Tuesday, September 10, 2013

ANTARA CERDIK & BIJAKSANA


Assalamualaikum & Salam sejahtera,

Ramai ibu bapa yang risau jika anak-anak mereka kurang cerdik atau tidak pandai dalam matapelajaran sekolah anak-anak mereka.. saya akui, sebagai ibubapa, saya juga kadang kala bimbang jika melihat perkembangan anak-anak yang perlahan berbanding budak-budak lain yang sebaya dengan mereka. Namun begitu, rasanya kita perlu juga tahu bahawa, antara cerdik dan bijak adalah dua perkara yang berbeza. Ada orang yang cerdik tetapi tidak bijak. Ada orang yang bijak tetapi kurang cerdik. Ada orang yang ada kedua-duanya sekali.

Kita boleh risau jika anak-anak kita kurang bijak tetapi kita tidak seharusnya panik jika ada anak kita lambat atau tidak pandai dalam matapelajaran mereka.

Banyak kejadian seperti pecah amanah, penderaan, mementingkan diri sendiri, merogol, merompak dan sebagainya itu sebenarnya ada yang datang daripada orang yang cerdik tetapi tidak bijak. Kadang kala mereka ini adalah graduan univerisiti.  Namun otak mereka yang cerdik tidak dihiasi dengan kebijaksanaan.
 
Bijak adalah anugerah Allah yang datang daripada pengalaman, keupayaan berfikir dengan waras dan juga ‘maturity’ dalam kehidupan sebagai manusia.

Otak yang tidak cerdik tidak sepatutnya menjadi alasan kita untuk tidak berusaha dan berjaya walaupun agak terlewat sedikit berbanding kawan-kawan yang lebih awal mencapai kejayaan.

Pengalaman hidup juga memainkan peranan yang begitu besar dalam menentukan kewarasan kita menangani ujian-ujian hidup dan pengalaman merupakan nilai yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Ia amat bernilai dan ilmu yang datang daripada pengalaman itulah yang boleh memelihara kita daripada terjerumus di dalam aktiviti tidak sihat.

Yang paling penting ialah, kita wajib memegang panduan yang dikeluarkan oleh pencipta kita iaitu Allah S.W.T. Kitab Al Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W merupakan ilmu yang datang daripada pengalaman dan pengajaran yang sangat berguna bagi memastikan umat manusia menjadi khalifah atau pengikut yang BIJAKSANA.

Pesanan untuk diriku jua.

Wallahualam bissawab.