Sunday, May 27, 2012

Three simple rules..



Setiap tahun, pasti ada sesuatu yang perlu kita korbankan demi untuk berhijrah ke arah suatu kehidupan yang lebih baik. Ketiga-tiga kata hikmat di atas sememangnya benar malah Allah pernah berfirman bahawa Dia tidak akan mengubah nasib kita melainkan kita sendiri yang perlu mengubahnya. Ayat ini bukanlah bermaksud Allah tidak mampu mengubah nasib kita, tetapi kita sendiri perlulah ada komitmen dan berusaha terlebih dahulu untuk berubah dan selepas itu barulah Allah akan membantu kita. Namun, kita manusia yang sangat mudah lupa dengan masa lampau kita.

Sebagai contohnya, kita mungkin tak akan berada di tahap ini sekiranya kita tak ambil langkah untuk berubah pada suatu waktu dulu. Namun peliknya kita ini, apabila sudah selesa dengan kehidupan sekarang, kebanyakan kita sudah tidak mahu lagi berubah. Walhal, perubahan itu perlu dilakukan dari masa ke semasa bukan sahaja untuk ’survival’ hidup kita, malah sebagai tindakan mencegah daripada berlaku sesuatu yang tidak baik di masa akan datang.

Tulisan saya ini mungkin agak ’general’, jadi saya nak ambik satu contoh mudah iaitu diri saya sendiri. Sekiranya saya tidak mengambil keputusan tekad untuk masuk ke politeknik dulu dan meneruskan dengan minat saya dalam band muzik, rasanya tahap paling bagus pun mungkin kerja sebagai pemuzik jalanan sambilan dan bekerja sebagai operator kilang atau mungkin ikut kawan bekerja di mana-mana kedai atau restoran. Namun, inilah qada dan qadar Allah S.W.T. Lepas tamat pelajaran poly, saya meminati untuk bekerja di kilang yang lebih lumayan semasa itu. Namun, semua permohonan saya ke Kilang tak berjaya (ada hikmah daripada Allah) dan saya terpaksa menerima tawaran dari syarikat utiliti elektrik.

Bila bekerja dalam syarikat utiliti ini, sekali lagi bertekad untuk berubah, saya mahu menceburkan diri dalam bidang kejuruteraan elektrik walaupun menyedari ia agak menyimpang dari bidang asal saya iaitu komputer. Hanya berbekalkan semangat yang kuat untuk berubah, saya dapat juga menamatkan pengajian walaupun begitu banyak dugaan yang terpaksa dihadapi selama tiga tahun. Memang saya kurang persediaan dari segi kewangan walaupun begitu, tekad amat kuat sekali, maka ku redah saja ketika itu. Saya pernah hanya makan nasi dengan kicap semasa belajar selama beberapa bulan kerana tiada wang.

Rasa menyesal juga rasanya sebab tidak membuat simpanan sebelum memasuki universiti. Nasib baik juga permohonan PTPTN diperolehi. (bila isu PTPTN nak dimansuhkan dtimbulkan, saya agak kurang bersetuju juga melainkan perlu dibuat penambahbaikan atau ada model yang lebih baik menggantikannya). Walaupun pinjam, ia memang berjasa kerana dapat sedikit sebanyak membantu diri saya ketika itu. Walaupun saya boleh memperolehi pinjaman yang banyak, saya membuat keputusan semasa itu untuk pinjam beberapa ribu sahaja kerana menyedari seksa kemudian hari untuk membayar balik.

Saya juga pernah dihalau diherdik keluar dari makmal oleh pensyarah semasa mula-mula memasuki universiti. Sampai sekarang saya masih tidak tahu sebab musabab saya diperlaku begitu, kadang kala di’kondem’ teruk oleh pensyarah kerana perkara ’basic’ pun saya tak tahu dan sebagainya. Rasanya banyak lagi dugaan yang tak dapat diceritakan di sini. Biarlah ia menjadi pengalaman peribadi. Ramai kawan-kawan yang seangkatan yang tidak sanggup meneruskan pengajian dan balik semula bekerja kerana tidak tahan dengan pelbagai dugaan. Pada ketika itu, sesekali saya rasa memang nak berhenti juga belajar dan balik semula bekerja, tetapi dikuatkan juga hati dan semangat walaupun tanpa ramai teman. Mujurlah prinsip masih dipegang, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, jikalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya... semua falsafah ini saya memang percaya sampai sekarang. Usaha, tawakal dan redha...

Kini dalam pekerjaan, apabila kita disuruh membuat sesuatu perubahan yang kita tidak berapa selesa, kita akan cuba menentang dan tidak mahu lagi berubah. Saya fikir, tindakan begini (tidak mahu lagi berubah) adalah kurang tepat. Walaupun dah stabil dengan kerjaya dan keluarga, tapi percayalah, bahawa perubahan masih diperlukan dalam kehidupan kita kerana Allah lebih mengetahui tentang masa depan kita.
Wallahualam.