiranya kita sedar bahawa setiap tindak tanduk kita ini diperhatikan oleh Allah, maka sudah tentu kita akan berwaspada dan sentiasa berkelakuan baik. Jika kita berkelakuan baik, sudah tentunya Rasulullah S.A.W akan menyukai kita dan memberikan syafaatnya kepada kita.
Kita banyak dosa, selalu engkar perintahNya dan selalu engkar Sunnah Rasulullah S.A.W. Baginda Rasulullah S.A.W adalah kekasih Allah yang juga manusia seperti kita, tetapi kalau dibandingkan dengan kita, pastinya bagai langit dengan bumi. Namun saya yakin Allah Maha penyayang, Rasulullah begitu kasih kepada umatnya. Rasulullah SAW telah meninggalkan kita dengan kalam Allah yang berupa mukjizat serta sunnah yang begitu jelas. Namun, adakah peninggalan baginda ini diendahkan oleh kita. Mari kita bertanya diri sendiri, apakah kita masih layak menjadi umatnya?
Saya selalu menyimpan impian untuk bertemu Rasulullah walaupun hanya dalam mimpi. Sekiranya kita dapat menatap wajah Rasulullah di dalam mimpi, insyaAllah sebenarnya itulah wajah sebenar Rasul kerana Syaitan tidak dapat meniru atau menyerupai wajah Rasulullah S.A.W.
Cuba kita bayangkan, andaikata diberikan peluang oleh Allah... tiba-tiba Rasulullah datang kepada kita, Baginda duduk di sebelah kita hanya untuk seminit, Apakah ucapan yang patut kita katakan kepada Baginda?.... atau layakkah kita berada di sisi Baginda?
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment