Khabar angin mengenai pertukaran adalah perkara biasa. Terdapat juga khabar angin tersebut boleh menjadi kenyataan. Kenapa perlu pertukaran agaknya. Kadangkala pertukaran bahagian, stesen dan sebagainya itu bukan setakat kerana atas kemahuan Pengurusan. Bagi saya ia ada kaitan dengan ‘doa’ atau ‘Law of Attraction’ daripada individu itu sendiri. Walaupun ia adalah Qada' dan Qadar Allah S.W.T, namun sebenarnya ia adalah kuasa minda kita yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada setiap manusia. Kitalah apa kita fikirkan. Jika jauh di sudut hati kita memang tidak mahu bertukar ke mana-mana, maka besar kemungkinan kita tidak akan alami pertukaran. Jika pernah terlintas di dalam jauh sudut hati kita (walaupun tanpa disedari) untuk bertukar, ia sebenarnya juga adalah doa atau law of attraction dari kita sendiri. Contohnya, "alangkah bagusnya kalau aku dapat bertugas di pedalaman, lebih aman dalam suasana kampong…" maka dengan izin Allah, ia akan tertunai. Memang pelik tetapi itulah hukum alam. Kita mungkin boleh menafikannya tetapi tidak boleh menipu hati sendiri. Syukur alhamdulillah, Allah Maha Mendengar dan Maha Bijaksana.
Gantung Pisang
Geli hati bila dengar cerita orang ‘gantung pisang’ sebagai menandakan ‘rasa syukur’ dan gembira mereka terhadap sesuatu. Dalam organisasi, kadang kala ada berlaku perkara begini. Walaupun budaya ini bertentangan dengan budaya melayu, ia memang melucukan bagi sesiapa yang mendengar atau menyaksikannya.
Bagi sesiapa yang tidak tahu apa maksud ‘gantung pisang’, ia adalah aktiviti menggantung buah pisang apabila ‘bala’ atau kesengsaraan mereka berakhir apabila ‘bala’ tersebut keluar dari kawasan mereka atau pun mereka pergi meninggalkan ‘bala’ tersebut.
Contohnya, apabila terdapat segelintir pekerja yang dikatakan ‘terseksa’ di bawah pemerintahan seseorang boss, tiba-tiba bilamana ‘boss’ tersebut terpaksa bertukar atau keluar dari situ, maka pekerja akan berasa lega kerana ‘azab’ mereka sepanjang berada di bawah boss tersebut sudah berakhir. Maka buah pisang digantung di merata tempat sebagai ekspresi emosi gembira mereka. Saya tak pasti apa agaknya reaksi ‘boss’ tersebut, adakah buat dono je atau pun berubah selepas itu, wallahualam.