Thursday, September 2, 2010

Rumah Allah



Rumah saya di kampong hanya terletak bersebelahan dengan masjid (kira-kira 20meter). Saya pernah sekali terlibat dengan kumpulan tabligh, saya melihat para tabligh ini sanggup berkorban meninggal keluarga, kerjaya dan harta demi niat utuk berdakwah. Saya pernah menyertai mereka pergi dari rumah ke rumah untuk memberikan tazkirah kepada tuan rumah. Pada saya, cara tersebut memang amat baik sekali dari segi matlamatnya. Namun, saya rasa ianya agak konvensional dan strereotype. Pada saya, para pendakwah kita perlu lebih kreatif lagi dan perlu mempelbagaikan cara yang lebih sesuai mengikut peredaran zaman. Dengan pengalaman kecil itu, saya mengetahui sedikit sebanyak mengenai program-program yang diadakan di masjid dan juga peranan sesebuah masjid.

Setahu saya, masjid tidak hanya sebagai tempat bersolat, tetapi juga untuk ibadah lain seperti tempat untuk menegakkan syiar Islam, tempat untuk menyampaikan dakwah & tumpuan ‘tabligh’, tempat untuk menyampai dan menuntut ilmu, tempat untuk bermesyuarat dan sebagainya. sepanjang saya tinggal di sebelah masjid, belum pernah lagi saya melihat non-muslim memasuki masjid itu. Jadi semasa itu, saya beranggapan bahawa masjid haram dimasuki oleh non- muslim.

Namun, pada satu ketika, saya melihat, bagaimana pelancong mulai dibenarkan memasuki Masjid Negara dan Masjid Negeri di Shah Alam. Dalam hati saya, ishh apa pasal kita benarkan pulak non-muslim ini memasuki masjid? Kalangan mereka ini pula adalah dari kaum wanita non muslim. Mereka disyaratkan memakai pakaian menutup aurat dan menjaga adab sepanjang ’lawatan’ mereka di dalam masjid. Lalu saya pun beranggapan bahawa masjid boleh dimasuki oleh non muslim dengan syarat mereka wajib mempunyai adab yang baik dan mengenakan pakaian yang menutup aurat sepanjang berada di dalam masjid. Biasanya pergerakan mereka dipantau oleh pengawal keselamatan. Saya lebih melihatnya dari sudut positif iaitu untuk berdakwah. Mungkin jika ditakdirkan, hati mereka ini terbuka dan tertarik untuk memeluk Islam selepas mereka melihat sendiri keindahan dan kesucian Islam..

Saya teringat kisah bagaimana seorang artis barat iaitu Cat Steven (Yusuf Islam) yang telah memeluk agama Islam selepas menerima hadiah iaitu sebuah kitab suci Al Quran dari rakannya. Pada kita mungkin cara tersebut agak janggal kerana khuatir mengenai bagaimana seorang yang bukan Islam hendak menjaga kesucian Kitabullah tersebut, tambahan pula Cat Steven bukan beragama Islam, mana mungkin beliau boleh mengambil wuduk dan menyentuh Al Quran?. Namun, niat yang ikhlas seseorang itu (rakan Cat Steven), dan juga atas kehendak Allah S.W.T, maka kitab tersebut dijaga dengan baik oleh Cat Stesen, malah Cat Steven mulai mendalami isi kandungan Al Quran tersebut dan akhirnya beliau tertarik dengan Islam lalu mengambil keputusan memeluk agama Islam. Beliau menukar namanya kepada Yusuf Islam.

Mungkin konsep yang sama bagaimana fungsi masjid boleh digunakan untuk tarbiyah, berdakwah untuk menarik minat non muslim ini memeluk agama Islam. Namun ia perlu dikawal oleh pihak yang dipertanggungjawabkan agar pihak bukan Islam tidak sewenang-wenangnya menggunakan Islam itu sebagai proksi kepentingan politik mereka semata-mata. Fungsi masjid perlu berupaya menarik generasi muda yang merupakan pelapis generasi masyarakat Islam akan datang. Saya juga pernah terbaca bagaimana pendakwah Kristian menyebarkan ’agama’ mereka dengan cara yang lebih menarik minat (secara fizikalnya). Saya juga risau dengan paderi kristian yang dilihat lebih kreatif dalam berdakwah di tempat-tempat strategik seperti IPTA dan sebagainya. Pernah saya melihat bagaimana pesakit HIV yang terbiar (beragama Islam) dibantu oleh kristian dan ditempatkan di pusat gereja kerana orang Islam tidak menerima mereka di dalam masyarakat. Lebih serius lagi apabila melihat terdapat sebahagian anak-anak muda kita yang telah murtad. Nauzubillah.

Sama juga kesnya dengan isu kalimah Allah yang digunakan oleh pihak kristian. Mungkinkah umat Islam masih lemah dan generasi muda (X,Y) zaman kini dan akan datang akan mudah terkeliru dengan kalimah Allah yang digunakan oleh Islam dengan kalimah Allah yang digunakan oleh kristian. Adakah konsep ’360 degree of turning over’ masih sukar dilaksanakan iaitu lebih melihat sesuatu isu sebagai satu peluang, di mana isu tersebut digunakan oleh umat Islam sebagai peluang untuk berdakwah dan peluang untuk menjelaskan bahawa Allah dalam erti kata yang sebenar-benarnya kepada bukan Islam dan umat Islam.

Berbalik kepada isu pokok, pada pandangan saya, Masjid dan Surau adalah intitusi Islam yang perlu dimuliakan, bukan sahaja sebagai tempat menunaikan Ibadah solat, tetapi sebagai Pusat Islam sejagat yang lebih berperanan dalam menjaga, membangunkan umat Islam dan pusat pendakwahan Islam bukan sahaja kepada umat Islam, tetapi juga kepada orang yang bukan beragama Islam sebagaimana amalan Rasulullah S.A.W satu ketika dahulu. Berbeza dengan Tanah Haram, pada bukan Islam semestinya diharamkan memasuki Tanah Haram kerana menjaga kesucian tempat tersebut. Malah dari rohaniah, tanah haram (mekah) adalah ’pusat bumi’ yang penuh dengan keajaiban Allah, mungkin tanah haram tidak dapat menerima kehadiran bukan Islam yang ’tidak bersih’ dari segi akidah dan syahadahnya. (Pernah saya terbaca cerita bagaimana orang bukan Islam yang tiba-tiba ghaib sebaik sahaja melintasi sempadan tanah haram) (wallahualam bissawab).

Pokok pangkalnya, dalam kita berdakwah, semestinya kita perlu menjaga kesucian masjid @ rumah Allah. Agama Islam itu adalah lebih luas dan perlu dijunjung dan diletakkan di atas sekali. Politik hanyalah sebahagian daripada Islam itu sendiri.

Wallahualam.
Bakri.