Thursday, March 29, 2012

BUKAN DOA KITA YANG MAKBUL


Saya tertarik dengan satu kisah yang saya baca dari blog powerfaces TNB. Sama-sama kita renungkan dan bermuhasabah diri. Agaknya sebab itulah Nabi kita selalu pesan supaya bersatu dan berjemaah dalam ibadat. Apabila kita solat dan berdoa berjemaah, kemungkinan kita akan dapat tumpang berkat doa salah seorang jemaah dengan kehendak Allah...

......................................................................................................................................................................


Kisah ini berkenaan seorang abang dan seorang adik. Kedua-duanya adalah anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Kedua ibu bapa mereka adalah hamba ALLAH yang soleh. Kedua-dua anak dididik untuk bergantung harap dengan Allah SWT.


Si abang, saban hari berdoa agar ALLAH mengubah nasib hidupnya. Dia meminta kepada ALLAH agar dipertemukan dengan isteri yang cantik lagi kaya. Dia meminta kepada ALLAH agar dirinya kaya raya.


Si Adik pula, seorang yang tidak pandai membaca. Tidak seperti abangnya, dia membaca doa pun dengan melihat kertas. Sebelum bapanya mati, dia pernah meminta bapanya menulis sesuatu di atas kertas, dan kertas itu sering dipegangnya setiap kali berdoa.

Akhirnya, Allah mempertemukan seorang perempuan yang cantik lagi kaya dengannya. Perempuan itu jatuh hati kepadanya, lantas berkahwin. Si Abang seperti mendapat durian runtuh dan kehidupannya terus berubah. Dia keluar dari rumah pusaka, dan meninggalkan adiknya.


Si Abang akhirnya kaya raya, malah terus kaya apabila dia memasuki medan bisnes. Dia sudah mula alpa dengan ALLAH, melewat-lewatkan solah, jarang membaca Al-Quran, tapi tidak pernah lalai untuk meminta kekayaan daripada ALLAH. Kalau masuk dalam bab perniagaan, kekayaan dunia, maka berbondong-bondong doanya kepada ALLAH. Dan ajaibnya, Allah beri apa yang dia minta. Si abang rasa dia istimewa.

Si adik pula, hidupnya tidak berubah. Dia masih seorang sederhana, dengan kelemahannya tidak tahu membaca, dia hannya mendapat kerjaya sederhana, terus menjaga rumah pusaka.


Si adik, juga rajin berdoa. Si abang tahu, si adik rajin berdoa. Tapi Si Abang melihat, hidup adiknya tidak berubah-ubah.


Lantas satu hari, ketika Si Abang menziarahi adiknya, Si Abang berkata dengan sombong: “Kau kena berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa je ALLAH makbulkan. Kau ni tak cukup hampir dengan Allah ni. Berdoa pun masih tengok-tengok kertas. Tak cukup hebat.” Si Adik tersenyum sahaja. Suka abangnya menegur kerana padanya, teguran abang amat bermakna.

Si Adik terus hidup sederhana, di dalam rumah pusaka, dengan doa melihat kertas saban hari, dan kehidupannya tetap tidak berubah. Tidak menjadi kaya seperti abang.

Satu hari, Si Adik meninggal dunia. Ketika Si Abang mengemas-kemas rumah pusaka, dia berjumpa satu kertas. Kertas itu adalah kertas yang adiknya sering pegang ketika berdoa. Si Abang terduduk, menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu.


Kertas itu tertulis: “ Ya Allah, makbulkan lah segala doa abang aku” MasyaALLAH…


Si Abang mula membandingkan dirinya dengan adiknya. Adiknya kekal taat kepada ALLAH dan tidak meringan-ringankan urusannya dengan ALLAH SWT. Adiknya, sedikit pun tidak meminta dunia kepada ALLAH, malah tidak meminta apa-apa untuk dirinya. Tetapi adiknya meminta agar segala doa Si Abang dimakbulkan. Si Abang, tidak pernah sedikit pun mendoakan Si Adik.

Si Abang mula nampak, rupanya, bukan doa dia yang makbul. Tetapi doa adiknya telah diterima oleh ALLAH SWT, lantas segala doanya menjadi makbul.


Cerita ini meruntun hati saya, dan buat saya sentiasa berfikir panjang. Kadang-kadang kita, bila Allah realisasikan hajat kita, kita suka mengimbau usaha-usaha kita. "Aku buat beginilah yang jadi begini." "Doa aku makbul seh!" "Aku ni memang Allah sayang. Tengok, semua benda Allah bagi. Aku minta je pun."

Tanpa sedar kita bongkak. Takabbur. Sedangkan, kita tak tahu, mungkin yang makbul itu adalah doa ibu bapa kita, doa adik beradik kita, doa sahabat-sahabat kita. Bukannya doa kita.

Cerita itu sangat menyentuh hati. Kita sepatutnya tidak lupa mendoakan ibu bapa, guru-guru, keluarga, adik beradik, sahabat-sahabat karib, yang teramat akrab disebutkan namanya agar lebih merasai bahawa kita memerlukan mereka untuk mendoakan kita juga. Kita ini banyak dosa. Banyak hijab.
Mungkin doa orang lain yang lebih bersih hatinya, lebih suci jiwanya yang makbul, menyebabkan rahmat Allah tumpah pada diri kita. Sebab itu jangan berlagak. Jangan tinggi diri. Jangan rasa doa kitalah yang makbul. Pulangkan semuanya kepada Allah. Doa itu sebahagian daripada usaha sahaja sebenarnya. Dan jangan rasa segan nak minta orang lain doakan kita. Semoga bermanfaat kisah ini. Sebarkan jika anda rasa ada manfaatnya. Semoga Allah redha dengan kita.


Wallahualam.

Thursday, March 15, 2012

Poka-yoke





Rasanya dah lama saya tak mengemaskini atau menulis pada blog ni. Akhir-akhir ini saya agak sibuk dengan urusan keluarga dan kerjaya. Syukur alhamdulillah, beberapa masalah hidup dapat diselesaikan dengan izin Allah.


Kali ini saya nak berkongsi dengan satu konsep yang dikenali sebagai Poka-yoke. Satu lagi term yang saya baru belajar semasa berkursus di Shah Alam baru-baru ini. Poka-Yoke berasal dari bahasa Jepun yang bermaksud "fail safing" atau "mistake-proofing" atau dalam bahasa melayunya “pencegah/pengelak kesilapan”. Pada asalnya, ia dikenali sebagai baka-yoke, yang bermaksud "fool-proofing" ("idiot prrofing") atau “pencegah kebodohan”. Nama baka yoke ditukar kepada poka-yoke mungkin untuk ayat yang lebih sopan.


Dalam sektor perkilangan, Poka-yoke amat popular sebagai mekanisma yang digunakan di dalam bidang "lean manufacturing", ia banyak membantu operator kilang mengelakkan dari berbuat kesilapan. Objektifnya ialah untuk menghapuskan ‘defect’ dengan cara pencegahan, pembetulan atau memberikan amaran daripada berlaku kesilapan yang sering dibuat oleh manusia. Kebanyakan alat elektronik, elektrik dan sebagainya menggunakan konsep Poka-Yoke. Ia tidak terhad kepada manufacturing, malah merangkumi kesemua proses yang diingini.


Antara jenis-jenis KESILAPAN yang sering kali ditemukan ditempat kerja yang berkaitan dengan manusia ialah LUPA, CUAI, TIADA PETUNJUK, SABOTAJ, KEMALANGAN, TIDAK PIAWAI dan sebagainya. Fungsi dasar dari POKA YOKE adalah memberikan peringatan (warning) dan mengambil tindakan secara automatik.

Contoh yang paling mudah ialah kad ATM. Kalau kita masih ingat, selepas seseorang mengeluarkan duit tunai dari mesin ATM, seringkali terlupa untuk menarik kad ATM. Fitrah manusia bila dah ambil duit, kemungkinan terlupa untuk ambil kad dan berlaku kes kad ATM tertinggal. Kini, konsep Poka Yoke digunakan iaitu seseorang itu akan menarik kad ATMnya terlebih dahulu, kemudian barulah disusuli dengan duit. Dengan cara itu, kuranglah risiko terlupa menarik kad ATM kembali oleh pemilik kad.

Contoh lain ialah seperti ’penutup minyak petrol’. Seringkali selepas mengisi minyak, kadangkala kita terlupa nak menutup kembali. Jadi, sekarang sudah banyak kenderaan yang membuat tali penyangkut pada ’penutup’ atau ’cap’ bagi mengelakkan terlupa menutup kembali.

Contoh dalam aspek keselamatan, ‘interlocking system’ pada sistem kendalian alat suis. Halangan untuk pembumian selagi belum off. Sistem ‘protection’, relay setting dan sebagainya itu adalah poka yoke.


Zaman sekarang, kita selalunya membawa Thumb drive untuk tujuan menyimpan data atau untuk ‘copy’ data dari mana-mana USB. Kerapkali kita hilang thumb drive ekoran saiznya yang kecil. Jadi, salah satu Poka Yoke yang boleh kita buat ialah dengan menyangkut thumb drive bersaiz kecil tersebut pada rantai leher atau pun pada ‘key chain’ bersama dengan kunci kenderaan dan sebagainya. Biasanya kunci kenderaan kita jaga dengan cermat, jadi thumb drive lebih selamat bersamanya.


Malah di dalam proses kerja kita juga boleh letakkan unsur poka yoke. Contohnya ialah pengaturcaraan sistem komputer. Sistem komputer secara automatiknya tidak akan benarkan ‘sesuatu proses penting’ selagi proses tertentu belum dibuat mengikut tatacara process flow yang dikehendaki.

Dalam syarikat, audit merupakan sesuatu yang memerlukan disiplin seseorang bagi memastikan sesuatu proses tersebut dipatuhi (compliance). Jadi, kita sebenarnya boleh meletakkan unsur Poka Yoke di dalam sesuatu proses.bagi tujuan mencegah berlakunya kesilapan yang mana akan menyebabkan perkara jadi tertunggak. Senarai semak atau checklist itu juga adalah Poka Yoke sebenarnya.

Ringkasnya, Poka Yoke adalah sesuatu yang amat berguna kepada kehidupan kita seharian. Wallahualam.