Sunday, January 8, 2012

Mengendali Bisnes Plan..


Masuk tahun ni, sudah tiga kali saya mengendalikan Program Perancangan Bisnes atau kini dikenali sebagai ‘Operating Plan Formulation Workshop’ (OPFW) di peringkat negeri. Kalau orang perhatikan, apa agaknya pembaharuan yang dibuat dalam mengatur strategi KPI pada tahun ini? Keputusan bonus KPI pada tahun lepas sedikit sebanyak mungkin menjejaskan semangat anggota kerja. Namun, rasanya disebabkan oleh C.A baru yang diluluskan baru-baru ini telah mampu menjadi ‘penawar’.

Saya secara peribadi telah menyertai program Bisnes Plan sebegini sejak tahun 2003 iaitu semasa mula-mula menjadi Pengurus Cawangan di Baling. Selepas beberapa perubahan pucuk pimpinan syarikat, program begini mengalami ubahsuai daripada konsepnya, hala tuju, peserta dan cara pengendaliannya. Sehingga tahun 2009 yang lalu, telah keluar garispanduan penganjuran program ini yang lebih sistematik dan jelas.

Segala pengalaman dan pemerhatian yang saya perolehi sejak bertugas di Kangar dulu hinggalah akhir sekali menjadi PC di Jitra, telah saya gunakan sebaik-baiknya untuk mengendalikan program ini, Walaupun tiada tunjuk ajar daripada sesiapa, namun syukur alhamdulillah segalanya berjalan dengan ‘agak baik’ juga akhirnya. Mengikut tradisi penganjuran OPFW ini, program ini diisi dengan pembentangan kertas kerja oleh Ketua-Ketua Bahagian, sesi bengkel atau perbincangan yang dipecahkan mengikut kumpulan bidang tugas, aktiviti rekreasi, sesi dialog, ceramah motivasi dan sebagainya. Selain sebagai sesi perbincangan, ia boleh diumpamakan sebagai program muhasabah diri atau motivasi kepada peserta. Setakat ini kesemua program ini dapat saya buat di luar pejabat.

Saya tidak boleh menafikan bahawa program sebegini telah memberikan kesan, kalau tak banyak, pasti ada walau sedikit kepada peserta. Buktinya ialah setiap kali selepas program begini, beberapa pencapaian penting telah dicatatkan. Sebagai contohnya, misi persijilan 5S di semua 11 stesen dapat direalisasikan dalam masa yang disasarkan, keputusan audit GIA naik mendadak dengan begitu cemerlang, audit SIRIM juga menunjukkan zero NCR, keputusan KPI dari hanya 7 SEE menjadi 12 SEE pada tahun lepas, pasukan WIT dari Kedah menjadi Johan seluruh Pembahagian buat pertama kali dalam sejarah, anggota kerja yang diiktiraf menjadi pekerja terbaik dan banyak lagi.

Walaupun mungkin orang tidak perasan perkara ini, namun ia tetap menjadi kebanggaan saya secara peribadi di Kedah. Saya hanya mempunyai seorang pembantu (kerani), kerana itu saya juga berasa bersyukur kerana mendapat bantuan dan kerjasama daripada Unit lain setiap kali mengendalikan program-program yang diaturkan. Tanpa mereka, sukar untuk saya melaksanakannya. Mereka-mereka ini memang kompeten, proaktif dan bersikap positif. Kebanyakan warga kerja Kedah baik-baik orangnya dan begitu menghormati bosnya.

Mengendalikan program begini memang memenatkan namun saya rasa puas akhirnya setiap kali tamatnya program tersebut apatah lagi sememangnya setiap kejayaan tersebut telah melibatkan banyak pengorbanan daripada anggota kerja. Namun saya menjangkakan tidak akan menerajui unit ini begitu lama dan mungkin juga akan sampai masanya saya akan berhijrah kelak.

Wallahualam.