Baru-baru saya berkesempatan menghantar email kepada saluran komunikasi yang diperkenalkan oleh CEO. Saya telah berada di dalam organisasi ini sejak 1995. Justeru itu, dengan izin Allah, sehingga kini saya masih bekerja dengan organisasi ini malah saya mengambil opsyen skim RBTF yang mana membuktikan bahawa hati saya tidak berbelah bagi berbakti untuk organisasi yang saya sayangi ini. Lantaran itu, apabila ada suara-suara untuk memecah belahkan organisasi ini, maka hati saya agak sensitif dan dengan sebab itulah saya menggunakan saluran komunikasi yang ada untuk menyalurkan pandangan hina saya semata-mata untuk 'sustainability' organisasi ini. Memang tidak dinafikan bukanlah satu perkara mudah untuk mempertahan sesebuah organisasi selama-lamanya, namun hanya Allah sahaja yang tahu suka duka pengalaman yang sudah ditempuhi oleh anggota kerjanya.
Saya agak terkejut dan terharu apabila tiba-tiba CEO memberikan perhatian kepada email saya tersebut dan 'publish' pula di dalam buletin semasa beliau walhal barangkali banyak lagi email daripada 'vibrant workforce' yang dihantar kepada CEO tersebut. Terbitan slot email saya tersebut juga membuka mata saya bahawa rupa-rupanya pengurusan membaca setiap pandangan anggota kerjanya. Secara ikhlasnya, saya akui memang pernah bekerja di bawah pengurusannya semasa di Perlis sekitar 1997 dulu. Beliau pernah menyuruh saya belajar dan ambil MBA. Ketika itu, saya tidak menghiraukan saranannya itu. Daya kepimpinan beliau semasa itu yang saya lihat begitu bersemangat dan kreatif membuatkan saya tertarik. Ciri-ciri leadership yang ada pada beliau meyakinkan saya bahawa inilah salah seorang bakal pemimpin organisasi ini. Telahan saya nyata benar kerana beliau kini benar-benar seorang CEO sekarang. Saya telah melupakan hasrat saya untuk melanjutkan pengajian selama dua tahun semata-mata untuk berkhidmat dengan beliau di Perlis. Selepas misi mencapai persijilan ISO9000 dicapai, barulah saya memohon untuk menyambung pengajian. Semasa tempoh pengajian, saya kerap memerhatikan beliau dari luar. Sebaik saya menamatkan pengajian dan melapor diri semula untuk bertugas, maka saya cuba 'recap' dan cuba mempraktikkan apa yang saya lihat dan belajar sepanjang bekerja di Perlis di bawah beliau. Percubaan saya adalah semasa dilantik menjadi Branch Manager di Baling, kemudian di Jitra. Alhamdulillah, walaupun agak sukar pada mulanya, ia membuahkan hasil.
Kini, saya masih di dalam organisasi ini dan syukur alhamdulillah saya baru sahaja berjaya menamatkan pengajian MBA secara sambilan. Dengan bilangan anak saya yang sudah 7 orang, pastinya banyak sekali halangan untuk belajar sambilan. Buktinya, pengajian saya ini menjangkau tempoh selama hampir 3 tahun untuk dihabiskan walaupun ia boleh dihabiskan dalam masa setahun setengah sahaja sebenarnya. Ijazah bukanlah faktor utama sebenarnya, tetapi isi kandungan pengajian ini amat membantu saya memahami konsep menguruskan sesebuah organisasi dengan lebih baik.
Di dalam organisasi ini, kita perlu menjadi 'Vibrant Workforce' dan dalam masa yang sama, rasanya kita perlu menjadi 'Vibrant Muslim' dalam meningkatkan hubungan kita dengan Allah. Sekiranya diizinkan Allah, saya ingin beralih pula kepada ilmu akhirat bagi tujuan mendekatkan diri ini dengan Allah hanya semata-mata untuk mendapatkan rahmat Allah. Walaupun banyak dosa saya sebelum ini, namun adalah menjadi tanggungjawab kita untuk berubah menjadi lebih baik esok hari. Tidak penting bagaimana kita bermula, yang penting sekali ialah bagaimanakah nanti hidup kita akan berakhir.
Wallahualam.