Tuesday, April 5, 2011

ADAKAH REZEKI KITA BENAR-BENAR BERKAT?

Sumber Rezeki Halal



Sumber pendapatan daripada rezeki yang halal amat penting kerana sumber rezeki tersebut akan menjadi darah daging yang mengalir di dalam badan kita. Darah daging yang tumbuh hasil dari rezeki yang tidak halal tersebut bakal dimamah api neraka. Memperolehi rezeki yang halal amat penting untuk memastikan keberkatan di dunia dan di akhirat. Ada manusia yang murah rezekinya, tetapi tidak berkat. Allah melimpahkan rezeki yang murah tetapi tiada keberkatan. Ada manusia yang mendapat rezeki kurang tetapi rezeki yang sedikit tersebut tetap diberkati Allah.




Maka, sekiranya diberi pilihan, maka kita berkehendakkan kedua-duanya sekali iaitu murah rezeki dan berkat. Teori tersebut saya gambarkan seperti mana graf di atas. Kita mungkin lebih memilih B dan C berbanding A. Graf A mendapat rezeki yang tinggi tetapi kurang berkat. Ia mungkin boleh menjadi panduan kepada kita supaya kita tidak leka mencari rezeki tanpa memikirkan tahap keberkatan rezeki tersebut. Pilihan yang terbaik sudah semestinya ialah bersederhana dalam segala hal. Kesederhanaan di dalam dunia ini akan menjamin keberkatan pada rezeki kita insyaAllah. Jadi, kita tidak perlu terlalu risau dengan rezeki sedikit yang kita terima, tetapi kita sepatutnya risau jika keberkatan yang terlalu sedikit kita terima.




Kadang kala ada juga memerhatikan kawan-kawan yang menerima rezeki melimpah ruah. Syukur alhamdulillah. Janganlah pula kita mempunyai sifat PhD (perasaan hasad dengki) kepada rakan kita yang mendapat rezeki tersebut. Sesungguhnya ia adalah rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Biarlah kita terima rezeki yang sedikit, asalkan ianya halal dan berkat. Saya yakin, kehidupan tanpa perasaan PhD tersebut lebih menjamin kebahagiaan yang hakiki kerana kebahagian dalam ertikata sebenarnya ialah terletak pada hati. Jika hati kita bahagia, maka bahagialah seluruh jiwa dan fizikal kita. Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.






Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman "Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?" Nabi Ayub mejawab "Ya benar, demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu". Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.


Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah


1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.


2. Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.


3. Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal.


4. Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.


5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari. (cari anak-anak yatim untuk diberikan). Insyallah akan diganti oleh Allah tanpa kita sedari.


6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kerana Allah bukan mengharapkan pujian dan sebagainya. (Pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri). Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita sebenarnya dalam harta kita ada sebahagiannya merupakan hak mereka.


7. Hulurkan pemberian sunat secara rahsia - tetapi pemberian wajib (zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.


8. Konsep sedekah : berikan sesuatu yang kita sayangi.


9. Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat - bukan dunia untuk dunia)


10. Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jualbeli (perniagaan). Menurut Nabi 9/10 (90%) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin 1/10 sahaja (10%). Nabi Muhammad sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak. Perniagaan merupakan amalan fardu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam berdosa.


11. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami.



Dalam satu hadith, Nabi menerangkan setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru "Ya Tuhanku,kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah. Yang satu lagi menyeru 'Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)".Orang yang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya. Menginfaqkan (Belanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka.




Dalam hadith lain, nabi bersabda takutilah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar. Dan sabdanya lagi sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api. Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Dan digalakkan memberi sedekah pada awal pagi. Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insyallah rezeki yang dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah digunakan. Allah akan membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan.




Amalkan ilmu yang ada, nanti Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta - belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita tidak ketahui. Pesanan ini juga ditujukan kepada diri saya. Wallahualam.




Orang meminta sedekah di kala kita dalam kesempitan wang.




Pernah tak kita alami situasi begini? Semasa kita kesempitan wang, wang disaku hanya cukup-cukup untuk makan anak isteri pada hari tersebut sahaja. Tiba-tiba datang seorang hamba Allah, yang memohon sumbangan derma. Secara logiknya, kita tidak akan berikan duit saku kita kerana sudah pasti kita akan khuatir, sekiranya diberikan wang saku yang ada, maka kita akan hadapi masalah ketiadaan wang yang lebih serius, silap-silap anak bini tak makan pada hari tu.




Namun percayalah, ujian Allah kadang kala datang pada ketika kita di dalam kesusahan. Jadi, berilah derma seikhlas yang mungkin. Kerana kita tidak tahu siapakah hamba Allah yang meminta derma tersebut. Mungkinkah Malaikat yang menyamar kerana ingin menguji kita? Yakinlah, walaupun kita kita tinggal sehelai sepinggang, dermalah juga walau kita dalam kesusahan kerana Allah akan berikan balasan dalam rezeki yang tidak disangka. Saya pernah mengalami situasi ini beberapa kali. Alhamdulillah, ganjaran yang diterima tidak semestinya dalam bentuk wang, tetapi mungkin dalam bentuk lain seperti rezeki anak, perlindungan daripada aniaya dan sebagainya.




Mutiara Kata. “Harta akan habis digunakan tanpa ilmu, tetapi sebaliknya ilmu akan berkembang jika ianya digunakan. Sesungguhnya ilmu Allah itu Maha Luas”

Wednesday, March 16, 2011

Kebakaran kecil dalam rumah

16 Mac 2011 malam itu, kami anak beranak sedang tidur di bilik tengah. Seperti biasa aircond dipasang bermula jam 10 malam, kalau tak pasang, tak boleh tidur jawabnya disebabkan ‘kepanasan’. Kira-kira pukul 3.00pagi, tiba-tiba sahaja saya dikejutkan dengan satu kebakaran kecil dalam rumah. Soket ‘power point’ pada alat pendingin hawa tiba-tiba sahaja terbakar. Mujurlah isteri saya tersedar dan menjerit, saya bingkas bangun, cuba menutup suis air cond, alat pemadam kebakaran ada, tetapi diletakkan di dapur, jadi tak sempat nak pergi ambil.. lantas saya ambil kain selimut untuk memadam kebakaran. Api berjaya dipadamkan.

Bau hangit dan debu hitam menyelubungi bilik rumah. Pening juga memikirkan bagaimana ia boleh berlaku. ELCB tidak trip dan mungkin ada masalah pada pendawaian. Tiba-tiba saya teringat, sebelum tidur malam tu, saya ada tercium bau hangit. Namun saya tidak ambil kisah sebab hidung saya ni kadang kala berbau macam-macam sebab penyakit resdung yang saya alami. Hal ini menyedarkan saya bahawa semua deria kurniaan Allah memang ada gunanya bukan sahaja untuk sengaja menghidu bau, tetapi berguna untuk mengesan sesuatu kemungkinan.
Saya membangunkan anak-anak saya dan kami semua turun tidur di ruang tamu. Peristiwa ini amat mengejutkan saya. Mujurlah malam itu saya tidak tidur berasingan dengan anak-anak saya, jikalau tidak, tidak tahu apa nasib kami anak beranak. Apa yang pasti, saya perlu mengambil berat keselamatan anak-anak saya selepas ini. Syukur kehadrat Allah kerana kami semua selamat dan memberikan pengajaran ini. Alhamdulillah.




Ayat untuk direnungkan..



"Duit bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya perlukan duit."



"Ayat pasif = Fardu kifayah, orang lain buat, kita tak payah.."



"Ayat proaktif = Fardu kifayah, kita buat, orang lain tak payah.."

Friday, February 18, 2011

Sindrom MENTAL BLOCK

Kadang-kala saya terdengar rakan-rakan saya mengadu… “dia ni ’mental block’ betul la… bila aku bagi idea sikit , dia terus tak mau terima…! “
atau pun “.. hang ni mental block ke apa ke.. benda yang simple ni pun tak boleh nak fikir..!”...
...dan mungkin ada banyak lagi komen-komen yang mengaitkan perkataan ’mental block’ ni... seringkali juga bila si pulan itu tidak sefahaman dengannya, si pulan akan dituduh ’mental block’. Macam-macam hal.. Kalau sesiapan yang mendengar komen, mestilah naik meradang dan sebagainya. Namun, sebelum kita meradang, ada baiknya kita fikir dan muhasabah balik dengan lebih rasional, adakah kita benar-benar ada sindrom ’mental block’?
Saya cuba cari maksud sebenar mental block ni.. adakah tafsiran mereka sama dengan teori yang sebenarnya.. atau sekadar main lepas cakap sahaja untuk memuaskan hati masing-masing... Selepas saya google.. maksud ’Mental Block’ ialah ketidakupayaan untuk berfikir panjang atau dalam bahasa inggerisnya ialah 'the failure to continue a train of thought' atau kegagalan/pemberontakan di dalam pemikiran. Mungkinkah ia satu penyakit..?
Jika kita masih berfikir di dalam kotak (thinking inside the box), maka kita akan dilabel sebagai seseorang yang ’mental block’. Orang selalu bercakap pasal “thinking outside of the box” di mana melibatkan perspektif bagaimanakah cara kita melihat sesuatu perkara itu (the way we look at it). Kita boleh berimaginasi sesuatu dengan kreatif dan mengharapkan ianya bakal menjadi kenyataan. Tiada yang mustahil di dalam dunia ini, cuma ketabahan dan keyakinan hati boleh mengatasi apa sahaja masalah yang timbul. Cara pemikiran yang betul mempunyai kuasa luar biasa dan bakal ’mengubah’ dunia ini. Saya ingin berkongsi beberapa tips yang saya perolehi daripada internet yang mana ia mungkin boleh merungkai sedikit sebanyak mengenai isu ’mental block’ ini.
1. Tabiat mencari jawapan yang betul
Budaya pembelajaran yang begitu ‘formal’ menyebabkan kita selalunya fokus kepada ‘jawapan yang betul’.. kalau soalan objektif tu, ada jawapan samada A atau B and sebagainya. Sistem ini tidak membantu kita untuk berperanan di dalam komuniti dengan lebih berkesan dan boleh menyebabkan ‘pemikiran kreatif’ disekat di dalam kehidupan yang sebenarnya. Sebenarnya di dalam hidup kita, ada lebih daripada satu jawapan bagi setiap persoalan. Yang berbeza ialah bagaimana kita menyusun keutamaan di dalam membuat sesuatu keputusan. Kita boleh cuba ‘reframing the issue’, kemudian kita boleh menyusun mengikut kesesuaian dalam pelbagai kaedah dan cara.
2. Pemikiran ‘Logik’
Semasa mengaji Diploma Komputer dulu, secara asasnya ialah belajar bagaimana micro processor berfikir. Pemikiran logik manusia ada yang sama seperti pemikiran computer iaitu logic ‘1’ atau ‘0’. Kemudian era komputer melalui satu lagi tahap maju iaitu ‘fuzzy logic’. Walaubagaibagamanapun, pemikiran computer tidak dapat mengatasi pemikiran manusia yang lebih baik kerana selain akal, manusia mempunyai hati yang juga boleh berfikir. Akal dan hati yang baik akan menghasilkan keputusan yang terbaik kepada manusia.
Salah satu cara untuk keluar daripada cara pemikiran logic computer ialah dengan cara berfikir secara ‘metaphorically’. Metaphor ialah konsep memahami satu perkara dalam sesuatu yang lain (concept of understanding one thing in terms of another). Kita boleh membina analogi daripada sebarang idea. Metaphors amat bagus dan apabila kita menyedari tentang kebenaran atau “truth” adalah ‘simbolik’, kita akan dapati kita sebenarnya selalu ada alternatif dalam setiap masalah dan persoalan.
3. ‘Play Safe’ atau terlalu mematuhi peraturan.
Saya teringat salah seorang former boss saya dalam TNB. Dia kata.. ’the roles of executive is to break the rules...”, Maksud dia bukanlah suruh langgar peraturan tu, tetapi apa yang faham ialah, eksekutif tidak seharusnya hanya ‘play safe’ dan ikut peraturan membabi buta sebaliknya kita boleh ‘revise’ dan ubah peraturan tersebut menjadi lebih baik. Pandangan dia memang outside of the box dan berbeza dengan beberapa boss yang saya pernah bekerja di bawah mereka. Memanglah ia tidak semudah yang dikata. Tetapi kenapa kita perlu ikut peraturan yang jelas tidak memberikan keuntungan kepada mana-mana pihak. Hanya seseorang yang mempunyai kuasa fikiran dan sifat kempimpinan yang tinggi boleh melakukannya. Dalam konteks syarikat sekarang, ia perlu dilakukan dengan bijak dan berhemah.
4. Being Practical
Menjadi seseorang yang praktikal amat penting lebih-lebih lagi apabila kita diperingkat PERLAKSANAAN sesuatu pendekatan. Luangkan sedikit masa untuk kita bertanya ‘apa akan jadi sekiranya…?’. Kemudian biarkan pemikiran kita berimaginasi sebentar dan kita akan dapati akhirnya memperolehi sesuatu idea yang lebih praktikal yang mana mungkin belum ada orang lain yang berfikir sebegitu sebelum ini.
5. Passion. Kerja bukannya bermain.
Bekerja dengan penuh ghairah dan selalu merangsang pemikiran kreatif. Pada hari ini, sesiapa yang boleh memberikan idea yang bernas akan diberikan penghargaan. Kita mungkin pernah dengar ‘Bila kerja, kerja betul-betul.. dan bila bermain, main betul-betul.
6. Itu bukannya kerja saya atau itu bukannya kpi saya
Dalam kerja kita, kadang kala kita terlalu berkira.. itu bukannya tugas aku.. itu bukan dalam KPI aku.. tidak dinafikan, dalam dunia sekarang, untuk menjadi berkemahiran dalm sesuatu bidang memanglah bagus, tetapi untuk lebih berjaya di dalam kehidupan, kita perlu lihat kesemua aspek selagi mampu. Sarjana berkata, untuk menjadi ‘creative persons’ – mereka perlu ‘know-it-alls’. Kita tak boleh menggantikan mesin selamanya.. tetapi kita perlu menjadi pengurus kepada mesin itu. Menjadi mesin diibaratkan sebagai thinking inside the box (mentally blocked).
7. Buat silap bukan satu kesalahan
Kita selalunya benci kepada berbuat kesilapan. Analogi yang boleh kita ambil contohnya ialah Thomas Edison yang telah melakukan kesilapan sebanyak 1,800 kali sebelum berjaya mencipta lampu mentol kuasa elektrik, kekuatan Edison ialah tidak takut untuk berbuat kesilapan. Namun kita akan improve dan belajar setiap kali selepas melakukan kesilapan. Cuba lontarkan atau laksanakan idea kita dan tengok apa akan jadi. Tanya diri sendiri, “what’s the worst that can happen if I’m wrong?” kita akan dapati banyak faedahnya yang amat berkesan sekali. Contoh pada diri saya ialah, kemalangan baru-baru ini, kesilapan memilih lorong sebelah kanan ketika jalan amat sibuk. Saya perlu lebih berhati-hati bila melalui keadaan ini. Nasib baiklah tiada trauma. Semua perkara ada risiko dan kita perlu bijak membuat keputusan.
8. Saya tak kreatif?
Menafikan kreativiti diri sendiri ialah seumpama menafikan kewujudan manusia di muka bumi. Kita semua dilahirkan ada kelebihan masing-masing dan kreativiti yang terhad. Tetapi sekiranya awal-awal lagi kita dah hadkan kreativiti kita atau ‘block’kan mental kita, maka begitulah akan jadinya (sepertimana kita fikirkan). Ingat tak pada lagu ‘fikirkan boleh’. Ia bukanlah sekadar lagu, tetapi realiti terhadap sistem pemikiran kita di dalam dunia ini.
Cuba hayati liriknya.. saya yakin, ianya mungkin ada kaitan dengan sindrom ‘mental block’. tq. Wallahualam.

Jika kau fikirkan kau boleh
Kau hampir boleh melakukan
Jika kau fikirkan ragu-ragu
Usahamu tidak menentu
Jika kau fikirkan kekalahan
Kau hampiri kegagalan
Jika kau fikirkan kemenangan
Kau hampiri kejayaan
Engkaulah apa kau fikirkan
Terkandung dalam pemikiran
Berfikir boleh melakukan
Fikirkan boleh
Percaya apa kau lakukan
Tabah apa kau usahakan
Bertindak atas kemampuan
Engkau boleh

Saturday, February 5, 2011

XCDN



Sehari sebelum cuti Chinese New Year (CNY) yang lepas, saya drafkan untuk Boss saya SMS infoblast perutusan khas kepada semua warga kerja iaitu ucapan CNY dan berhati2 di jalan raya.. selama ini saya selalu berpesan kepada warga kerja supaya berhati-hati di jalan raya dan elakkan kemalangan.

Semalam, 5 Februari 2011 jam 2.57pm, saya sendiri mengalami kemalangan di lebuh raya KM 150 arah utara tidak jauh dari Plaza Tol Juru. Saya sekeluarga dalam perjalanan balik ke Alor Setar selepas pulang bercuti di kampong di Perak. Kereta innova yang saya baru beli tak sampai seminggu tersebut dihentam dari belakang oleh sebuah kereta jenis Iswara. Sebaik dihentam, saya segera melihat anak-anak dan isteri, alhamdulillah mereka semua tidak ada apa-apa, cuma agak terkejut dengan kejadian ini. Selepas itu, saya berpesan kepada isteri saya supaya jangan keluar dari kereta… saya segera keluar kereta untuk melihat keadaan belakang kereta saya, hanya kena bumper sahaja… kemudian saya terus pergi melihat kereta iswara yang melanggar saya itu. Keadaan Iswara tersebut lebih parah lagi nampaknya kerana dia juga dihentam dari belakang oleh sebuah Myvi. Saya cuba melihat-lihat keadaan orang yang berada di dalam kereta Iswara tersebut sambil berharap tiada sesiapa yang tercedera.. saya lihat depan dan belakang kereta mereka remuk teruk.. pintu belakang mereka tak dapat dibuka.. Seterusnya saya berlari ke arah kereta MyVi di belakang beliau.. alhamdulillah, juga tiada yang cedera parah.. saya lihat anaknya mengalami luka sedikit.…

Dalam sekelip mata sahaja, tiba-tiba sahaja sorang lelaki dengan truck tunda sampai. Hmm pelik juga macamana depa sampai begitu cepat… agaknya diaorang ni dah standby kot.. kemudian polis trafik pula sampai.. saya diarah oleh pegawai polis supaya mengalihkan kereta ke tepi highway kerana jalan dah jadi jem teruk disebabkan kejadian ini.. polis tu bagitau saya, dalam kes ini, beliau kata saya tidak bersalah kerana dilanggar dari belakang dan saya tidak pula melanggar sebarang kenderaan di hadapan.. beliau nasihatkan saya supaya mencatit no plet kereta dan jenis kenderaan yang melanggar saya dan segera membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Jawi.. saya menelefon salesman Toyota dan beliau juga menasihatkan perkara yang sama.. kemudian, saya terdengar polis trafik tersebut menerima satu lagi aduan melalui walkie talkie nya.. terdapat satu lagi kemalangan di KM 140 pula…

Kemudian, saya berjumpa dengan pemilik kereta MyVi dan Iswara belakang saya dan bertanya khabar keadaan ahli-ahli keluarganya yang masih kelihatan tergamam nampaknya.. kami saling bersalam dan bermaafan dan mengganggap ini takdir.. kemudian, sebuah ambulance tiba untuk membawa anaknya yang luka sedikit.. Selepas itu, polis menasihatkan saya supaya jangan lagi tunggu di situ dan segera pergi membuat laporan polis.. saya pun segera bertolak dan mencari balai polis trafik jawi.. saya hanya memandu 60km/j sahaja dan lebih berhati2 lagi...

Sebaik tiba di balai polis trafik, kelihatan beberapa buah kereta lain yang juga baru alami kemalangan nampaknya... di dalam balai, saya menunggu giliran untuk membuat aduan... hmm.. banyak sungguh rupanya kejadian kemalangan hari ini.. bisik hati saya.. semasa di dalam balai, saya sempat berbual dengan seorang pakcik, dia juga baru mengalami kemalangan yang juga dilanggar dari belakang.. lokasi KM 151... hanya 1 km dari lokasi saya... dekat rupanya... kemudian, saya memerhatikan seorang berbangsa cina juga membuat aduan kemalangan..... tempat memang tak jauh juga... apabila melihat keadaan kereta mereka yang hampir ’total loss’ dan terpaksa ditarik dengan truck tunda, saya rasa amat bersyukur kerana kereta saya pula tidak seteruk mana.. keadaan saya jauh lebih baik dari mereka... hati saya tidak berhenti mengucapkan alhamdulillah kerana tidak ditimpa malapetaka yang besar apabila memikirkan semua ini... banyak hikmah dan pelajaran yang saya perolehi walaupun terpaksa melalui kejadian kemalangan ini.. Allahuakbar...

Wallahualam.

Saturday, January 1, 2011

LAGI MAU BELAJAR KA?

Selamat tahun baru masihi 2011. Bila sebut pasal sambung pengajian, rasanya dah banyak kali saya mengalami suasana exam. Sejak sekolah hingga ke Universiti, perkara yang paling tidak digemari ialah exam. Yang paling tidak seronoknya, suasana exam menyebabkan kita rasa tertekan. Tak kisah apa jenis exam pun.. perasaan risau atau 'nervous' tetap ada dan ia adalah perkara biasa sebenarnya. Perasaan tersebut biasanya akan diubati dengan keputusan (positif) peperiksaan. Kalau dulu semasa ambil kursus jurusan Sijil Kejuruteraan di Politeknik, saya berkata kepada diri saya sendiri, rasanya cukuplah dengan sijil poly dan dah tak sanggup rasanya untuk alami suasana peperiksaan lagi. Namun, bila keluar saja result exam yang menggembirakan, perasaan bertukar menjadi kembali bersemangat semula malah berazam pula untuk sambung belajar lagi. Pelik betul kan...? Jadinya, walaupun kadangkala serik tetapi akhirnya, sampai sekarang saya masih terus belajar lagi.
Ada orang bertanya kepada saya, apa tujuan hang buat master? Jawapan saya mudah sahaja sebenarnya iaitu yang pertama, untuk memenuhi tuntutan agama, iaitu tuntutlah ilmu hingga ke negeri cina. Kedua, kita digalakkan untuk mempelbagaikan cabang ilmu dan tidak terhad hanya berada di dalam satu bidang sahaja. Ketiga, ia adalah satu bentuk ilmu mendisiplinkan diri kerana tidak semua manusia itu mempunyai disiplin diri yang utuh. Keempat, Menuntut ilmu juga adalah salah satu cabang jihad. Kelima, mempunyai ijazah kedua adalah pilihan masing-masing kerana kita sebenarnya tidak rugi apa-apa pun. Menuntut ilmu bagi saya, tidak pernah merugikan apatahlagi untuk mempunyai cadang disiplin ilmu yang berbeza pula. Hasil kajian mendapati kebanyakan manusia hanya menggunakan sebahagian kecil sahaja otak untuk diisi dengan ilmu pengetahuan. Jadi, saya berpendapat adalah rugi kalau kita tidak 'utilize' otak kita dengan betul-betul. Selain mempunyai pengalaman hidup, ilmu amat penting untuk mematangkan akal fikiran agar kita lebih menjadi manusia rasional, penyabar dan bertimbangrasa. Keenam, sebagai perangsang kepada anak-anak saya kot. Ketujuh, kita perlu berfikir ’out of the box’, supaya dengan cabang ilmu yang lain, akan membolehkan kita berfikir dengan lebih ’global’ dan tidak hanya berlegar di dalam ruang lingkup yang terhad yang mana mungkin kita rasa dah cukup bagus tetapi dari perspektif lain, ia mungkin belum boleh lagi dilihat sebagai baik atau bagus.
Kemudian orang bertanya pula, tak buat master/degree pun orang masih boleh belajar juga, mohon sahaja kursus semasa bekerja, belajar dari internet, belajar di pondok, surau dan sebagainya. Ya memang betul tu dan saya setuju sebab ia hanyalah salah satu kaedah atau platform pembelajaran yang kita pilih. Walaupun ada orang kata kaedah pembelajaran moden lebih bersifat 'sekular' dan berorintasikan peperiksaan, saya rasanya tuduhan itu betul bergantung kepada niat orang itu sendiri. Kalau niatnya semata-mata untuk lulus mendapatkan sijil atau diploma atau ijazah ataupun untuk mendapat 'promotion' dan menjadi kaya sebagainya, maka ilmunya itu akan menjadi sia-sia sahaja. Niat perlu diperbetulkan iaitu menuntut ilmu untuk menjadi manusia yang lebih baik dari semalam. Berazam untuk menggunakan ilmu yang ada bagi tujuan memberikan manafaat kepada manusia yang lain. Dalam proses menuntut ilmu, seboleh-bolehnya kita boleh kaitkan ia dengan kerja, kehidupan dan juga Islam al quran atau mencipta 'analogi' semasa, agar iman dan keyakinan kita sentiasa dapat dipertingkatkan insyaAllah. Semua itu tidak semudah apa yang dituliskan di sini, namun kita perlu ada usaha ke arah yang lebih baik. Bagaimana caranya, terpulang kepada kaedah dan kemampuan masing-masing, asalkan ia tidak terpesong dari ajaran islam. Jangan kita memperlekehkan orang lain semata-mata kita tidak sependapat dengan mereka. Semua itu memerlukan 'ehsan' yang kuat dari dalam diri. Pesanan ini juga untuk diri saya.

Wallahualam.

Sunday, December 26, 2010

Falsafah Hidup


Apakala kita berbicara mengenai falsafah hidup.. prinsip hidup, saya percaya ramai yang mempunyai falsafah mereka tersendiri mengenai hidup ini. Kadangkala tanpa kita sedari bahawa kita semakin menjadi bongkak dengan falsafah atau prinsip yang kita pegang itu. Disebabkan terlalu ‘obsess’ dengan prinsip hidup kita itu, kita telah mengabaikan beberapa perkara penting dalam perhubungan sesama manusia. Namun prinsip itu perlu ada dalam setiap manusia kerana atas asas kepercayaan atau ‘believe’ tersebut maka manusia menjadi lebih yakin untuk mencapai sesuatu berdasarkan hukum alam atau hukum karma.

Begitu banyak contoh prinsip hidup yang ada di dunia ini dan ianya kadangkala sangat berbeza mengikut tempat dan masa. Contohnya, seorang ahli politik di Jepun mungkin mempunyai perbezaan prinsip dengan ahli politik di Malaysia. Atau seorang jurutera di Jerman mungkin mempunyai perbezaan prinsip dengan jurutera di Alor Setar? Ataupun seorang rakyat di Indonesia mungkin berbeza prinsip dengan rakyat di Negara ini. Rakyat Indonesia terkenal dengan sifat ‘patriotik’ mereka dan sentiasa bangga dengan Negara mereka walaupun terpaksa menjadi ‘hamba kerja’ di Negara asing. Kalau tak percaya, cuba lihat mana-mana perlawanan akhir yang melibatkan Negara mereka seperti piala Thomas di Kuala Lumpur dan yang terkini ialah Piala Suzuki nanti. Mungkin ada ‘pro and con’ terhadap isu prinsip orang indon ini. Bagaimanapun, pokok pangkalnya ialah prinsip itu wujud dalam diri kita. Kata orang, selepas usia kita melangkau 40 tahun, maka adalah lebih sukar untuk kita berubah. Jadi, adalah penting bahawa falsafah atau prinsip yang kita pegang itu benar dan yang paling penting ialah prinsip tersebut akan menjamin masa depan kita di dunia dan di akhirat. Usia saya kini menjangkau 36 tahun dan saya hanya ada baki 4 tahun untuk berubah. (hmm.. sekejap rasanya umur ini meningkat naik! mungkin disebabkan oleh kesibukan kerja menyebabkan kita terlupa tentang umur?)

Adalah amat malang sekali sekiranya falsafah yang kita anggap betul itu sebenarnya adalah kesilapan dan meninggal dunia pula sebelum sempat membetulkan prinsip tersebut. Kita semestinya perlu bermuhasabah selalu mengenai perjuangan kita yang sebenarnya dalam hidup ini. Apa sahaja prinsip yang kita gunapakai, hendaklah ianya tidak terpesong daripada ajaran agama Islam kita dan dalam konteks Malaysia ini ialah ajaran ahli sunnah wal jamaah. Untuk mendapatkan falsafah atau prinsip hidup yang terbaik, seharusnya kita menuntut ilmu pengetahuan, menimba serta berkongsi pengalaman daripada manusia yang lain. Sesungguhnya ilmu Allah Maha Luas. Sebaik-baik manusia itu ialah yang paling banyak memberi manafaat kepada manusia yang lain. Semua manusia itu boleh dikatakan memberikan sumbangan dan manafaat kepada manusia yang lain selagi kerja atau ibadah yang kita lakukan itu halal dan di sisi Allah S.W.T. Dan ianya boleh dicapai dengan mempunyai falsafah yang betul dan efisyen.
Wallahualam.

Tuesday, December 7, 2010

UKURAN KEJAYAAN DALAM MENDIDIK ANAK

Salam Maal Hijrah 1432Hijrah. Setiap kali tahun Hijrah menjelang, ramai di kalangan umat Islam yang menyimpan azam baru untuk ‘berhijrah’ sama ada benar berhijrah (berpindah tempat) atau pun berhijrah dari segi perbuatan, rohani, daripada tidak baik kepada yang baik atau daripada baik kepada lebih baik lagi. Awal Muharam mengingatkan kita kepada peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Madinah pada tahun 622 masihi. Kata orang, azam kita jangan diwar-warkan kepada orang lain kerana ‘takut’ tidak menjadi menjadi kenyataan dan dikhuatiri ia bertukar menjadi riak kecil. Allah Maha Mengetahui.

Catatan blog kali ini, saya ingin menyentuh mengenai prinsip mendidik anak. Anak adalah ‘amanah’ yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. Bila kita sebut sebagai amanah, maka di dalam amanah itu mengandungi nikmat dan ujian yang memerlukan kekuatan dan ketabahan hati. Semasa mengikuti khutbah Jumaat di Masjid Iskandar jalan Datuk Kumbar baru-baru ini, khatib menekankan bahawa anak merupakan ujian Allah yang mana antaranya boleh menyebabkan kita menjadi bakhil (kerana mulai berkira apabila nak memberikan sedekah, ditakuti wang yang disedekah itu menjadikan wang belanja untuk keperluan anak tidak mencukupi?), kemudian kita akan menjadi takut untuk pergi berjihad di jalan Allah atau menjadi jarang untuk keluar mengikuti Kuliah di luar (kerana takut hendak meninggalkan anak dan isteri lama-lama dikhuatiri keselamatan mereka). Perasaan takut itu sebenarnya adalah mainan perasaan sahaja dan ditambah dengan hasutan syaitan dan nafsu yang sentiasa cuba menghalang kita daripada melakukan kebaikan. Allah sentiasa akan menjaga hambaNya yang redha berjuang di jalan Allah dan anak itu adalah dugaan sahaja. Bagi saya, sifat ‘Ihsan’ amat diperlukan dalam menjalani ujian Allah ini.

Saya mempunyai pandangan yang mungkin agak berbeza dengan orang lain dalam aspek pendidikan dan kejayaan mendidik anak-anak. Saya teringat semasa saya bersekolah di kampung dulu, saya bersekolah dalam keadaan aman tanpa ada ‘stress’ atau tekanan melampau daripada emak atau daripada keluarga saya. Oleh itu, untuk memperolehi ‘A’ dalam pelajaran atau memperolehi kedudukan nombor teratas di dalam kelas di sekolah bukanlah sasaran penting saya. Semasa bersekolah, apa yang penting ialah, saya berusaha dengan apa yang termampu dan selebihnya berserah kepada Allah. Saya juga pernah berniat semasa sebelum mengambil peperiksaan SPM dulu, iaitu sekiranya saya mendapat gred 2 atau 3, saya tidak kisah.. sebab saya boleh ambil SPM kali kedua dan sebagainya. Buat apa nak ‘rushing’?. Dengan cara itu, fikiran saya akan lebih tenang dan fokus tambahan pula emak tidak terlalu menekan saya supaya mencapai gred 1 SPM dan sebagainya. Terus terang sebenarnya, atas rasa kesedaran semasa itu, saya rasa adalah menjadi tanggungjawab saya memberikan keputusan terbaik yang boleh menggembirakan emak. Syukur alhamdulillah, saya berjaya juga melepasi SPM ketika itu walaupun hanya bersekolah biasa di kampung.

Kini bagi saya, kejayaan mendidik anak tidak boleh dilihat dan diukur dari tahap pencapaian akademik atau kekayaan harta benda. Bagi saya, kejayaan mendidik anak-anak hanya boleh dilihat apabila sejauhmana mereka (anak) melayan kita di hari tua (sekiranya umur masih ada) atau sejauhmana mereka boleh memberikan manafaat dengan manusia yang lain. Tidak kisah apa kerjaya mereka asalkan halal dan diberkati Allah. Saya tidak juga menekankan anak-anak saya supaya wajib mendapat tempat pertama atau wajib mendapat A dalam setiap subjeknya atau mendapat A dalam UPSR. Apa yang saya harapkan ialah agar ilmu yang mereka perolehi itu adalah berkat dan boleh dimanafaatkan untuk kehidupan mereka di masa akan datang.

Emak dan keluarga saya selalu risau dan bertanyakan bagaimana sekolah anak-anak saya itu, dapat nombor berapa di dalam peperiksaannya. Pada saya, itu bukanlah soal yang terpenting.. apa yang penting ialah sejauhmana mereka boleh menghormati orang tua, jujur dan melengkapkan mereka dengan ilmu agama. Apalah gunanya kalau mereka berjaya dalam akademik dan kerjaya, tetapi gagal menghormati dan melayan orang tua bila dewasa nanti. Soal pelajaran atau akademik itu adalah subjektif dan tidak boleh diukur dari aspek pencapaian persijilan semata-mata (diploma atau ijazah atau PhD dsbg) kerana menuntut ilmu itu adalah wajib perlu berterusan ingat ke akhir hayat tidak kira sama ada secara formal (di IPT) atau tidak formal (belajar di pondok, surau dsbgnya). Kejayaan anak itu juga tidak boleh diukur bila mereka boleh menjadi engineer, doctor dan sebagainya. Itu bukanlah kejayaan sebenarnya. Kejayaan mendidik anak sebenarnya ialah sejauhmana mereka boleh menjaga dan menghormati ibu bapa mereka di hari tua nanti dan sejauhmana mereka boleh memberikan manafaat kepada orang lain. Tidak guna satu sen pun jika mereka menjadi pegawai tinggi atau hartawan, tetapi tidak mampu membahagiakan hati ibu bapa mereka.

Saya hanya boleh melihat kejayaan anak-anak saya itu apabila saya tua nanti iaitu mampukah mereka menjaga saya dan isteri nanti atau hanya ditinggalkan kami berdua kesunyian tanpa berita. Itu semua bergantung kepada cara kita mendidik anak-anak kita dan cara kita menjaga ibu bapa kita sekarang. Semua yang kita hajati memerlukan pengorbanan. InsyaAllah setiap pengorbanan yang dibuat dengan ikhlas akan dinilai oleh Allah. Hidup ini seperti roda, apa yang kita lakukan kepada ibu bapa kita, maka mungkin itulah yang akan dilakukan oleh anak-anak kita kepada kita kelak. Dari perlaksanaannya, tidak semudah yang dituliskan . Saya berdoa agar diberikan peluang oleh Allah untuk saya menjaga emak di kampung satu hari nanti. InsyaAllah.

Wallahualam.

Bakri.